- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Pembangunan Lestari di Sarawak

Must read

Pembangunan amat penting untuk kesejahteraan rakyat dan negara. Namun, proses pembangunan perlu diseimbangkan dengan pengurusan alam sekitar yang baik.

Oleh sebab itulah pentingnya konsep pembangunan lestari bagi mengelak kerakusan yang boleh menyebabkan kehilangan sumber alam semula jadi untuk generasi akan datang.

Pembangunan lestari atau mapan ditakrifkan sebagai proses pembangunan yang seimbang dengan menekankan aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar daripada musnah.

Pemuliharaan bermaksud membaik pulih sumber-sumber alam sekitar yang merangkumi air, hutan, tenaga, udara. mineral dan lain-lain yang telah digunakan tanpa membiarkan sumber-sumber tersebut pupus.

Manakala pemuliharaan pula melibatkan aspek perniagaan dan perlindungan untuk mengekalkan sumber-sumber semula jadi daripada diteroka secara berlebihan oleh manusia.

Pada dasarnya, pembangunan lestari dibentuk berasaskan konsep dan prinsip pembangunan secara berterusan serta mempunyai matlamat untuk memenuhi keperluan semasa dan pada masa yang sama tidak menjejaskan keupayaan generasi akan datang.

Perkembangan Awal Pembangunan Lestari di Sarawak

Di Sarawak, konsep pembangunan lestari berkembang sejak tiga dekad lalu di bawah kepimpinan mantan Ketua Menteri Keempat yang kini Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud.

Beliau ketika itu turut memegang portfolio sebagai Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Sarawak menerajui pengurusan dalam penggunaan sumber asli secara lestari melalui Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli (KPBSA) hasil cetusan idea dan aspirasi beliau.

Idea dan aspirasi tersebut terus kekal sebagai agenda strategik yang mendasari operasi harian KPBSA. Pengurusan tertinggi kementerian juga komited dalam inisiatif membangkitkan kesedaran, memantau pelaksanaan, menilai keberkesanan dan memperkemaskan pelaksanaan dasar pembangunan lestari dari semasa ke semasa.

Dasar KPBSA ialah sentiasa berusaha untuk memenuhi kehendak pelanggan dalam merancang dan mengurus penggunaan sumber alam dan pembangunan negeri Sarawak secara cekap dan berkesan dengan mematuhi keperluan serta mempertingkatkan sistem pengurusan kualiti.

Pelaksanaan dasar pembangunan lestari KPBSA boleh dilihat melalui objektifnya seperti berikut:

Pemuliharaan hidupan liar turut menjadi agenda pembangunan lestari di Sarawak
  • Mengoptimumkan penggunaan dan pemeliharaan sumber hutan untuk kepentingan sosioekonomi.
  • Memelihara flora dan fauna, tinggalan atau warisan sejarah dan ciri-ciri geografi yang unik.
  • Memulihkan dan membangunkan semula kawasan yang terjejas oleh operasi pembalakan.
  • Merancang dan mengawal penggunaan tanah, sumber batuan dan mineral untuk faedah rakyat melalui pengurusan yang efektif dan efisien.
  • Merancang secara holistik pembangunan bandar dan luar bandar yang teratur bagi meningkatkan kualiti hidup.

Sidang Kemuncak Bumi Rio De Janeiro, 1992

Banyak usaha telah diambil ketika persidangan ini berlangsung bagi menekankan betapa pentingnya kesedaran sesetengah pihak dalam menangani isu alam sekitar yang semakin hari semakin membimbangkan akibat daripada pencemaran alam sekitar. Agenda 21 dan 21Protokol Kyoto merupakan antara hasil daripada persidangan tersebut.

Agenda 21 merupakan pelan tindakan menyeluruh yang dibentuk oleh Persidangan Alam Sekitar dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCED) dan mengandungi beberapa prinsip bagi membantu pihak kerajaan dan institusi dalam melaksanakan dasar-dasar dan program-program pembangunan lestari di negara masing-masing termasuk Malaysia.

