- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Manfaat Ketara Pembangunan Infrastruktur

Must read

RAKAN Sarawak telah menemu bual beberapa individu untuk mereka berkongsi pendapat dan pengalaman dalam menikmati manfaat kemudahan infrastruktur yang terdapat di kawasan masing-masing.

Mereka turut menyuarakan harapan dan jangkaan mereka terhadap pembangunan infrastruktur untuk masa akan datang.

Impak Jalan Pesisir di Wilayah Tengah Sarawak

Menurut Encik Harbi Haji Bakir, sebelum  wujudnya jalan pesisir lebih 20 tahun lalu, penduduk terpaksa menggunakan pengangkutan laut untuk berhubung di antara Mukah dan Balingian.

Beliau yang berasal dari Balingian dan merupakan Ahli Majlis Daerah Dalat-Mukah berasa bersyukur kerana jalan pesisir menjadikan jarak perjalanan lebih dekat dan selesa.

Ramai pengunjung luar termasuk dari Sabah datang ke Mukah kerana jarak dan masa perjalanan yang kini lebih singkat.

Jelas beliau, jalan pesisir juga memberi banyak manfaat kepada peniaga termasuk pelajar-pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi yang sering berulang alik ke sekolah dan kampus.

Selain jalan pesisir, Encik Harbi berharap supaya infrastruktur seperti Lapangan Terbang Mukah yang baharu akan turut memberi impak kepada pembangunan yang lebih pesat di Bahagian tersebut. Beliau juga berharap supaya pertumbuhan industri di Bahagian tersebut seperti arang batu di Matadeng semakin berkembang seterusnya memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan yang kini sedang belajar di institusi pengajian tinggi yang terdapat di Mukah.

Bagi Puan Bibi Mohidin, kewujudan jalan pesisir telah memberi banyak manfaat kepada para peniaga termasuk pengusaha gerai makanan seperti beliau terutama ketika berlangsungnya Pesta Kaul Mukah.

Perjalanan menjadi lebih lancar dan singkat melalui jalan pesisir, ujar beliau. Rangkaian jalan raya yang berkembang dan lapangan terbang baharu akan membuka akses kepada orang luar dan penduduk tempatan untuk ke Mukah.

Tambah beliau, Jambatan Kuala Tatau-Balingian yang merupakan salah satu komponen jalan pesisir telah memudahkan penduduk untuk ke bandar-bandar utama seperti Bintulu dan seterusnya ke Miri dan Limbang.

Jalan pesisir sememangnya memudahkan aktiviti harian penduduk dengan memendekkan jarak perjalanan yang kini juga lebih selamat dan selesa.

Demikian menurut Lahir@Sahari Bujang, seorang nelayan yang berasal dari Kampung Kuala Petanak, Mukah.

Beliau mencadangkan supaya jalan pesisir dan jalan sedia ada diperluaskan memandangkan peningkatan jumlah kenderaan yang datang dari luar.

Pada pengamatan beliau, golongan petani dan pengusaha tanah merupakan antara yang menerima banyak manfaat kerana urusan jual beli dan aktiviti harian semakin mudah dilakukan; ini adalah impak terbesar daripada kewujudan jalan pesisir.

Beliau berharap agar jalan pesisir akan menjadi laluan utama memandangkan jarak ke Bintulu dan Miri adalah lebih dekat.

Malah, kini pengunjung dari Limbang juga sering kali melalui jalan pesisir untuk ke Mukah.

Berasal dari Sibu, Jacqueline Ting Miao, yang telah lama menetap di Mukah bersama keluarga turut merasai perubahan dan impak daripada pembangunan jalan pesisir.

Beliau yang membantu mengusahakan kedai serbaneka milik keluarga beliau melihat bahawa impak ketara daripada jalan pesisir adalah kemunculan lebih banyak bangunan rumah kedai atau premis perniagaan yang tumbuh seperti cendawan di bandar Mukah.

Beliau yang sering berulang alik ke Bintulu merasakan perjalanan melalui jalan pesisir kini lebih lancar.

Jacqueline juga berharap supaya jalan pesisir dan jalan lain sedia ada akan dinaik taraf kepada laluan dua hala empat lorong memandangkan kenderaan berat sering keluar masuk terutama di kawasan perindustrian arang batu Matadeng, Mukah.

Puan Jumarni Abdul Rahman merupakan salah seorang peniaga di kalangan bukan penduduk tempatan yang telah bermastautin di Mukah lebih 20 tahun.

Beliau yang berasal dari Sabah mengusahakan perniagaan ikan bilis dan sering menggunakan jalan pesisir untuk mengambil bekalan dari Bintulu.

