- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Pusat Digital Komuniti (DCC) – Komponen Penting Ekosistem Pertumbuhan Syarikat Pemula

Must read

Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak dalam usaha transformasi ke arah ekonomi digital yang akan memacu negeri ini mencapai status maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Salah satu daripadanya ialah dengan menubuhkan Pusat Digital Komuniti atau DCC (Digital Community Centre) sebagai usaha mewujudkan ekosistem yang akan menggerakkan ekonomi digital.

Secara ringkas, DCC ditubuhkan dengan mentransformasi perpustakaan desa di bawah pengurusan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak (MLGH) untuk dijadikan sebagai pusat digital.

Perpustakaan sedia ada diubah suai dengan penambahan kemudahan peralatan berteraskan teknologi dan maklumat (ICT) dan digital untuk kegunaan komuniti luar bandar.

Projek tersebut yang dilaksanakan secara kerjasama di antara MLGH, Pustaka Negeri Sarawak (PNS) dan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) juga merupakan sebahagian daripada inisiatif Keterangkuman Digital yang digariskan dalam pelan Strategi Ekonomi Digital Sarawak (2018-2022).

Setakat ini, sebanyak 42 buah perpustakaan komuniti pihak berkuasa tempatan (PBT) seliaan MLGH di seluruh negeri dicadang untuk dijadikan sebagai DCC.

Menurut PNS, DCC diwujudkan dengan objektif menyediakan platform perkhidmatan dan sokongan ICT, memperkasa kemahiran digital komuniti dan membina bakat.

Selain itu, DCC juga diwujudkan dengan tujuan untuk menawarkan pembangunan bekalan kepada pengusaha tempatan selain mempertingkatkan kesedaran dan ketersediaan digital untuk keperluan semasa dan masa hadapan.

Jika dilihat dari segi objektif pewujudannya, DCC sebenarnya mampu menjadi pusat untuk pertumbuhan dan perkembangan syarikat pemula atau yang dipanggil dengan istilah startup.

Syarikat pemula ditakrifkan sebagai syarikat muda yang ditubuhkan oleh satu atau lebih usahawan bagi mengembangkan sesuatu produk atau perkhidmatan yang unik, seterusnya dapat dibawa ke pasaran.

Asas penubuhan syarikat pemula adalah mencari lokasi dan membina laman sesawang. Ekosistem syarikat pemula dibentuk oleh sekumpulan individu, bermula dalam pelbagai peringkat dan jenis organisasi di sesuatu lokasi sama ada secara fizikal dan secara maya dan berinteraksi sebagai sistem untuk mewujudkan syarikat pemula.

Yang menjadikan syarikat pemula berkembang adalah ekosistem permulaan yang baik seperti sumber seperti kemahiran, selain masa dan peruntukan kewangan yang juga merupakan komponen penting dalam ekosistem syarikat pemula.

Sumber yang mengalir melalui ekosistem ini diperolehi daripada individu mahupun organisasi yang merupakan bahagian aktif dalam ekosistem syarikat pemula.

Kemudahan peranti mudah alih turut disediakan di DCC

Oleh yang demikian, DCC dijangka mampu menjadi pusat kelahiran syarikat pemula dan seterusnya menjadi komponen penting kepada pertumbuhan ekosistem syarikat pemula di negeri ini.

Setiap DCC menyediakan ruang untuk perbincangan seperti bilik persidangan yang selesa. Kemudahan ruang ini turut menyediakan akses kepada sambungan jalur lebar berkelajuan tinggi.

DCC menyediakan ruang perbincangan seperti bilik persidangan yang dilengkapi dengan kemudahan sambungan jalur lebar berkelajuan tinggi

Secara praktikal, kemudahan ini boleh dijadikan pusat pertemuan usahawan dan bakat-bakat muda yang berhasrat untuk menceburi syarikat pemula dan seharusnya dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh usahawan setempat dalam mengembangkan idea perniagaan.

Secara tidak langsung, DCC akan menjadi hab di peringkat akar umbi yang dapat membina ekosistem ekonomi digital setempat di kalangan komuniti.