Agenda 21 ialah perjanjian atau panduan yang menggariskan beberapa perkara yang harus dilaksanakan oleh negara-negara anggota PBB yang menerima pakai agenda tersebut.

Seterusnya, laporan tahunan perjalanan agenda ini di peringkat negara perlu dikemukakan kepada Majlis Pembangunan Lestari (CSD).

Laporan berkenaan mengandungi aktiviti yang dilakukan yang memenuhi hasrat Agenda 21, halangan, cabaran yang dihadapi serta isu-isu alam sekitar dan pembangunan yang berkaitan.

Penubuhan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB)

Susulan daripada Sidang Kemuncak di Rio De Janeiro, Kerajaan Negeri Sarawak lantas menggubal undang-undang “Natural Resources and Environment (Amendment) Ordinance, 1993 (Cap. 84 – Laws of Sarawak)”.

Maka lahirlah Lembaga Sumber Asli dan Persekitaran Sarawak yang ditubuhkan pada 1 Februari 1994 bersesuaian dengan Perkara 3 (1) dalam undang-undang tersebut.

Kini, Lembaga Sumber Asli dan Persekitaran Sarawak dinamakan sebagai Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak atau secara ringkasnya, NREB.

Bernaung di bawah KPBSA, NREB merupakan entiti utama yang bertanggungjawab melindungi dan menguruskan alam sekitar serta sumber asli di Sarawak.

Diketuai oleh seorang Kontroler, matlamat penubuhan NREB ialah untuk melindungi dan meningkatkan kualiti alam sekitar bagi mencapai pembangunan lestari dan seimbang di negeri ini.

Berdasarkan Seksyen 5 Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar 1993 (NREO, 1993) fungsi dan bidang kuasa NREB adalah seperti berikut:

  • Menentukan mod dan cara di mana eksploitasi dan penggunaan sumber alam di dalam negeri tidak akan merosakkan, mencemarkan atau menyebabkan kesan negatif terhadap alam sekitar;
  • Menentukan dan mengambil langkah-langkah sewajarnya, termasuk mengeluarkan arahan kepada pihak berkuasa berkaitan dengan alam sekitar atau orang awam untuk mengelakkan, mengurangkan atau menghentikan pencemaran air di sungai atau di kawasan tadahan air;
  • Mengawal, menghenti, atau melarang pemusnahan hutan demi perlindungan sumber alam, sungai dan unsur-unsur alam sekitar yang lain;
  • Bekerjasama dan menjadi perwakilan ke Majlis Alam Sekitar Kebangsaan atau Kementerian-kementerian yang relevan di peringkat persekutuan bagi menentukan standard kawalan alam sekitar dan penguatkuasaan peraturan yang relevan;
  • Menyediakan peraturan, garis panduan dan hala tuju bagi perlindungan dan memperbaiki kualiti alam sekitar yang berkaitan dengan penggunaan tanah, perlindungan sumber bekalan air, eksploitasi kehidupan akuatik & tumbuhan di sungai dan tepi pantai, dan hal-hal lain di bawah kuasa dan perundangan negeri;
  • Memberi pendidikan dan maklumat kepada orang awam mengenai perlindungan dan memperbaiki kualiti alam sekitar; dan
  • Mengarah pihak berkuasa berkaitan dengan alam sekitar dan orang awam untuk melakukan pemantauan dan audit alam sekitar bagi setiap aktiviti yang ditetapkan.
Salah seorang pegawai NREB yang menjalankan tugas di lapangan

Menyokong Pembangunan Lestari di Sarawak

Pelaksanaan pelbagai projek pembangunan yang jelas memberi kesan kepada alam sekitar memerlukan semua pihak berkepentingan menyokong dasar pembangunan lestari di Sarawak.

Bagi mempromosi usaha ini, Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri (CMEA) diperkenalkan sebagai galakan kepada sektor awam, swasta, komuniti perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat umum untuk menyokong dasar pembangunan lestari.