Perjalanan dari Mukah ke Bintulu melalui Jambatan Kuala Tatau-Balingian mengambil masa yang tidak begitu lama dan memudahkan aktiviti pengangkutan hasil jualan kepada peniaga seperti beliau.

Menurut Puan Jumarni, keadaan jalan agak sibuk pada hujung minggu kerana ramai pengunjung dari luar berkunjung ke Mukah. Beliau menjangkakan kawasan sekitar Mukah akan lebih membangun pada masa akan datang, kesan daripada pembangunan jalan pesisir.

Beliau juga berharap supaya jalan pesisir di Mukah akan dinaik taraf bagi memberikan kemudahan yang lebih selesa kepada pengguna.

Pelajar lepasan ijazah, Johnny Wong Kee Hong dari Sibu juga bersependapat bahawa jalan pesisir sangat memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau yang pernah belajar di salah sebuah kolej swasta di Miri kerap kali menggunakan jalan pesisir yang menghubungkan Miri dan Bintulu ketika musim cuti dan merasakan perjalanan amat selesa dan singkat.

Jalan pesisir pada pandangan beliau amat memberi manfaat kepada para petani dan peniaga kerana ia telah memudahkan aktiviti pengangkutan hasil tanaman dan jualan.

Selain itu, jalan pesisir juga dapat menghubungkan penduduk sekitar dengan bandar-bandar utama. Beliau percaya bahawa apabila Lebuh Raya Pan Borneo yang turut dihubungkan dengan jalan pesisir siap kelak, pembangunan di kawasan berhampiran akan menjadi lebih rancak.

Pekerja swasta, Winnie anak Nerry yang berasal dari Saratok, juga berpandangan bahawa rangkaian jalan pesisir telah memendekkan jarak perjalanan.

Beliau pernah merasai perjalanan dari Bintulu ke Miri menaiki kenderaan dengan mengambil masa kira-kira dua jam, iaitu lebih singkat berbanding dengan menggunakan jalan lama atau jalan sedia ada.

Jelas beliau, jalan pesisir telah memberi impak terhadap sosio-ekonomi penduduk dan memudahkan perhubungan atau perjalanan penduduk dari satu tempat ke satu tempat yang lain.

Selain itu, aktiviti pengangkutan hasil pertanian dan perniagaan juga menjadi mudah dan lancar.

Winnie berharap agar jalan pesisir akan dinaik taraf untuk perjalanan dan kemudahan yang lebih selesa kepada penduduk atau pengguna.

Dalam tempoh lebih 20 tahun lalu, jalan yang menghubungkan Sibu, Bintulu dan Miri tidaklah begitu elok dan perjalanan kurang selesa.

Suatu ketika dahulu, di sebahagian kawasan jalan raya kadang-kadang mengalami banjir dan menyukarkan perjalanan.

Demikian menurut Puan Wong Pik Hung, seorang ahli perniagaan yang berasal dari Sarikei ketika beliau berkongsi pandangan mengenai impak pembangunan jalan pesisir.

Jelas beliau, ramai pengunjung datang ke Sibu menggunakan jalan pesisir terutama pada musim perayaan dan cuti sekolah.

Beliau berharap supaya jalan pesisir akan menjadi lebih luas pada masa akan datang serta lebih banyak rangkaian jalan raya akan dibina.

Bagi Well Yaakub yang berasal dari Sibu, beliau memberikan pandangan bahawa kemudahan infrastruktur yang paling banyak memberi manfaat kepada penduduk adalah jalan raya seperti jalan pesisir.

Sebagai seorang peniaga ikan masin, beliau sering mendapatkan bekalan dari Mukah dan Bintulu melalui jalan pesisir sebelum sampai ke Sibu di mana beliau menjalankan perniagaan.

Pengangkutan hasil jualan dengan lori lima tan menurut beliau tidak mendatangkan kesukaran dan penghantaran sangat lancar serta kerap kali sampai tepat pada masa yang dirancang.

Manfaat daripada wujudnya jalan pesisir adalah memudahkan perhubungan penduduk untuk ke satu tempat ke tempat yang lain.

Demikian pandangan Puan Hajijah Leh, seorang peniaga kek lapis yang berasal dari Sibu. Menurut beliau, sejak adanya jalan pesisir, ramai pelancong domestik dan luar seperti dari Brunei datang ke Sibu.

Beliau merasakan perkembangan tersebut telah memberi impak kepada peningkatan ekonomi dan taraf hidup penduduk, terutama yang menjalankan perniagaan.

Selain itu, kemudahan jalan raya seperti jalan pesisir memudahkan penghijrahan golongan belia tempatan ke bandar-bandar utama untuk mencari pekerjaan.

