Pelan Pemulihan Negara telah diumumkan Perdana Menteri YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin pada 15 Jun 2021 sebagai salah satu strategi peralihan keluar secara berfasa dari kemelut pandemik COVID-19.
Pelan ini dilaksanakan setelah mengambil kira pertimbangan memastikan setiap keputusan yang diambil adalah untuk melindungi nyawa dan memastikan kelangsungan hidup rakyat dengan mengambil kira ancaman COVID-19 yang masih menular dalam komuniti.
Selain itu, ia juga merupakan satu panduan yang dirangka secara berhati-hati berdasarkan data dan sains untuk membolehkan kita semua kembali kepada kehidupan harian biasa.
Strategi Pelan Pemulihan Negara merangkumi empat fasa, melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat, berpaksi kepada data yang bersandar kepada tiga penunjuk ambang utama (threshold) untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.
Penunjuk pertama merujuk keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian manakala penunjuk kedua ialah keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Penunjuk ketiga pula merujuk kepada tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.
Pendekatan secara berperingkat ini bermula dengan fasa pertama iaitu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh yang sedang dilaksanakan disebabkan bilangan kes COVID-19 adalah tinggi, sistem kesihatan awam di tahap kritikal dan kadar pencapaian vaksinasi yang masih rendah.
Pelaksanaan PKP ini selaras dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20, agar tindakan-tindakan yang diambil di peringkat sebelum, semasa dan selepas sesuatu kejadian bencana dapat dilaksanakan dengan cekap, teratur, terancang, berkesan dan mencukupi.
Di bawah Arahan MKN No. 20, ‘Bencana’ ditakrifkan sebagai sesuatu kejadian yang berlaku secara mengejut, bersifat kompleks dan mengakibatkan kehilangan nyawa, kemusnahan kepada harta benda atau alam sekitar serta menjejaskan aktiviti masyarakat setempat.
Kejadian ini memerlukan pengendalian yang melibatkan sumber, peralatan, kekerapan dan tenaga manusia yang ekstensif daripada banyak agensi serta penyelarasan yang berkesan, dalam mana kemungkinan memerlukan tindakan yang kompleks dan jangka masa panjang.
Bagi melaksanakan PKP, peraturan-peraturan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) telah diwartakan pada 18 Mac 2020.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) telah dilantik sebagai pegawai yang diberi kuasa di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).
Pengurusan bencana semasa COVID-19 merangkumi Petugas Agensi Tindak Balas (responder); Jawatankuasa Pengurusan Bencana (Pusat/Negeri/Daerah); dan Badan-Badan Sukarela (BSMM/NGO/Pihak Swasta/Pemimpin Masyarakat/Orang Awam Persendirian).
Pengurusan bencana semasa COVID-19 turut melibatkan aktiviti-aktiviti seperti;
- Pelaksanaan operasi pasukan/entiti sebelum, semasa dan selepas
- Pergerakan Rentas Sempadan sepanjang PKP
- Pembersihan dan disinfeksi
- Langkah pencegahan COVID-19
- Penetapan dan Pengendalian Pusat Pemindahan Sementara (PPS)
- Tatacara Rentas Negeri
Sehubungan itu, kerajaan akan menimbang peralihan daripada fasa satu kepada fasa dua PKP setelah purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes.
Sistem kesihatan awam juga harus tidak lagi berada di peringkat kritikal termasuk kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana dan sekurang-kurangnya sepuluh peratus populasi telah menerima dua dos suntikan vaksin.
Fasa dua merupakan kesinambungan daripada fasa pertama dengan aktiviti sosial dan kawalan pergerakan terus dikawal dengan ketat.
Semasa fasa dua:
- Aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80% di premis;
- Pendekatan senarai positif diteruskan iaitu hanya sektor yang tersenarai dibenarkan beroperasi manakala yang tidak tersenarai masih ditutup.
- Senarai positif daripada Fasa satu akan juga diperluaskan semasa fasa dua dengan menambahkan beberapa sektor; dan
- Aktiviti sosial dan rentas negeri masih tidak dibenarkan.
Penambahan sektor senarai positif semasa fasa dua termasuk aktiviti pembuatan seperti simen untuk memastikan kelangsungan pembinaan yang dibenarkan serta aktiviti peruncitan seperti barangan elektronik dan komputer bagi menyokong mereka yang bekerja dari rumah.
