- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

MANRED Melestari Ekonomi Pertanian dan Luar Bandar Sarawak

Must read

Pembangunan komuniti pertanian dan kemajuan luar bandar perlu di perkasa dalam misi mentransformasikan dan melestari ekonomi pertanian dan luar bandar di Sarawak.

Transformasi dan kelestarian pertanian merupakan agenda penting yang diterajui oleh Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED) dalam matlamat menjadikan Sarawak negeri berpendapatan tinggi dan pembekal makanan menjelang 2030.

Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Encik Edwin anak Abit

Dalam sesi temu bual bersama RAKAN Sarawak baru-baru ini, Setiausaha Tetap kementerian berkenaan, Encik Edwin anak Abit menyenaraikan beberapa program berkaitan pembangunan komuniti dan luar bandar yang telah dan akan dilaksanakan oleh MANRED untuk tahun 2021.

Ada antara program merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan melalui kerjasama di antara MANRED dengan agensi-agensi yang berkaitan.

  • Program Infrastruktur Ladang

Program ini bertujuan untuk menjamin hubungan di antara petani dan pasaran. Antara usaha yang telah dijalankan ialah membangunkan jalan ladang seluas lebih dari 2,000 kilometer dengan kos keseluruhan kira-kira RM125 juta yang telah memanfaatkan lebih daripada 28, 000 orang peserta di seluruh Sarawak.

  • Program Ladang Kontrak 2.0

Program Ladang Kontrak 2.0 dijalankan secara kerjasama di antara Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan, khususnya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam menyediakan kemudahan pemasaran dan akses pasaran kepada para petani untuk menjual hasil tani.

MANRED turut bekerjasama dengan agensi Kerajaan Persekutuan dalam Program Ladang Kontrak
  • Pusat Pertumbuhan Desa (RGC)

Sebanyak RM106.8 juta diperuntukkan untuk menjayakan lapan (8) Projek RGC. Daripada kesemua projek, dua (2) buah projek sudah pun siap dilaksanakan.

Dua (2) projek masih dalam fasa pelaksanaan dan empat (4) lagi projek masih dalam perancangan.

  • Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT)

Di bawah PPRT, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM35.2 juta secara keseluruhan untuk PPRT di Sarawak dengan jumlah kuota 279 unit Bina Baharu dan 1,177 unit Baik Pulih.

Peruntukan disalurkan secara berperingkat, iaitu RM27.8 juta akan disalurkan bagi Fasa 1/2021 dengan kuota 225 unit Bina Baharu dan 911 unit Baik Pulih.

  • Projek Pemajuan Kawasan (PPK)

Projek ini ialah inisiatif FELCRA Berhad di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan dilaksanakan bertujuan untuk mewujudkan penempatan baharu yang lebih terancang dan teratur, khususnya bagi penduduk kampung yang terdedah kepada ancaman bencana alam, ancaman keselamatan, ancaman kesihatan dan penempatan yang terletak di kawasan yang tidak sesuai dan sukar untuk dihubungi.

Sebanyak RM 30 juta telah diperuntukkan untuk PPK dan sejumlah RM7.9 juta telah pun disalurkan.

Projek ini akan memanfaatkan penduduk dari lima (5) buah kampung di Daerah Lundu yang terjejas akibat hakisan dan banjir.

Para penduduk kampung yang terlibat akan dipindah ke penempatan baru seluas 12.14 hektar (30 ekar) di atas tanah Kerajaan Negeri.

Kampung-kampung yang terlibat merangkumi Kampung Stunggang Melayu, Kampung Semunin Jaya, Kampung Dagang, Kampung Sileng Melayu dan Kampung Sileng Dayak.

  • Program Desa Lestari

Program Desa Lestari merupakan inisiatif KPLB yang bertujuan untuk memperkasa aktiviti ekonomi dan keusahawanan penduduk kampung melalui penubuhan Koperasi.

Program ini membuka peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan pendapatan penduduk selain meningkatkan pengupayaan komuniti dalam merancang serta menjayakan pelaksanaan projek pembangunan di kampung.

Komuniti Kampung Jagoi Duyoh, Bau yang terlibat dalam Program Desa Lestari

Program ini dijalankan dengan kerjasama strategik di antara MANRED dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Setakat ini, sebanyak RM 4.0 juta telah dibelanjakan untuk projek Desa Lestari dan telah memanfaatkan penduduk dari tujuh (7) buah kampung dan rumah Panjang seperti berikut:

  • Kampung Pejuang Kelulit, Miri
  • Rh Edmund Kumbong, Saratok
  • Rh Surang, Sibu
  • Rh Benjamin Angki, Kanowit
  • Uma Belor, Belaga
  • Kampung Jagoi Duyoh (Bung Jagoi), Bau
  • Rh Benggau Anak Andah, Nanga Sut, Baleh
  • Program Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK)

Bagi program ini, sebanyak RM9 juta telah diperuntukkan di mana RM340,000 telah disalurkan dan dijangka akan memanfaatkan 10,290 orang penduduk dari Sembilan (9) Buah Kampung di Daerah Matu.

Menurut Encik Edwin, selain daripada program-program tersebut, MANRED turut melaksanakan beberapa program bantuan kepada golongan tani dan nelayan yang ada kalanya terjejas pendapatan pada musim-musim tertentu.

Antara bantuan yang diberikan adalah seperti Bantuan Input Pertanian kepada Pekebun Kecil Kelapa Sawit dan Lada, Bantuan Musim Tengkujuh Nelayan (BMTN) dan Bantuan Input dan Peralatan Nelayan (BIPN).

Di bawah Bantuan Input Pertanian kepada Pekebun Kecil Kelapa Sawit dan Lada, Kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM60 juta pada tahun 2021 untuk membantu pekebun kecil kelapa sawit dan lada.

Bantuan ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada seramai 40, 450 orang pekebun kelapa sawit dan 36, 290 orang pekebun kecil lada di Sarawak.

Bagi program BMTN, sejumlah RM8.61 juta telah dikeluarkan pada tahun 2020 dalam bentuk bantuan tunai kepada 5, 733 orang peserta, iaitu setiap nelayan menerima RM300 sebulan selama lima bulan pada Januari, Februari, Mac, November dan Disember. Manakala di bawah program BIPN pula, sejumlah RM20 juta telah diperuntukkan untuk membantu kira-kira 10, 000 orang peserta melalui penyediaan input peralatan menangkap ikan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article