Pusat Penyelidikan Pertanian (ARC) Semenggok telah ditubuhkan pada tahun 1967 dan diiktiraf sebagai pusat penyelidikan pertanian yang unggul di Sarawak kerana mempunyai pelbagai perkhidmatan, ilmu dan kepakaran dalam bidang pertanian.
Antara perkhidmatan yang disediakan ialah analisis sampel tanah, tumbuhan, kajian nutrisi, kandungan bahan berat, kandungan racun serangga, baja untuk kandungan nutrisi, air untuk kajian nutrisi, kandungan bahan berat, kandungan racun serangga dan makanan untuk kandungan nutrisi dalam label makanan seperti yang dikehendaki di dalam Akta Makanan Malaysia.
Selain itu, ARC turut mengawal selia perkhidmatan Program Jaminan Kualiti seperti Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALBM), Vegetable Certificate Scheme (VCS), Skim Organik Malaysia (SOM), Skim Persijilan Ladang Akuakultur, Malaysia (SPLAM) dan Skim Amalan Ladang Ternakan (SALT).
Selain di Semenggok, terdapat juga stesen penyelidikan di Rampangi, Paya Paloh, Ulu Rembus, Pejiru, Stumbin, Sesang, Sg Mau’h, Paya Selangau, Kebuloh, Bario dan Long Semado.
RAKAN Sarawak keluaran Oktober 2001 telah memaparkan kejayaan ARC Semenggok mengadakan Hari Terbuka selama tiga hari (19-21 Oktober 2001) untuk menghebahkan kepada orang ramai tentang teknologi yang telah dan sedang dibangunkan.
Pada masa yang sama, hari terbuka ARC juga untuk meningkatkan minat golongan pelajar dalam bidang pertanian, memberitahu orang ramai kegiatan yang dilakukan di ARC Semenggok dan menyediakan ruang kepada para petani dan orang ramai mengutarakan masalah yang dihadapi dalam bidang pertanian.
Merujuk artikel RAKAN Sarawak keluaran September 2002, ARC Semenggok telah melaksanakan program ‘Liputan Media Secara Lawatan Berpandu’ yang buat julung kalinya dirancang khas untuk wakil-wakil media massa.
Pendedahan dan penyebaran pelbagai maklumat untuk pengetahuan umum ini sangat penting, lebih-lebih lagi bagi menyedarkan orang ramai tentang kewujudan perkhidmatan, kemudahan dan program terbaharu oleh agensi-agensi kerajaan.
ARC Semenggok telah berjaya membangunkan teknologi di dalam bidang pertanian di Sarawak, tetapi masih ramai petani yang belum menggunakan teknologi ini disebabkan ramai yang kurang peka dengan kepakaran yang sedia ada atau pun sukar untuk mendapatkan maklumat yang tepat.
Ordinan Galakan Pertanian Komersial dan Industri Berasaskan Pertanian 2004
Merujuk sebuah rencana RAKAN Sarawak terbitan suku ketiga 2004, Ordinan Galakan Pertanian Komersial dan Industri Berasaskan Pertanian 2004 telah diluluskan selepas Ordinan Galakan Pertanian Komersial dan Industri Berasaskan Pertanian 2004 dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) awal tahun tersebut.
Kelulusan ordinan tersebut telah membawa kepada penubuhan Majlis Penasihat Agropolis Sarawak
(MPAS) dan sebuah syarikat milik Kerajaan Sarawak bagi memastikan perancangan dasar itu mencapai matlamat.
Konsep ‘Agropolis’ diperkenalkan bagi memastikan produk pertanian mendapat tempat di pasaran tempatan mahupun global seterusnya menyumbangkan kepada pembangunan ekonomi negara.