Lebih-lebih lagi apabila Sarawak menetapkan matlamat mencapai status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030, kejayaan prinsip pembangunan lestari bergantung pada sokongan dan kerjasama daripada semua pihak.

Perkara ini pernah ditekankan oleh Timbalan Ketua Menteri YB Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan ketika beliau melancarkan CMEA Kali-7 pada April 2016 (merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian pada ketika itu).

Menurut beliau, Kerajaan Sarawak telah lama meletakkan strategi sewajarnya dalam menangani isu alam sekitar demi memastikan pelaksanaan pembangunan tidak menjejaskan alam sekitar serta memastikan sumber semula jadi diurus secara lestari.

Oleh yang demikian, semua pihak dalam pelbagai industri perlu memberi kerjasama kepada NREB dan Jabatan Alam Sekitar bagi memastikan standard dan garis panduan alam sekitar dipatuhi sepenuhnya dalam semua jenis projek.

Pihak-pihak berkaitan merangkumi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak (SCCI), Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sarawak (SHEDA), Persatuan Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak (SOPPOA), Persatuan Kayu-Kayan Sarawak (STA) dan anggota masyarakat.

Usaha ke Arah Pembangunan Lestari

Saban tahun, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan, terutamanya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam mempromosi pembangunan lestari di Sarawak.

Usaha dijalankan dengan menarik penglibatan masyarakat termasuk pihak swasta bagi menanam kesedaran sivil terhadap kepentingan menjaga alam sekitar untuk diseimbangkan dengan arus pembangunan.

Perancangan Bandar. Daripada segi perancangan bandar, Pelan Penambahbaikan CBS (Cantik, Bersih dan Selamat) 2013-2017 DBKU merupakan salah satu contoh ke arah melestari bandar raya Kuching untuk kesejahteraan komuniti.

Aspek kecantikan ditekankan dengan merancang dan melaksanakan inisiatif pengurusan landskap, kawalan bangunan, pengurusan infrastruktur dan kemudahan awam, pemuliharaan alam semula jadi dan memupuk penglibatan komuniti.

Selain itu, DBKU telah menukar lampu-lampu jalan kepada lampu LED yang lebih efisien dan jimat tenaga, terutama di kawasan-kawasan tumpuan orang ramai dan pelancong seperti di sepanjang Jalan Gambier, Main Bazaar dan Esplanade Kuching.

Penanaman pokok dan penghijauan landskap bandar juga merupakan salah satu daripada pelbagai inisiatif di bawah Pelan Penambahbaikan CBS 2013-2017.

Manakala aspek kebersihan pula melibatkan perancangan inisiatif pengurusan sisa secara efektif serta menggalakkan penggunaan teknologi hijau dan menambah baik kawasan hijau serta taman-taman rekreasi.

Bagi menjamin bandar yang selamat, DBKU merancang dan melaksanakan inisiatif keselamatan jalan raya, meminimumkan kejadian vandalisme dan kecurian harta benda awam, keselamatan makanan, pencegahan dan kawalan wabak penyakit dan penyediaan kemudahan awam yang selamat.

Kelab Pals. Antara usaha awal NREB dalam menggalakkan penglibatan masyarakat, terutamanya pelajar sekolah ialah dengan menubuhkan Kelab Pencinta Alam Sekitar atau Kelab PALS.

Kelab PALS telah diperkenalkan pada 1999 dengan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dengan tujuan untuk menyediakan struktur organisasi bagi para pelajar mendalami minat mereka dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Selain itu, Kelab PALS menjadi galakan dan penunjuk arah kepada pelajar tentang jenis aktiviti yang boleh dilakukan dalam menanam semangat cinta alam sekitar.

Kelab PALS juga menyatukan pendidikan alam sekitar ke dalam sistem pendidikan negeri melalui aktiviti ko-kurikulum serta mampu meningkatkan tahap kesedaran dan rasa tanggungjawab para pelajar serta warga sekolah terhadap pemeliharaan dan perlindungan alam sekitar.