Beliau menjangkakan pembangunan kemudahan infrastruktur lain seperti bekalan air dan elektrik dan sebagainya akan menjadi pemangkin kepada peningkatan ekonomi dan taraf hidup penduduk.

Pembangunan Infrastruktur dan Utiliti di Bako

Menurut Encik Let Yusuf, jika dibandingkan lebih 20 tahun lalu, perubahan dari segi kemudahan infrastruktur di Bako memang jauh ketara terutama dari segi keadaan jalan yang lebih baik.

Sejak 20 tahun lalu, kebanyakan kampung di Bako memang sudah menerima bekalan air dan elektrik dan hanya sebahagian kecil sahaja kawasan yang tidak mendapat bekalan tersebut.

Jelas beliau lagi, kemudahan bekalan elektrik dan air sekarang pada keseluruhannya sangat baik manakala Jambatan Bako yang baru dibuka pula ternyata memberi keselesaan dan melancarkan perjalanan penduduk.

Tambah Encik Let, taraf hidup dan sosioekonomi penduduk juga telah meningkat dengan adanya kemudahan infrastruktur yang membuka ruang pembangunan dan memberi impak kepada masyarakat.

Beliau berharap supaya kerajaan akan terus melaksanakan pembangunan infrastruktur dengan memberi tumpuan pada naik taraf jalan-jalan kampung.

Pengusaha katering, Encik Hikeni Jamahari, berpandangan bahawa banyak perubahan dari segi infrastruktur dapat dilihat di Kampung Bako seperti jalan raya dan yang terbaharu, Jambatan Bako yang baru saja dibuka amat memudahkan perjalanan penduduk untuk menghantar anak-anak ke sekolah dan menjalankan aktiviti harian yang lain.

Selain itu, Bako juga menempatkan Projek Rumah PPRT dan kemudahan rekreasi seperti dewan serba guna dan gelanggang sukan juga telah disediakan.

Tambah beliau, bekalan elektrik dan air memang sudah dibekalkan dari dahulu lagi dan tidak mendatangkan masalah kepada penduduk di samping kemudahan menara dan liputan komunikasi yang baik.

Namun, beliau berharap agar segala kekurangan kemudahan infrastruktur di Kampung Bako akan diberi perhatian.

Beliau juga berharap supaya jalan kampung yang dapat dilalui oleh kereta akan segera dibina kerana buat masa ini hanya motosikal sahaja yang dapat melalui jalan kampung.

Encik Ariffin Munir berpendapat, banyak perubahan dari segi kemudahan infrastruktur telah berlaku di Kampung Bako terutama dari segi jalan yang menghubungkan masyarakat bandar dan luar bandar.

Beliau yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Sarawak menjelaskan bekalan elektrik dan air di Kampung Bako memang sudah lama disediakan sebelum wujudnya jalan raya.

Tambah beliau, kemudahan infrastruktur ternyata memberi impak kepada pembangunan sosioekonomi penduduk serta memudahkan aktiviti harian penduduk, contohnya kemudahan komunikasi yang menghubungkan penduduk.

Encik Ariffin berharap supaya Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan akan terus memberi perhatian kepada pembangunan infrastruktur di kawasan Bako.

Jelas beliau lagi, penduduk amat bersyukur dengan siapnya Jambatan Bako yang baharu yang sangat memberi kemudahan kepada mereka dan komuniti perniagaan.

Ini termasuklah memudahkan pengangkutan bahan-bahan binaan bagi penduduk yang ingin membina dan membaik pulih rumah di seberang sungai.

Menurut seorang penjual ikan yang juga penduduk Bako, Puan Ardawaany Kusin, kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air sudah disediakan di Kampung Bako sejak lebih 20 tahun lalu.

Jelas beliau, kemudahan asas yang ada di Bako kini lebih baik dan banyak memberi manfaat kepada penduduk.

Memandangkan Bako adalah salah satu daripada kawasan tarikan pelancongan, kedatangan ramai pengunjung atau pelancong dari dalam dan luar negara ke Taman Negara Bako telah memberi peluang kepada para peniaga meningkatkan pendapatan mereka. Pengunjung dari luar juga gemar ke Bako kerana hasil tangkapan ikan yang segar.

Menurut beliau, taraf hidup penduduk juga semakin meningkat. Memandangkan Bako adalah kawasan tumpuan pelancongan, Puan Ardawaany berharap supaya lebih banyak kemudahan infrastruktur akan dibina dan dipertingkatkan seperti lebih banyak tandas awam dan juga jalan raya.

Artikel ini disesuaikan daripada artikel terbitan RAKAN Sarawak versi bercetak keluaran Januari-Mac 2019

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article