Integriti merupakan perkara asas dan yang paling utama untuk dititik beratkan dalam organisasi sama ada dalam sektor awam mahupun sektor swasta.
Hal ini dikatakan demikian kerana integriti berkait rapat dengan etika dan nilai murni individu. Individu yang tidak berintegriti akan mudah terjerumus dalam penyalahgunaan kuasa, pecah amanah serta mengamalkan budaya rasuah.
Dalam perkhidmatan awam misalnya, pengurusan dana awam perlu diurus dengan penuh rasa tanggungjawab, amanah dan penuh berintegriti kerana ia melibatkan kepentingan rakyat, pemegang taruh dan para pelabur.
Hari ini, rakyat mempunyai tahap pemikiran yang kritis dan tajam untuk menilai prestasi kerajaan dan pihak berkuasa kerana rakyat memerlukan sebuah jentera kerajaan yang amanah, bersih, telus dan berintegriti tinggi.
Maka, inisiatif Suruhanjaya Pencegahan Anti Rasuah Malaysia (SPRM) memperkenalkan Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) adalah wajar sekali dilaksanakan dalam usaha kerajaan meningkatkan integriti penjawat awam.
Program CeIO diperkenalkan di bawah peruntukan dalam Arahan Perdana Menteri No. 1 Tahun 2009, Gerakan Pemantapan Keutuhan Sistem Pengurusan Pentadbiran Kerajaan Malaysia, Siri 1 No.1 Tahun 2011 Pelaksanaan Program Pegawai Integriti Bertauliah.
Program CeIO yang dilaksanakan oleh Pusat Pembangunan Integriti Korporat (CIDC), Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) secara rasminya telah dilancarkan pada 27 Februari 2012.
Daripada segi definisi, pegawai yang layak bergelar CeIO ialah individu yang telah menjalani Program Pegawai Integriti Bertauliah anjuran MACA dan berjaya ditauliahkan sebagai CeIO sebagaimana yang diperuntukkan dalam arahan Perdana Menteri tersebut.
MACA merupakan sebuah bahagian dalam SPRM yang bertanggungjawab melaksanakan program latihan berkaitan pencegahan rasuah dan integriti sama ada di peringkat dalam negara mahupun di peringkat luar negara.
Sejarah pengenalan program CeIO bermula apabila MACA melalui Pusat Pembangunan Integriti Korporat pada tahun 2008 telah berjaya membangunkan satu program khas untuk melahirkan pegawai integriti bertauliah yang mempunyai peranan merancang, melaksana serta memantau keberkesanan program integriti dan pencegahan rasuah dalam sektor awam dan swasta.
Program ini bertindak sebagai rangkaian CeIO dalam bidang pencegahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan selain menjadi pemangkin dalam organisasi-organisasi berkaitan bagi memupuk budaya kerja berintegriti dalam sektor awam dan swasta.
Antara agensi-agensi penguatkuasaan yang terawal menubuhkan Unit Pematuhan yang diketuai oleh CeIO ialah Polis Di Raja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan termasuklah SPRM.
Program CeIO dilihat amat penting dalam usaha kerajaan meningkatkan kecekapan dan integriti dalam sektor kerajaan termasuk badan bukan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan pihak swasta.
Manakala peranan menempatkan CeIO pula mampu menangani isu membabitkan integriti di sesebuah organisasi sehingga ke peringkat akar umbi.
Dalam erti kata yang lebih mudah, CeIO secara dasarnya menjadi ‘mata-mata’ kepada SPRM dalam memantau segala aktiviti yang mudah terdedah dengan rasuah ataupun kecenderungan pegawai dan kakitangan sesebuah organisasi terhadap salah laku rasuah dan pecah amanah.
CeIO ialah agen yang membawa perubahan dalam organisasi dan menjadi benteng kawalan dalaman organisasi seperti yang diharapkan oleh SPRM.
Pegawai-pegawai ini menjadi pelengkap kepada usaha memperkasa integriti dan usaha kerajaan memerangi rasuah dan salah guna kuasa.
Sehubungan dengan pengenalan program CeIO, Kerajaan Persekutuan telah mengeluarkan arahan penubuhan Unit Integriti melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2013 Penubuhan Unit Integriti di Semua Agensi Awam.
