- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Maklumat Salah – Apa Tindakan Yang Perlu Diambil?

Must read

Memelihara ketenteraman dan kesejahteraan awam adalah tanggungjawab bersama di antara kerajaan dan masyarakat.

Suasana aman dan damai boleh tergugat berpunca daripada penyebaran maklumat salah dan palsu.

Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, penting untuk setiap warga negara mengetahui tindakan yang perlu diambil apabila menerima maklumat salah dan palsu.

Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengambil pelbagai inisiatif dalam membendung penyebaran maklumat yang tidak benar.

Laman rasmi SKMM menggariskan panduan kepada pengguna untuk membuat aduan jika meyakini terdapat kesalahan maklumat dalam kandungan yang dikongsikan oleh mana-mana pihak dalam talian.

Pertama, pengguna digalakkan untuk membuat aduan terus kepada pihak pengendali atau pemilik kandungan tersebut.

Jika maklumat pengendali atau pemilik tidak dapat diperolehi secara terus di laman tersebut, pengguna dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan laporan penyalahgunaan atau ’report abuse’ yang disediakan di dalam laman tersebut.

Ini kerana laporan daripada pengguna sendiri adalah lebih diutamakan oleh mana-mana pihak pentadbiran laman-laman sesawang.

Infografik Masalah Pengguna dan Isu Aduan yang dipaparkan dalam portal aduan SKMM

Yang kedua, pengguna boleh membuat aduan kepada SKMM dengan menyertakan dokumen sokongan dan maklumat terperinci mengenai kandungan yang diadukan.

Salinan e-mel atau surat yang telah dihantar kepada pihak pemilik dan pentadbir laman sesawang ataupun pihak berkuasa lain juga perlu disertakan.

Pengadu boleh membuat laporan kepada SKMM di Portal Rasmi SKMM atau mana-mana saluran aduan yang disediakan oleh SKMM. 

Seterusnya, SKMM akan mengkaji aduan tersebut dan akan membantu pengadu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

SKMM akan memaklumkan penerimaan aduan berserta dengan nombor rujukan dalam masa tiga (3) hari selepas aduan diterima.

Proses pengesahan untuk aduan melalui laman sesawang atau portal Aduan SKMM akan diterima dalam masa satu (1) hari.

Pengadu akan dimaklumkan mengenai jawapan dan hasil siasatan yang dijalankan oleh SKMM terhadap maklumat yang diadukan dalam masa 15 hari dari tarikh aduan diterima.

Ketiga, pengguna juga dinasihatkan untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi penguat kuasa yang berkaitan.

Walau bagaimanapun, pihak SKMM bukanlah satu-satunya agensi yang mempunyai kuasa untuk menyiasat aduan berkaitan kandungan di Internet.

Pemberian kandungan di internet adalah tertakluk kepada semua undang-undang negara yang berkaitan dan laporan serta aduan boleh dibuat di agensi-agensi berkuat kuasa mengikut bidang kuasa masing-masing.

SKMM turut mempunyai saluran alternatif kepada orang awam untuk membuat aduan.

Aduan juga boleh diadukan kepada pihak Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF).

Untuk membuat aduan, pengadu perlu menyertakan maklumat peribadi seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan alamat tempat tinggal.

Aduan perlu disertakan dengan cekupan skrin kandungan yang dimaksudkan, capaian (link) kandungan tersebut, maklumat penghantar e-mel (email header) serta maklumat suspek (jika mengenali suspek).

Huraian masalah atau aduan yang dibuat dan tuntutan juga perlu dinyatakan.

SKMM memaklumkan, pihak CMCF hanya boleh mengambil tindakan terhadap penyedia atau pemberi kandungan yang menjadi ahli mereka ataupun pihak yang telah bersetuju atau diarahkan untuk mematuhi Kod Kandungan.

Orang ramai digalakkan untuk melayari portal aduan rasmi SKMM di https://aduan.skmm.gov.my/.

Selain itu, SKMM juga telah mewujudkan portal sebenarnya.my sebagai rujukan umum untuk mendapatkan kepastian tentang kesahihan maklumat dan berita.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article