- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Perkhidmatan Perbankan Bergerak Untuk Masyarakat Luar Bandar

Must read

Kesukaran masyarakat luar bandar Sarawak mendapatkan perkhidmatan perbankan kini dipermudahkan apabila perkhidmatan Bank Bergerak secara rasminya telah dilancarkan oleh Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg di Kuching pada 6 Mei 2021.

Sebagai permulaan, empat buah bank yang terlibat, iaitu Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Rakyat, Agro Bank dan RHB Bank akan menawarkan perkhidmatan di beberapa buah kawasan luar bandar terpilih.

Menurut Ketua Menteri, BSN akan menawarkan perkhidmatan di Sebauh dan Sungai Asap. Bank Rakyat juga akan menawarkan perkhidmatan di Sebauh dan Sungai Asap, Tatau dan Belaga.

Manakala Agro Bank pula menawarkan perkhidmatan meliputi kawasan Padawan, Bau, Lundu, Sematan, Lingga, Pantu, Tebedu, Asajaya dan Sebuyau dan RHB Bank menawarkan perkhidmatan di Asajaya, Sadong Jaya, Balingian, Oya dan Igan.

Beliau memaklumkan perkara berkenaan pada sidang media selepas majlis pelancaran turut berterima kasih atas kerjasama bank-bank terlibat yang menyahut saranan Kerajaan Sarawak untuk menyediakan perkhidmatan perbankan kepada masyarakat luar bandar yang selama ini yang terhad perkhidmatan perbankannya.

Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menjadi ‘pelanggan pertama’ yang mengeluarkan wang menerusi perkhidmatan Bank Bergerak RHB Bank

Ketua Menteri berharap perkhidmatan Bank Bergerak akan mengurangkan beban masyarakat luar bandar yang ada kalanya terpaksa menanggung kos perjalanan ke bandar untuk berurusan dengan bank.

Bank Bergerak menawarkan perkhidmatan seperti kemudahan Automated Teller Machine Malaysian Electronic Payment System (ATM MEPS) dan kaunter perkhidmatan pelanggan.

Inisiatif Bank Bergerak adalah sebahagian daripada Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang yang diumumkan Ketua Menteri pada 8 Mei 2020 dengan peruntukan sebanyak RM1.6 juta.

Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg meninjau kemudahan ATM yang disediakan oleh Bank Bergerak BSN

Di bawah pakej tersebut, Kerajaan Sarawak menyalurkan suntikan RM200,000 kepada bank terlibat bagi membeli atau mengubah suai kenderaan khas yang dilengkapi dengan perkhidmatan perbankan.

Majlis pelancaran yang diadakan di perkarangan Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri YB Tan Sri Datuk Amar (Dr.) James Jemut Masing, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Dato’ Sri Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, Setiausaha Kerajaan Negeri YB Datuk Amar Jaul Samion dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Sosio Ekonomi) YBhg Datu Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article