Pekeliling Perkhidmatan berkenaan dikeluarkan bertujuan untuk memaklumkan keputusan kerajaan untuk menubuhkan Unit Integriti di semua agensi kerajaan sebagai pusat tumpuan (focal point) kepada pengurusan isu-isu berkaitan integriti dalam perkhidmatan awam.
Selain itu, pekeliling tersebut juga bertujuan untuk memaklumkan mengenai perjawatan dan penempatan Ketua Unit Integriti di agensi yang memerlukan kelayakan CeIO atau lain-lain kelayakan sepertimana diiktiraf oleh Lembaga Pentauliahan Pegawai Integriti yang diurus setia oleh SPRM.
Selari dengan perkembangan program CeIO, maka lahirlah Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACeIO) yang ditubuhkan pada 23 Oktober 2013 dan didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia sebagai sebuah rangkaian kepada CeIO di seluruh negara.
ACeIO berperanan memastikan supaya semua usaha untuk meningkatkan integriti dalam organisasi dilaksanakan mengikut aspirasi kerajaan termasuk dalam menyelaras dan memantau program berkaitan integriti, menghasilkan penulisan mengenai integriti serta bertindak sebagai Pegawai Perhubungan untuk CIDC, MACA.
Matlamat utama penubuhan ACeIO ialah untuk memupuk budaya ‘toleransi sifar’ rasuah, salah guna kuasa dan penipuan.
Berbalik kepada program CeIO, ia mampu mewujudkan nilai-nilai positif dalam pengurusan dan tadbir urus yang berintegriti.
Daripada segi pelaksanaannya, program CeIO menumpukan pada isu integriti dan pematuhan kepada prinsip-prinsip moral dan etika yang bernilai tinggi.
Para pegawai awam dan swasta yang mengikuti program berkenaan akan mempelajari integriti organisasi yang merangkumi bidang tadbir urus, etika pengurusan, undang-undang dalam memerangi rasuah, penyelewengan dana dan penyalahgunaan kuasa.
Objektif pembelajaran program CeIO adalah bagi menyimpulkan amalan terbaik dalam pendekatan strategik dan taktikal yang menyokong pelaksanaan pengurusan integriti dalam organisasi.
Antara lain, pegawai yang menyertai program tersebut dapat mengetahui hubung kait kerangka kerja konvensyen, protokol dan amalan terbaik anti rasuah bagi menanam kesedaran tentang pentingnya pengurusan integriti.
Program CeIO juga bertujuan untuk menerapkan sistem pematuhan dan pemantauan dan dihubungkaitkan dengan organisasi para peserta yang mengikutinya di samping membangunkan rancangan integriti organisasi sebagai alat untuk mengasimilasi budaya integriti.
Golongan yang digalakkan untuk menyertai program CeIO ialah pegawai anti rasuah dan penguat kuasa, pengarah jabatan dan agensi kerajaan, pengurus besar dan golongan profesional.
Sejak diperkenalkan, program CeIO telah mendapat sambutan daripada agensi anti rasuah antarabangsa yang menyatakan minat untuk menyertai program berkenaan.
Daripada segi bilangan pegawai yang telah ditauliahkan, menurut MACA, seramai lebih 1,500 orang CeIO telah dilatih di akademi berkenaan setakat suku kedua tahun 2021 di seluruh negara.
Manakala di Sarawak pula, seramai 94 orang CeIO telah pun ditempatkan di semua peringkat kerajaan setakat Disember 2020.
Bilangan CeIO yang dicatatkan tersebut adalah berdasarkan maklumat daripada Unit Integriti dan Ombudsman (UNION), Jabatan Ketua Menteri Sarawak.
UNION merupakan sebuah unit yang menerajui pemantapan nilai integriti dalam perkhidmatan awam di Sarawak selain ditubuhkan sebagai langkah menyokong SPRM dalam mencegah amalan rasuah.
Sehubungan dengan itu, langkah pertama yang diambil oleh UNION bagi mencapai objektifnya sejak ditubuhkan pada 1 Februari 2018 adalah dengan menjalinkan kerjasama dengan MACA memperkenalkan program CeIO di Sarawak.
Pihak UNION berharap, CeIO yang ditempatkan di agensi kerajaan mampu meningkatkan ketelusan serta akauntabiliti dalam sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan di negeri ini.
Berikutan ramai pihak yang menyuarakan minat untuk menyertai program CeIO, Kerajaan Sarawak melalui UNION bercadang untuk menambah bilangan CeIO di pelbagai agensi dan jabatan kerajaan pada tahun 2021.