Taman Perindustrian merupakan antara sektor utama yang menjadi tulang belakang kepada pertumbuhan ekonomi Negeri Sarawak bahkan menjadikan Sarawak sebagai salah satu destinasi pelaburan yang tertinggi di Malaysia pada tahun 2020 dengan jumlah pelaburan sebanyak RM15.2 bilion, dijangka akan mewujudkan lebih 11,000 peluang pekerjaan.
Dari tahun 2015 sehingga 2020, Sarawak telah berjaya menarik RM61 bilion nilai pelaburan dalam sektor pembuatan dan mewujudkan lebih 26,000 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.
Pencapaian itu turut mewujudkan peluang perniagaan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan dalam perkhidmatan sokongan seperti di sektor logistik, pergudangan, perkhidmatan penyelenggaraan katering dan sebagainya serta merancakkan aktiviti ekonomi tempatan.
Contohnya Taman Perindustrian Bebas Sama Jaya berjaya mengeksport RM6.93 bilion barangan elektronik serta mewujudkan lebih 13, 500 peluang pekerjaan (99% adalah pekerja tempatan).
Taman Perindustrian Bebas Sama Jaya ini telah menjana pendapatan pekerja sebanyak RM600 juta setahun serta menyumbang RM570 juta setahun spin-off effects kepada ekonomi tempatan.
Manakala Taman Perindustrian Samalaju berjaya mengeksport RM9 bilion barangan asas besi dengan mewujudkan lebih 7, 600 peluang pekerjaan (60% adalah pekerja tempatan) sekali gus telah menjana pendapatan pekerja sebanyak RM340 juta setahun serta menyumbang RM6 bilion setahun spin-off effects kepada ekonomi tempatan.
Sarawak juga telah mencapai lebihan dagangan yang tinggi sejak dua dekad namun, pada tahun 2020, nilai lebihan dagangan menurun sebanyak 19% disebabkan pandemik COVID-19.
Sehubungan itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Perindustrian Terminal dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) akan terus komited untuk melaksanakan pelbagai inisiatif promosi perdagangan di platform nasional dan antarabangsa apabila keadaan mengizinkan dan selamat untuk pergerakan rentas negeri dan rentas negara.
Merujuk kepada MINTRED, mereka telah berjaya membangunkan lebih 7,300 ekar kawasan perindustrian yang dilengkapi dengan kemudahan asas untuk menyokong serta membolehkan lebih banyak aktiviti perindustrian dijalankan di Sarawak.
Selain membangunkan taman-taman perindustrian di bandar-bandar utama seperti Kuching, Samarahan, Miri dan baru-baru ini di Sibu, MINTRED turut membangunkan taman perindustrian di luar bandar seperti di Kapit, Betong, Sri Aman, Sarikei, Limbang, Marudi, Lawas, Bau, Sematan, Mukah, Tebedu dan Sebuyau bagi merancakkan kegiatan pembangunan ekonomi.
Dalam usaha menggalakkan lebih banyak penyertaan usahawan kecil dan mikro dalam bidang perniagaan, pada tahun 2018, MINTRED telah mula merancang untuk membina premis perniagaan yang dikenali sebagai Anjung Usahawan di pelbagai lokasi di Sarawak.
Prasarana ini menyediakan kemudahan seperti tempat jualan makanan, pusat pemprosesan produk tempatan, pusat internet dan ruang aktiviti kemasyarakatan.
Setakat ini, sebanyak lapan (8) buah projek Anjung Usahawan sedang dilaksanakan oleh Kementerian dan beberapa buah projek lagi masih menunggu kelulusan di bawah RMK-12.
MINTRED akan terus komited untuk menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan pesat sektor perindustrian, perniagaan, pelaburan dan keusahawanan negeri bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.
Usaha-usaha ini penting kerana ia bertujuan untuk menarik taraf sosioekonomi rakyat Sarawak dari segi peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan, pembasmian kemiskinan, mengurangkan migrasi dan merapatkan jurang pembangunan ekonomi antara bandar dan luar bandar.