Lebih daripada itu, DCC turut menawarkan kemudahan lain seperti komputer riba, peranti mudah alih, peralatan sidang video digital, komputer mikro, mesin pencetak 3D, maklumat dalam talian dan sebagainya selain perkhidmatan pinjaman buku.

Pihak pengurusan berperanan menjadikan DCC sebagai pusat pembelajaran berasaskan ICT dan digital dengan mengadakan program latihan, kursus kemahiran asas komputer dan ceramah berkaitan ICT dan keusahawanan digital.

Lebih daripada itu, DCC juga berfungsi sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan masyarakat serta pusat rundingan dan kaunseling bagi mereka yang berminat dalam menceburi perniagaan dalam talian.

Antara program yang dianjurkan di DCC termasuklah program PANDei (People Accessible, Network for Digital Empowerment & Inclusivity), Infokerja.com, kelas bimbingan Microsoft, 3D Arts, kelas literasi maklumat dan aktiviti digital kanak-kanak.

Program-program tersebut dianjurkan sebagai mempersiapkan komuniti luar bandar dan pinggir bandar, terutama golongan muda dengan kemahiran digital sebagai persediaan malayari ekonomi digital.

Dari segi teori, masyarakat umum menyedari asas ekonomi digital adalah aktiviti ekonomi yang dijalankan berteraskan teknologi dan digital seperti menjalankan perniagaan dalam talian ataupun e-dagang.

Menerusi penubuhan DCC, komuniti luar bandar sedikit sebanyak dapat mengetahui dengan lebih lanjut seterusnya mempelajari selok-belok perniagaan dalam talian dengan menggunakan kemudahan yang terdapat di pusat digital berkenaan.

Jika di bandar-bandar utama di Sarawak memiliki hab inovasi digital seperti Hab Inovasi Digital TEGAS (TDIH) termasuk yang disediakan oleh pihak swasta sebagai kemudahan untuk golongan muda mengembangkan bakat dan kemahiran serta perniagaan, demikian juga fungsi yang dimainkan oleh DCC di luar bandar.

Matlamat jangka panjang penubuhan DCC adalah untuk merapatkan jurang digital di antara kawasan bandar dengan luar bandar.

Mengambil contoh perkembangan syarikat pemula di rantau Asia Tenggara, Singapura merupakan antara negara yang telah menjadi hab inovasi tumpuan ramai usahawan dan syarikat pemula.

Perkembangan ini didorong oleh polisi yang dibangunkan oleh kerajaan dalam menyokong ekosistem ekonomi digital di negara serantau tersebut.

Forum Ekonomi Dunia (WEF) menyenaraikan Singapura berada di kedudukan teratas dalam Laporan Daya Saing Global terkini secara keseluruhan dengan melihat beberapa faktor termasuklah dari segi polisi kerajaan yang berjaya menarik syarikat-syarikat pemula dan berbakat ke negara itu.

Antaranya ialah dengan memperkenalkan skim pengurangan dan pengecualian cukai, hibah dan infrastruktur inkubasi dan pelaksanaan perniagaan.

Sebagai contoh, Startup SG, iaitu inisiatif yang dilancarkan pada 2017 menyatukan pelbagai aspek skema sokongan kerajaan kepada pihak berkepentingan ekosistem termasuk pengasas, pelabur, inkubator dan syarikat pemula.

Untuk Sarawak mencapai tahap pertumbuhan dan perkembangan syarikat pemula yang memberangsangkan seperti di Singapura mungkin masih terlalu jauh untuk dicapai.

Lagipun, jumlah syarikat pemula yang banyak bukanlah menjadi ukuran. Sebaliknya, bagaimana syarikat-syarikat ini dapat menembusi pasaran di peringkat nasional dan global serta apakah manfaat dan sumbangannya kepada rakyat dan kemajuan ekonomi digital negeri ini yang harus menjadi ukuran.

Walau bagaimanapun, inisiatif pewujudan DCC sebagai usaha mengembangkan bakat dan kemahiran digital rakyat ini wajar disokong dan disambut baik oleh semua pihak, seterusnya memastikan perjalanan transformasi ekonomi digital Sarawak berada di landasan yang betul.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article