Tawarkan Kemudahan Derma Darah Yang Selesa Dan Selamat
Jabatan Perkhidmatan Transfusi Dan Bank Darah, Hospital Umum Sarawak (HUS) dalam satu kenyataan dikeluarkan pada 1 Julai 2021 memaklumkan bahawa Pusat Tabung Darah Hospital Umum Sarawak yang telah beroperasi sejak 11 Disember tahun lepas menawarkan suasana derma darah yang moden, luas dan selesa kepada orang ramai yang berhasrat untuk menderma darah.
Bangunan baharu yang terletak di pintu masuk utama Hospital Umum Sarawak yang lama juga menempatkan Pusat Jagaan Harian dan makmal bersepadu. Pusat Tabung Darah berada di aras bawah bangunan berkenaan dan mempunyai kemudahan tempat letak kereta dan motosikal berbumbung.
Sebanyak 11 katil penderma disediakan di samping ruang menunggu dan ruang rehat yang lebih selesa berbanding di bangunan lama. Bangunan yang dibina oleh syarikat Asajuru Weida secara perkongsian swasta awam menawarkan persekitaran yang moden kepada pengunjung.
Orang ramai yang datang untuk menderma juga tidak perlu bimbang dan khuatir mengenai tahap keselamatan sewaktu pandemik Covid-19 kerana bangunan baru ini terletak sejauh 300 meter dari wad utama Hospital Umum Sarawak yang menempatkan pesakit Covid-19.
Aspek keselamatan juga menjadi fokus utama kepada pengurusan Pusat Tabung Darah HUS dengan melaksanakan prosedur ketat pencegahan wabak Covid-19 seperti menyediakan pengimbas suhu badan di pintu masuk bangunan.
Penderma yang datang juga akan disaring oleh pegawai perubatan yang bertugas dan soalan-soalan tambahan mengenai latar belakang kontak rapat, lokaliti dan kesihatan semasa akan dikemukakan.
Peralatan derma darah juga akan disinfeksi setiap kali proses pengambilan darah selesai oleh para petugas kesihatan.
Tidak dinafikan stigma masyarakat mengenai keselamatan hospital pada waktu ini sering menjadi persoalan kepada pengunjung yang bimbang untuk hadir menderma darah. Perkara ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi statistik kehadiran penderma ke Pusat Tabung Darah HUS.
Ditambah pula dengan penundaan dan pembatalan aktiviti derma darah oleh penganjur di kawasan awam menjurus kepada penurunan perolehan kutipan darah bulanan Hospital Umum Sarawak.
Untuk makluman, penggunaan harian beg darah dianggarkan sebanyak 70 beg untuk kes-kes kecemasan, rawatan harian pesakit kanser, talasemia dan juga pembekalan darah ke hospital-hospital daerah serta swasta.
Pihak Tabung Darah HUS amat mengharapkan kerjasama dan sokongan orang ramai untuk tampil menderma darah dan membantu menaikkan bekalan darah agar operasi harian Hospital Umum Sarawak tidak terjejas.
Operasi Pusat Tabung Darah Hospital Umum Sarawak pada hari bekerja adalah seperti berikut: