- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Latihan Bantu Tingkat Produktiviti Komuniti Tani Untuk Berdaya Maju

Must read

Lebih 140 Program Pengembangan Pertanian MANRED Laksanakan

Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah (MANRED) memainkan peranan penting dalam membuat anjakan serta melaksanakan dasar program bagi mencetuskan transformasi dalam bidang pertanian di Sarawak.

Petani-petani di kawasan luar bandar perlu dibekalkan dengan pengetahuan mendalam tentang projek pertanian yang diusahakan agar lebih gigih, berdisiplin dan tekun dalam melaksanakan projek.

Justeru, langkah membangunkan sektor pertanian secara komprehensif berupaya membantu Sarawak mencapai agenda antaranya termasuklah meningkatkan pendapatan luar bandar serta merapatkan jurang pendapatan dan kekayaan antara negeri di Malaysia.

Sumber daripada MANRED memaklumkan bahawa sektor pertanian terus mendapat perhatian daripada pihak kerajaan dengan melaksana dan mendukung pelbagai program yang berteraskan tumpuan utama bagi melahirkan lebih banyak kumpulan sasar yang produktif dan berdaya maju.

Misalnya pada tahun lepas, Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM9.93 juta untuk melaksanakan program Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP).

MANRED dalam kenyataannya memberitahu bahawa kementeriannya telah menyasarkan untuk melaksanakan 428 kursus di bawah AgriCOP pada tahun lepas namun, hanya 377 (88%) kursus berjaya dilaksanakan dan telah memberi manfaat kepada kira-kira 35,000 peserta.

Pada dasarnya, tujuan program AgriCOP ini dilaksanakan adalah untuk membolehkan kerajaan mendekati komuniti tani agar dapat menyampaikan maklumat terkini berkenaan dasar, strategi dan program sektor pertanian khasnya berkaitan teknologi baru dan bidang tumpuan kerajaan.

Program Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) untuk mendekati komuniti tani

Antara topik yang selalu ditekankan ialah pertanian pintar, teknik tanaman pelbagai tanaman berasaskan tanaman seperti durian, nanas dan kopi, akuakultur dan pembangunan produk asas tani.

Selain AgriCOP, Program Pengembangan Pertanian juga adalah antara projek berimpak tinggi yang diperkenalkan sebagai mekanisme untuk membantu pengusaha pertanian baik berskala kecil mahupun sederhana.

MANRED telah melaksanakan 143 kursus latihan yang merangkumi topik seperti tanaman makanan, perikanan dan pemprosesan produk hiliran dengan memberi manfaat kepada lebih 5,000 peserta.

MANDRED juga turut mengadakan Program Ceramah Kesedaran Penyakit Rabies di semua Bahagian dan Daerah di seluruh Sarawak sejak tahun 2017 serta Program Ceramah Kesedaran Penyakit African Swine Fever (ASF) yang mula dilaksanakan di Bahagian Limbang pada Mac 2021.

MANRED juga kerap mengadakan sesi dialog bersama komuniti luar bandar kerana pemilik tanah NCR harus memahami proses usaha sama dengan agensi Kerajaan Sarawak dalam memajukan tanah NCR selain untuk memudahkan usaha mereka membangunkan tanah itu secara terancang.

Terdapat dua sesi dialog diadakan iaitu yang pertama, Dialog Umum untuk memberi penerangan tentang tatacara, prosedur dan proses pembangunan tanah NCR serta penerangan mengenai pelbagai program atau projek yang disediakan dan dipromosikan oleh kerajaan untuk pembangunan tanah NCR.

Komuniti tani didedahkan dengan dasar, strategi dan program sektor pertanian khasnya berkaitan teknologi baru dan bidang tumpuan kerajaan

Kedua ialah Dialog Lapangan iaitu susulan daripada dialog umum untuk mendapatkan verifikasi dari pemilik tanah sendiri berkenaan permohonan membangunkan tanah NCR selain untuk memastikan tiada muslihat atau tipu helah di sebalik permohonan yang telah dihantar kepada  MANRED.

Selain itu, MANRED turut melaksanakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) antaranya Program Pembelian Balik Lambakan Hasil Tani semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020.

Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM1.5 juta kepada 28 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk membeli lebihan hasil pertanian dari para petani agar mereka tidak hilang punca pendapatan sepanjang tempoh PKP.

Sehingga kini, sebanyak 449 metrik tan hasil tani telah dibeli dari lebih kurang 500 orang petani dan dari jumlah tersebut, sebanyak 231 metrik tan (51.4%) telah dijual ke pasar manakala selebihnya telah didermakan kepada pihak yang memerlukan.

Dalam usaha membantu kementerian untuk terus memajukan sektor pertanian ini, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) turut melaksanakan tanggungjawab dengan menjalankan pelbagai program CSR seperti Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) iaitu bantuan untuk meningkatkan pendapatan golongan bersasar.

Selain itu, SALCRA turut terlibat dalam melaksanakan pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas seperti pembinaan dewan komuniti, jalan masuk ke kampung, jambatan dan projek bekalan air kampung (bekalan air paip graviti).

Antara lain ialah program bantuan pinjaman pendidikan bagi anak-anak peserta yang layak dan kemudahan bangunan seperti klinik dan tabika serta pembinaan rumah ibadat seperti surau dan gereja kecil.

Dengan menerima bimbingan, sokongan, pelbagai insentif, petani yang mengikuti program-program turun padang yang dijalankan oleh MANRED dapat meningkatkan sumber pengetahuan sekali gus akan dapat meningkatkan sumber pendapatan mereka.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article