Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pengangkutan, Sarawak bekerjasama dengan agensi-agensi yang berkaitan dan Syarikat-syarikat Bas Henti-henti menyediakan perkhidmatan bas di bawah Program Tambang Bas RM1.00 untuk menghubungkan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) atau pusat imunisasi bandar-bandar utama di Sarawak.
Syarikat Bas Henti-henti dan Sarawak Metro Sdn. Bhd. telah memberikan perincian mengenai laluan dan jadual perkhidmatan bas henti-henti yang menghubungkan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) atau pusat imunisasi di Kuching, Kota Samarahan, Serian, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Mukah dan Miri.
Laluan dan penjadualan bas henti-henti ini juga boleh diperoleh di laman sesawang Kementerian Pengangkutan, Sarawak (MOTS) di https://mot.sarawak.gov.my
Maklumat ini juga diedarkan kepada semua Residen yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian untuk disebarkan kepada orang ramai di peringkat Bahagian dan Daerah.
Untuk makluman orang ramai, perkhidmatan bas henti-henti adalah salah satu dari pelbagai mod pengangkutan yang boleh diambil orang ramai dari rumah mereka ke PPV atau pusat imunisasi untuk tujuan vaksinasi Covid-19. Pihak Kerajaan mengambil maklum akan kesulitan yang dihadapi oleh orang awam yang layak mendapatkan vaksinasi untuk hadir ke PPV. Dengan menggunakan bas henti-henti dan bas hidrogen ke PPV atau pusat imunisasi, mereka tidak perlu risau tentang masalah parkir dan tekanan memandu.
Adalah menjadi harapan kerajaan dan tambang bas yang berpatutan dengan harga RM1.00 akan mendorong lebih ramai orang pergi ke PPV atau pusat imunisasi untuk vaksinasi dos pertama mereka.