- Advertisement -spot_img
4,827
published news
and counting

Keberkesanan Ekosistem Pemasaran Hasil Pertanian

Must read

Pada 2017, Kerajaan Sarawak telah menggariskan 13 inisiatif untuk mentransformasi sektor pertanian Sarawak ke arah yang lebih moden, mapan dan berteraskan digital dan ia dilihat telah mampu memberi impak besar terhadap ekosistem pemasaran hasil pertanian di negeri Sarawak.

Inisiatif-inisiatif tersebut ialah :

  1. Mengukuhkan keupayaan dan keupayaan modal insan
  2. Memperluaskan rangkaian pemasaran
  3. Menubuhkan syarikat tujuan khas (SPV)
  4. Memperkuat model pembiayaan sektor pertanian
  5. Menjalankan promosi dan promosi perdagangan yang agresif dan sistematik
  6. Mengenal pasti model perniagaan
  7. Menggunakan teknologi moden dan digital dalam meningkatkan pengeluaran makanan
  8. Menguatkan penguatkuasaan pengurusan sumber laut
  9. Memperluaskan kawasan tanaman untuk komoditi
  10. Mengadakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan R&D
  11. Menyediakan inkubator pertanian
  12. Membangun dan menguruskan rantaian bekalan penuh industri pertanian dan
  13. Menubuhkan agensi pembangunan serantau.

Pada 2018, enam lagi inisiatif diperkenalkan untuk memperkasakan sektor pertanian antaranya ialah dengan mewujudkan kerjasama dengan syarikat peneraju bagi membantu petani-petani kecil kerana mereka tidak dapat bergerak sendiri untuk memasarkan hasil-hasil pertanian mereka.

Penyelidikan produk pertanian (terung asam) buka pasaran dan potensi baharu

Matlamat kerjasama ini diwujudkan adalah kerana syarikat-syarikat peneraju mempunyai rangkaian yang luas dengan pasaran luar untuk memasarkan hasil-hasil pertanian dan dengan cara demikian, ia dapat menggalakkan para petani untuk mengeluarkan hasil dengan lebih banyak.

Susulan itu, Jabatan Pertanian Sarawak (DOA) telah berkolaborasi dengan Syarikat Top Fruits Sdn. Bhd, di Tarat, Serian dan A.T.A Supplies di Layar, Betong untuk membantu petani kecil di kawasan berkenaan memasarkan hasil-hasil pertanian mereka.

Sehingga kini, sejumlah 223 tan metrik pes dan pulp durian telah dieksport ke Semenanjung Malaysia dan China dengan anggaran nilai berjumlah RM4.86.

Terdapat beberapa kriteria dalam pemilihan syarikat-syarikat peneraju tersebut antaranya ialah kepakaran (expertise) dalam sektor pertanian, tembusan ke pasaran domestik dan eksport (market access) serta modal kewangan yang kukuh (strong financial capital).

Dalam pada itu, DOA juga akan terus komited untuk memperkasakan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dalam menyokong usaha mengkomersialkan sektor pertanian di Sarawak.

PPK berpotensi untuk dibangunkan bagi melibatkan diri dalam rantaian nilai iaitu dari pengeluaran sehingga ke pasaran.

Semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM1.5 juta kepada 28 buah PPK untuk membeli hasil tani yang tidak dapat dijual secara borong daripada usahawan tani.

Sebanyak 423 tan metrik hasil tani telah dibeli daripada lebih 500 orang petani dan daripada jumlah tersebut, PPK telah berjaya menjual kembali 221 tan metrik (52%).

DOA turut mengeluarkan sebanyak 860 surat sokongan pergerakan bagi membolehkan petani bergerak ke kawasan lain untuk menghantar atau membekal produk mereka kepada pengguna atau pembeli lain.

Sehubungan itu, DOA telah mengenal pasti beberapa isu dan cabaran dalam pembangunan pertanian terutama dalam ekosistem pemasaran hasil pertanian yang perlu diketengahkan dan diberi penekanan dalam RMK-12 dan pelan seterusnya.

Penggunaan teknologi moden dan digital dalam meningkatkan pengeluaran makanan

Antara isu yang dikenal pasti ialah, majoriti pekebun kecil masih menggunakan amalan pertanian konvensional daripada penggunaan amalan dan teknologi pertanian moden sehingga menyebabkan sektor pertanian tidak produktif dan berdaya saing.

Selain itu, kekurangan infrastruktur, kemudahan dan perkhidmatan moden seperti logistik pemasaran dan pemprosesan telah menyukarkan pemasaran hasil pertanian.

Malah, cabaran akses pasaran luar negara yang mana terdapat produk pertanian tempatan yang tidak memenuhi standard kualiti produk global yang menjadikan produk pertanian tempatan tidak dapat menembusi pasaran antarabangsa.

Kurangnya penglibatan sektor swasta dalam sektor pertanian Sarawak juga antara cabaran yang perlu didepani kerana untuk mencapai skala komersial dan mengamalkan pertanian moden, ia memerlukan penglibatan sektor swasta yang memiliki teknologi terkini, modal, kepakaran dan akses kepada pasaran yang lebih besar.

Turut dikenal pasti ialah, tahap pengeluaran produk hiliran yang mempunyai nilai komersial yang rendah dan hanya fokus kepada pasaran tempatan sahaja.

Di bawah program agro makanan DOA, sebanyak 90% daripada usahawan bimbingan DOA merupakan pengusaha secara kecil-kecilan yang merekodkan nilai jualan produk di bawah RM100,000 setahun.

Antara faktor yang menyumbang isu ini ialah kekurangan bahan mentah untuk menghasilkan produk-produk hiliran berasaskan pertanian.

Justeru, antara langkah yang diambil oleh DOA untuk mengatasi isu dan cabaran ini ialah dengan mempergiatkan pembangunan produk pertanian berasaskan hiliran (tambah nilai) dalam pemprosesan makanan termasuklah pembungkusan dan pengedaran.

DOA pergiatkan program pensijilan jaminan kualiti menerusi Skim Amalan Pertanian Baik (myGAP)

DOA juga turut mempergiatkan program persijilan jaminan kualiti menerusi Skim Amalan Pertanian Baik (myGAP), Analisis Bahaya Kawalan Titik Kritikal (HACCP), Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MESTI) dan  Halal bagi menjamin produk pertanian dapat menembusi pasaran eksport.

DOA laksanakan program pensijilan jaminan kualiti menerusi Skim Amalan Pertanian Baik (myGAP)

Untuk itu, DOA akan terus mempergiatkan pembangunan infrastruktur pertanian dalam rantaian nilai, mengadaptasi penggunaan teknologi moden seperti mekanisasi dan automasi serta pertanian moden untuk menarik penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article