- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

PUTERA Peniaga Kecil

Must read

Sebagai sebuah agensi yang menjadi pemangkin pembangunan usahawan Bumiputera, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) terus giat laksanakan tanggungjawab untuk memastikan peniaga kecil yang masih ketinggalan maju daripada segi ekonomi.

Salah satu inisiatif yang telah dilaksanakan untuk membantu peniaga kecil Bumiputera ialah memperkasakan Program Peningkatan Usahawan Bumiputera (PUTERA) bagi meningkatkan taraf peniaga kecil Bumiputera yang berpotensi dan berdaya maju.

PUTERA merupakan program usaha sama di antara SEDC dan Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak yang diwujudkan khas untuk menambah baik imej perniagaan dan kualiti perkhidmatan, meningkatkan jumlah pengeluaran usahawan serta meringankan beban kewangan usahawan kecil melalui bantuan peralatan yang akan diberi secara percuma.

Antara bentuk-bentuk kemudahan yang disediakan oleh SEDC melalui PUTERA ialah bantuan seperti peralatan mesin bagi pemprosesan makanan, kedai makanan dan minuman, peruncitan, andaman atau salun kecantikan, bengkel kereta atau motosikal dan kontraktor Kelas F (UPKJ).

Manakala, bagi permohonan untuk mendapatkan kereta sorong pula, pemohon perlu memohon menerusi Majlis Daerah bertujuan untuk menetapkan tapak perniagaan peserta.

Bantuan berupa peralatan untuk memudahkan peniaga kecil

Antara syarat-syarat permohonan yang telah ditetapkan ialah, pemohon mestilah Warganegara Malaysia (Bumiputera Sarawak), berumur 18 tahun ke atas, mempunyai lesen perniagaan, beroperasi di tapak perniagaan tetap, mengendalikan perniagaan sepenuh masa dan berpendapatan tidak melebihi RM3,000 sebulan.

Pemohon juga perlu mengemukakan dokumen-dokumen sokongan seperti borang permohonan yang telah lengkap diisi; salinan kad pengenalan pemohon; salinan kad pengenalan suami atau isteri pemohon; salinan lesen perniagaan atau permit perniagaan; sebut harga peralatan yang dipohon; dan sokongan sama ada daripada ketua kampung, penghulu ataupun Pejabat Daerah.

Nilai bantuan yang diberikan tidak akan melebihi RM5,000 dan bantuan yang diberikan juga bukan dalam bentuk wang tunai tetapi melalui pembekalan mesin atau peralatan.

SEDC turut menjalin kerjasama dengan Unit Pembangunan Kontraktor Dan Pembekal (UPKP) di bawah Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri bagi mempergiatkan program PUTERA melalui bantuan pemberian geran dalam bentuk peralatan atau mesin berjumlah sehingga RM5,000 termasuk kos penghantaran ke premis peserta.

Program ini juga memberi tumpuan kepada usahawan kecil-kecilan yang berpendapatan bulanan tidak melebihi RM3,000 termasuk golongan kontraktor dan pada masa yang sama, ingin menggalakkan penglibatan masyarakat terutama golongan muda dalam bidang keusahawanan.

Pengusaha pau dari Daerah Song berhasrat untuk mengembangkan perniagaan beliau

Selain daripada meningkatkan produktiviti, program ini juga dijangka akan dapat menambah baik strategi pemasaran mereka terutama dalam imej penjenamaan yang diharap akan dapat membuka lebih banyak peluang perniagaan.

Selain PUTERA, SEDC turut menyediakan Skim Niaga Perdana, Skim Niaga Jaya, Program Pembangunan Rakyat Khas (PPRK) dan Program Pembangunan Usahawan Kotej.

Ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2020, Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM25 untuk pelaksanaan program-program keusahawanan yang antaranya ialah program PUTERA.

Artikel ini disesuaikan daripada artikel asal yang pernah dipaparkan dalam terbitan bercetak RAKAN Sarawak Januari-Mac 2020

SEDC Laksana Tanggungjawab Membantu Peniaga Kecil Bumiputera
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article