Semasa fasa dua dengan pendekatan senarai positif, masih terdapat aktiviti pembuatan, pembinaan, peruncitan dan perkhidmatan yang tidak disenaraikan dan kekal tidak beroperasi seperti pembuatan tekstil dan kedai perabot.
Seterusnya fasa tiga adalah melibatkan peralihan daripada pendekatan senarai positif kepada senarai negatif, iaitu di mana semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi untuk jangkitan COVID-19 yang masih ditutup.
Peralihan kepada fasa tiga ini boleh dilakukan sekiranya kita berjaya mencapai nilai ambang berikut;
- Purata kes harian COVID-19 menurun ke paras bawah dua ribu kes;
- Sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di ICU ke paras mencukupi;
- 40 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.
Semasa fasa tiga, semua sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang tersenarai dalam senarai negatif, iaitu aktiviti yang berisiko tinggi menyebabkan jangkitan COVID-19 atau melibatkan keramaian.
Pun begitu, sektor ekonomi akan kekal dibenarkan beroperasi pada kapasiti 80% seperti fasa dua, aktiviti sosial termasuk pendidikan dan sukan tertentu boleh mula dibuka secara berperingkat, malah semua aktiviti pembuatan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada SOP dan had kapasiti.
Senarai negatif fasa tiga yang tidak dibenarkan beroperasi merujuk kepada aktiviti berisiko tinggi kerana melibatkan keramaian seperti penganjuran konvensyen dan di mana penjarakan sosial tidak dapat diamalkan seperti pub, pusat rawatan kecantikan (spa) dan salun.
Walau bagaimanapun, kelonggaran kepada had kapasiti akan dipertimbangkan untuk membolehkan syarikat beroperasi sepenuhnya setelah pekerjanya telah di vaksinasi.
Daripada fasa tiga, kita akan dapat beralih kepada fasa empat sekiranya kita berjaya mencapai nilai ambang berikut;
- Purata kes harian COVID-19 menurun ke paras bawah 500 kes;
- Sistem kesihatan awam berada di paras selamat termasuk kadar penggunaan katil di ICU di paras mencukupi; dan
- 60 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.
Berdasarkan unjuran pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, peralihan ini dijangka dapat dilaksanakan seawal akhir bulan Oktober 2021.
Fasa empat adalah fasa terakhir Pelan Pemulihan Negara di mana kita seboleh mungkin dapat kembali semula kepada norma kehidupan seharian di mana semua sektor ekonomi akan dibuka, lebih banyak aktiviti sosial akan dibenarkan, perjalanan rentas negeri dibolehkan dan pelancongan domestik juga akan dibuka tertakluk kepada SOP yang ketat.
Fasa ini dapat dilaksanakan apabila bilangan kes COVID -19 adalah rendah, sistem kesihatan awam di tahap selamat dan program vaksinasi telah mencapai tahap imuniti berkelompok (herd immunity) selewat-lewatnya pada akhir tahun ini.
Pelan ini juga merupakan pelan yang dinamik di mana sekiranya kita berjaya dalam tiga penunjuk utama pada mana-mana fasa, kerajaan boleh terus mengambil keputusan untuk bergerak ke fasa seterusnya.
Kesemua SOP bagi fasa-fasa dalam Pelan Pemulihan Negara akan diperincikan oleh MKN dan diumumkan dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan, kejayaan kita mencapai imuniti kelompok adalah bergantung kepada berapa ramai rakyat negara ini dapat menerima suntikan vaksin.
Setakat 15 Jun 2021, beliau memaklumkan sebanyak lebih 4.5 juta dos suntikan telah berjaya diberikan kepada rakyat Malaysia di mana 3.2 juta telah menerima dos pertama dan 1.4 juta telah lengkap menerima dua dos vaksin.
Diharap lebih ramai rakyat akan mendapat temu janji suntikan vaksin dan menerima dos pertama setelah lebih banyak bekalan vaksin diterima kerana kerajaan menyasarkan sebanyak 26 juta populasi di Malaysia diberi vaksin menjelang akhir tahun 2021 bagi mencapai imuniti kelompok.
Beliau berjanji bahawa kerajaan akan terus membantu sedaya mampu, tanpa pernah putus berusaha dan berikhtiar supaya kita semua dapat keluar dari kemelut pandemik ini secepat mungkin.