Jabatan Pertanian Sarawak telah melaksanakan beberapa program untuk membantu penduduk miskin di kawasan luar bandar menjana pendapatan yang lebih baik, antaranya ialah Program AZAM Tani.
Program AZAM Tani yang dilancarkan pada tahun 2010 ialah salah satu inisiatif untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan penduduk miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem e-Kasih.
Matlamat utama program ini ialah untuk membantu kumpulan sasar yang terdiri daripada petani, penternak, buruh kasar dan nelayan meningkatkan pendapatan, pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pertanian sekaligus bagi mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan.
Di bawah program ini, para peserta akan diberi bantuan kemudahan seperti peralatan untuk menangkap ikan, alat pemprosesan makanan, peralatan untuk melaksanakan projek pertanian dan sebagainya yang akan diberi secara subsidi atau “one off”.
Sejak dilaksanakan, program ini telah memberi impak positif kepada komuniti luar bandar kerana ia telah berjaya membantu pesertanya memperoleh pendapatan tambahan, secara tidak langsung telah dapat mewujudkan peluang pekerjaan kedua kepada mereka.
Selain menitikberatkan pendapatan yang tinggi buat para peserta, Jabatan Pertanian turut menekankan aspek pengetahuan, kemahiran dan daya saing peserta dalam setiap program pembangunan komuniti kerana ia mempunyai hubungan positif dengan kejayaan program yang dilaksanakan.
Program AZAM Tani yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian di kawasan-kawasan luar bandar dan pedalaman telah membantu para petani dan penternak menjana pendapatan yang tinggi melalui tanaman sara diri dan penternakan ikan.
Program ini bukan saja telah membebaskan isi rumah berpendapatan rendah dari belenggu kemiskinan, malah turut memberi keupayaan kepada para peserta untuk memperoleh pendapatan dengan usaha sendiri melalui pekerjaan, aktiviti pertanian, keusahawanan ataupun perkhidmatan.
Di bawah program ini, Jabatan Pertanian banyak memberi tumpuan terhadap projek berasaskan pertanian secara kecil-kecilan yang mendatangkan hasil yang cepat, mampu memberi peluang untuk meningkatkan taraf hidup para peserta atau ketua isi rumah (KIR).
Peserta diberi peluang atau pilihan menjana pendapatan melalui kegiatan berasaskan pertanian dan penternakan seperti penternakan ayam, itik dan akuakultur, tanaman sayur-sayuran dan tanaman kontan dengan menyediakan dana dan latihan.
Program ini dianggap telah berjaya mencapai matlamat kerana rakyat miskin dan berpendapatan rendah di negeri ini berjaya menjana pendapatan yang lumayan, menyediakan peluang pekerjaan serta menambah pendapatan sehingga melebihi had garis kemiskinan yang ditetapkan.
Secara tidak langsung, ia turut memberi faedah kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah dalam memperkasa ekonomi mereka serta menggalakkan mereka berdikari melalui beberapa pendekatan pelaksanaan yang telah dibuat oleh kerajaan.
Banyak contoh kisah-kisah kejayaan yang berjaya dilahirkan daripada program AZAM Tani, di mana peserta yang mengusahakan tanaman cili, cendawan, sayur-sayuran, projek ikan patin serta ayam kampung, kini didapati berjaya keluar daripada belenggu kemiskinan.
Contohnya Encik Westly anak Nyangkai, dari Rumah Umping Lepong, Baleh, antara peserta yang aktif dan giat mengusahakan tanaman sayur-sayuran seperti sawi, labu kuning, kacang panjang, jagung, cili dan sebagainya.
Encik Jantan anak Ajot, dari rumah panjang yang sama juga mengusahakan tanaman yang sama, di samping mengusahakan tanaman jangka panjang seperti lada dan dabai.
Menurut mereka, anggaran pendapatan mereka untuk sebulan dapat mencecah RM5, 000 dengan jualan hasil tanaman antara RM200 hingga RM250 sehari dan hasil tanaman yang paling banyak mendatangkan keuntungan ialah tanaman sayur sawi.