Melalui Kelab PALS, kerajaan berharap dapat melahirkan generasi yang mesra alam dan seterusnya melibatkan diri secara aktif dalam mengurus alam sekitar dan konservasi sumber asli ke arah pembangunan mapan di Sarawak.

Penubuhan Kelab PALS memberi peluang kepada pihak sekolah mengikuti program pendidikan alam sekitar anjuran NREB atau agensi-agensi berkaitan serta memberi peluang dalam bentuk khidmat nasihat teknikal tentang projek alam sekitar yang dijalankan di sekolah.

Kempen Kitar Semula 3R. Penyelenggaraan sampah sarap adalah antara aspek yang sering diberi penekanan oleh PBT di Sarawak bagi menjamin kebersihan dan kesejahteraan bandar selari dengan agenda pembangunan yang dilaksanakan.

Oleh itu, Kempen 3R (Reduce, Reuse and Recycle) diperhebat melalui penglibatan bersama di antara agensi kerajaan, PBT, badan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta, sekolah dan orang awam secara keseluruhannya.

Inisiatif mengadakan Kempen Beli Balik Bahan Kitar Semula atau lebih dikenali sebagai ‘Buy Back Campaign’ yang dimulakan oleh DBKU sejak 1993 merupakan salah satu daripada usaha tersebut.

Kempen diadakan bertujuan untuk memupuk semangat dan kesedaran warga kota terhadap aspek kebersihan persekitaran, menggalakkan orang ramai melakukan ‘spring cleaning’ di rumah masing-masing dan menggalakkan orang ramai menukar bahan kitar semula dengan wang.

Pada Mac hingga Ogos 2019, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (MLGH), NREB dan telah bekerjasama dengan syarikat Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) dalam menjayakan Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah di Bandaraya Kuching dan Kota Samarahan Tahun 2019.

Pertandingan tersebut turut dijayakan oleh DBKU, MBKS, Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).

Tujuannya adalah untuk mendidik pelajar sekolah, ibu bapa dan guru tentang kepentingan pengurusan sampah sarap melalui falsafah 3R serta mewujudkan rasa tanggungjawab dalam diri individu dalam menjaga alam sekitar.

Kempen Tanpa Beg Plastik. Pihak PBT turut berperanan memperkenalkan Kempen Tanpa Beg Plastik dengan matlamat meningkatkan kesedaran awam betapa pentingnya pemuliharaan alam sekitar dan meningkatkan kualiti alam sekitar dengan mengurangkan penggunaan beg plastik.

Sejak Januari 2018, Majlis Perbandaran Padawan telah menguatkuasakan hari tanpa beg plastik pada setiap hari Sabtu di semua kedai runcit dan pasar raya yang beroperasi di bawah konstituennya.

Pengusaha digalakkan menggunakan beg kitar semula, kotak atau beg kertas selain diwajibkan untuk melekat poster atau iklan larangan menggunakan beg plastik pada setiap hari Sabtu.

DBKU, MBKS dan Majlis Bandaraya Miri (MBM) turut giat mempromosi kempen tanpa beg plastik.

Hari Arbor. Hari Arbor merupakan salah satu lagi usaha mendukung konsep pembangunan lestari di Sarawak.

Objektif penganjuran Hari Arbor yang diterajui oleh DBKU sejak 1993 adalah bagi meningkatkan kesedaran orang awam terhadap penjagaan alam sekitar dengan memelihara kepentingan fungsi pokok atau tanaman hijau terhadap ekosistem sejagat.

Bagi memelihara dan mengekalkan kehijauan bandar, upacara penanaman pokok dijadikan aktiviti utama sambutan Hari Arbor.

Tenaga Hijau. Daripada segi pembangunan tenaga hijau, Sarawak giat mengkaji sumber tenaga baharu dengan membangunkan pengeluaran hidrogen berdasarkan potensi besar negeri ini dalam kekayaan sumber air.

Inisiatif memperkasa pengangkutan awam dengan memperkenalkan bas hidrogen dan bas elektrik di bandar raya Kuching merupakan salah satu lagi usaha Kerajaan Sarawak dalam menyokong pembangunan lestari.

