- Advertisement -spot_img
4,843
published news
and counting

Memperkasa Budaya Penglibatan Masyarakat Dalam Sukan

Must read

Dasar Sukan Negara (Pindaan 2009) digubal dengan matlamat utama untuk mewujudkan budaya sukan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Budaya sukan merangkumi penyertaan dalam aktiviti sukan dan kegiatan fizikal melalui Sukan Untuk Semua, Sukan Prestasi Tinggi dan sukan sebagai industri.

Dasar Sukan Negara juga merupakan dasar pembangunan sukan yang memantapkan lagi integrasi nasional menerusi penglibatan masyarakat secara menyeluruh dan pencapaian kecemerlangan di peringkat antarabangsa.

Objektif Dasar Sukan Negara adalah bagi memperkasa budaya penglibatan masyarakat dalam sukan, meningkatkan pengetahuan dan amalan bersukan ke arah mewujudkan budaya sukan serta menggalakkan penyertaan aktiviti sukan yang lebih luas di semua peringkat bagi membentuk sebuah masyarakat yang berdisiplin dan bersatu padu.

Antara lain, dasar ini juga bertujuan untuk menyediakan peluang, insentif dan kerjaya bagi memenuhi keperluan asas individu melalui sukan, menyediakan kemudahan sukan bagi keperluan di semua peringkat dan memperkukuhkan badan dan organisasi sukan dengan amalan tadbir urus yang profesional.

Dasar Sukan Negara juga digubal dengan tujuan untuk membangunkan sukan sebagai satu industri dan seterusnya mencapai kecemerlangan peringkat kebangsaan dan antarabangsa dengan semangat kesukanan yang tulen.

Strategi pelaksanaan dasar ini yang merangkumi Sukan Untuk Semua dan Sukan Prestasi Tinggi hendaklah dibangunkan serentak dengan penekanan yang berbeza.

Sukan Untuk Semua yang berteraskan budaya penyertaan adalah bertujuan untuk membolehkan rakyat melibatkan diri dengan aktiviti fizikal sebagai amalan gaya hidup aktif.

Manakala Sukan Prestasi Tinggi yang berteraskan pada budaya pencapaian pula berperanan untuk mencapai kecemerlangan di pertandingan sukan peringkat antarabangsa.

Perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian Dasar Sukan Negara perlu melibatkan Kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi Kerajaan, badan bukan Kerajaan (NGO) dan pihak swasta.

Di Malaysia, sukan dianjurkan oleh persatuan dan badan sukan, sukarelawan, pihak swasta dan orang perseorangan.

Tanggungjawab kerajaan pula dilaksanakan mengikut skop dan peranan Kementerian Belia dan Sukan dengan sokongan kementerian-kementerian lain yang terlibat menerusi agensi masing-masing di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah.

Bagi mencapai objektif Dasar Sukan Negara, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sarawak (MYSS) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (SSC) dalam membangunkan sukan di negeri ini.

Malah, Sarawak mempunyai visi yang lebih besar, iaitu untuk muncul sebagai kuasa sukan negara. Bagi mencapai visi tersebut, Kerajaan Sarawak telah membangunkan beberapa buah infrastruktur sukan.

Antaranya ialah Pusat Kecemerlangan Akuatik Pandelela Rinong yang dijadikan arena utama acara akuatik SUKMA Sarawak 2016.

Kerajaan Sarawak melalui MYSS juga bercadang untuk membina sebuah pusat sukan berprestasi tinggi di Kuching seperti Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil untuk dicadangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Tujuannya adalah supaya atlet pelapis di negeri ini dapat memberi tumpuan dalam latihan sukan sepenuhnya dan bersedia daripada segi fizikal dan mental dalam berhadapan cabaran temasya besar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sarawak telah melahirkan beberapa orang atlet tempatan yang menyinari arena sukan negara di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Ratu terjun Pandelela Rinong merupakan antara atlet kelahiran Sarawak yang paling menyerlah dekad ini.

Pandelela Rinong merupakan atlet kelahiran Sarawak yang paling cemerlang dekad ini

Pandelela telah menyumbang pingat emas buat negara sejak berusia 14 tahun ketika pertama kali mewakili Malaysia menyertai Kejuaraan Akuatik Asia Junior pada 2007 sekaligus merangkul empat pingat emas.

Beliau juga menjadi atlet wanita negara pertama yang meraih pingat di Sukan Olimpik apabila meraih pingat gangsa juga dalam acara terjun platform 10 meter individu Sukan Olimpik London 2012.

Seterusnya, Pandelela memperbaiki rekod peribadinya apabila memenangi pingat perak acara 10 meter platform seirama bersama gandingannya Cheo Jun Hoong pada Sukan Olimpik Rio 2016.

Pertengahan 90-an menyaksikan jaguh pecut kelahiran Miri, Watson Nyambek muncul sebagai manusia terpantas di Malaysia dengan memegang rekod kebangsaan 10.30 saat acara 100 meter sepanjang 18 tahun sebelum dipecahkan oleh Khairul Hafiz Jantan pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2016.

Watson Nyambek ketika era kegemilangannya bergelar manusia terpantas di Malaysia REPORTER:Y P SIVAM.

Watson juga merupakan antara pelari pecut yang disegani di rantau Asia ketika itu.

Seorang lagi atlet tempatan yang sedang mengukir nama di peringkat antarabangsa ialah Welson Sim, perenang muda yang berjaya menewaskan pemenang emas Sukan Olimpik Rio 2016 dari Australia, Mack Horton pada kejohanan di Mare Nostrum Tour, Monte Carlo, Monaco pada Februari 2017.

Welson Sim, salah seorang atlet renang Sarawak yang sedang meningkat naik

Pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Welson yang berasal dari Kuching berjaya memadam dua rekod kejohanan dalam acara 400 meter dan 200 meter.

Beliau merupakan atlet Sarawak yang diharapkan untuk mencapai kejayaan dengan lebih cemerlang serta terus mengharumkan nama negara dalam arena sukan yang diceburi.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article