Anugerah Kecemerlangan Industri Ketua Menteri Sarawak (CMIEA) merupakan anugerah tertinggi yang mengiktiraf pemain industri dan perniagaan di negeri ini bagi menyokong agenda kerajaan dalam memperkukuhkan produktiviti negara.
Persekutuan Persatuan Perniagaan Sarawak (SBF) adalah tulang belakang yang mengendalikan anugerah tersebut yang mula diperkenalkan pada tahun 2017 dengan kerjasama dan sokongan daripada Kerajaan Sarawak, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
CMIEA diadaptasi daripada Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) di peringkat kebangsaan yang diperkenalkan oleh MITI pada 1991 bagi mempromosi budaya keusahawanan dan inovasi dalam pembentukan nilai.
Anugerah berprestij tersebut mengguna pakai Rangka Kerja Kecemerlangan Perniagaan Malaysia (MBEF) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai penanda aras dalam kriteria proses penilaian dalam mencari kecemerlangan perniagaan berkelas dunia.
Penganjuran CMIEA adalah untuk mempromosi kecemerlangan serta merangsang persaingan yang positif di kalangan pemain industri dan perniagaan, mempamerkan pencapaian perniagaan yang cemerlang dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan dengan beberapa objektif utama.
Objektif-objektif tersebut ialah untuk mengiktiraf syarikat yang paling cemerlang dalam industri pembuatan dan perkhidmatan, mengiktiraf syarikat yang memiliki rancangan perniagaan untuk meningkatkan produk atau perkhidmatan bernilai tambah serta mengiktiraf syarikat dengan amalan terbaik yang menjadikannya sebagai suri teladan yang memberi inspirasi kepada syarikat-syarikat lain.
Selain itu, CMIEA dijangka mampu menggalakkan komuniti perniagaan untuk terus berusaha ke arah peningkatan produktiviti agar mampu berdaya saing dalam jangka masa panjang.
Pengiktirafan anugerah CMIEA dibahagikan kepada lima (5) kategori mengikut pusing ganti jualan syarikat-syarikat domestik.
Kategori-kategori tersebut merangkumi Kategori Mikro bagi pusing ganti jualan tidak melebihi RM300,000, Kategori Kecil dengan pusing ganti jualan RM300,000 hingga RM3 juta, Kategori Sederhana dengan pusing ganti jualan dari RM3 juta hingga RM20 juta dan Kategori Besar dengan pusing ganti jualan melebihi RM20 juta.
Penyertaan CMIEA terbuka kepada mana-mana syarikat di Sarawak yang berdaftar di bawah Akta Syarikat Malaysia 1965.
Syaratnya, syarikat yang ingin menyertai pertandingan anugerah tersebut seharusnya memberi sumbangan yang besar kepada ekonomi Sarawak merangkumi aktiviti ekonomi berskala besar, menghasilkan pertukaran mata wang asing serta mewujudkan pekerjaan.
Syarat-syarat lain termasuklah syarikat yang mampu mewujudkan rangkaian jaringan hubungan yang memberi kesan berganda dan penglibatan dalam projek pembangunan masyarakat.
Penerima Anugerah Keseluruhan CMIEA akan mewakili Negeri Sarawak bertanding di peringkat kebangsaan.
Penganjuran CMIEA yang pertama pada 2017 menyaksikan 20 penyertaan organisasi perniagaan manakala penganjuran kali kedua pada 2019 pula menunjukkan sedikit peningkatan, iaitu sebanyak 22 organisasi yang menyertai.
Syarikat Samling Housing Sdn Bhd muncul pemenang Anugerah Keseluruhan CMIEA 2017 yang julung kali diadakan.
Dalam penganjuran CMIEA 2019 dua tahun lalu, Anugerah Keseluruhan dimenangi oleh Press Metal Bintulu.
Kategori Kecil dimenangi oleh syarikat Amogha Tours and Travel, Banana Tree, Iana Corporation, Joy Bakery, NMO, Rosfaniaga Services, dan Sophia Taha Holdings.
Bagi Kategori Besar, pemenang-pemenangnya adalah syarikat Asteel, Persafe Engineering, Press Metal Bintulu, and Senari Synergy.
Tahun ini, CMIEA 2021 dilancarkan pada 12 Ogos 2021.