Inisiatif berkenaan juga telah menjadikan Sarawak negeri pertama di Malaysia malah yang pertama di Asia Tenggara menawarkan perkhidmatan pengangkutan awam yang dijana dengan tenaga hijau.

Pencapaian dan Perkembangan Terkini

Salah sebuah organisasi yang turut menyokong dasar pembangunan lestari di Sarawak ialah Sarawak Energy Berhad (SEB), sebuah syarikat utiliti milik Kerajaan Sarawak.

Daripada segi pencapaian, SEB telah mengharumkan nama Sarawak apabila menerima Anugerah Jenama Paling Lestari The Brand Laureate Awards 2015-2016 daripada Yayasan Penjenamaan Asia Pasifik di Kuala Lumpur.

Penganugerahan tersebut diterima berdasarkan kepimpinan SEB dalam penjanaan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui setelah dipertanggungjawabkan untuk membangunkan sumber-sumber asli yang banyak di negeri ini.

Pembangunan sumber asli berkenaan termasuklah yang melibatkan kuasa hidro untuk menjana tenaga yang kompetitif di peringkat global selain mapan dan bersih.

SEB merupakan antara entiti yang akan terus menyokong agenda pembangunan negeri, terutamanya Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang bertujuan untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi negeri dengan menarik pelaburan asing di samping menyediakan peluang perniagaan serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Sebagai sebuah organisasi yang lestari, SEB juga akan terus meletakkan standard yang tinggi selain memastikan amalan perniagaan dan operasinya berpandukan amalan piawaian dan kemapanan antarabangsa yang terbaik.

Pengurusan alam sekitar yang agresif dan seimbang diteruskan di bawah kepimpinan Ketua Menteri sekarang, YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.

Pada November 2019, isu perlindungan alam sekitar telah dibawa dalam perbincangan pada mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Putrajaya.

Sarawak sebenarnya mempunyai kuasa autonomi dalam merancang pendekatan strategik terhadap pengurusan alam sekitar mengikut acuan sendiri.

Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir bin Mohamad turut memberi kuasa kepada Sarawak untuk menjaga alam sekitarnya sendiri.

Sehubungan itu, Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar 1993 dipinda dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November 2019.

Rang Undang-Undang Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar (Pindaan) 2019 yang diluluskan itu akan memastikan projek transformasi dan program pembangunan sosioekonomi yang dirancang di negeri ini dilaksanakan secara lestari.

Menurut Ketua Menteri, ia selaras dengan Matlamat Pembangunan Mapan 2030 (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kerajaan Sarawak mahu memastikan proses menjaga alam sekitar di negeri ini sejajar dengan Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.

Selain itu, pindaan undang-undang berkenaan juga telah memberi kuasa kepada kakitangan NREB sebagai pegawai awam untuk memantau dan melaksanakan dasar berkaitan alam sekitar.

Pemuliharaan Hutan

Program pemuliharaan hutan Sarawak melalui penanaman semula hutan juga merupakan antara usaha yang menyokong konsep pembangunan lestari.

Jabatan Hutan Sarawak (JHS) yang menerajui pengurusan sektor hutan sejak hampir 100 tahun lalu kini giat menjalankan Program Restorasi Landskap Hutan (FLR) sebagai agenda utama Kerajaan Sarawak bagi memastikan sekurang-kurangnya 62% daripada keluasan negeri ini dilitupi hutan.

Proses pembangunan lestari mengambil kira pengurusan hutan yang baik bagi mengelakkan kemusnahan alam sekitar

Selari dengan agenda nasional di bawah Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok, Sarawak komited untuk menanam sebanyak tujuh (7) juta batang pokok setahun.

Pada tahun 2020, FLR yang dijalankan di Sarawak telah berjaya menanam sebanyak 10,457,250 batang pokok. Usaha yang dilaksanakan oleh JHS tersebut ialah komitmen Kerajaan Sarawak memulihara dan meningkatkan kualiti persekitaran semula jadi, menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau, menangani perubahan iklim dunia dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article