Langkah proaktif Kerajaan Negeri menubuhkan Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) ialah satu usaha untuk terus memacu pembangunan di Bahagian Samarahan.
IRSDA yang melibatkan wakil-wakil rakyat di Kota Samarahan termasuk pemimpin masyarakat akan memberi tumpuan kepada pembangunan Samarahan sebagai sebuah wilayah yang memiliki pelbagai sumber seperti tanah, pusat pendidikan dan pusat komersial.
Bahagian Samarahan kini mengalami perubahan drastik khususnya dalam pembangunan kemudahan infrastruktur dan sosioekonomi.
Ini yang secara tidak langsung telah meletakkan Samarahan sebagai sebuah kawasan yang berkembang pesat, maju dan berdaya saing.
Penubuhan IRSDA, pembangunan di kawasan Samarahan akan menjadi lebih terancang kerana agensi ini akan menjalankan penyelidikan dan mengenal pasti pembangunan yang diperlukan.
IRSDA turut membantu dalam pelaksanaan pembangunan yang sudah dirancang bagi merancakkan lagi pembangunan di daerah-daerah di Bahagian Samarahan yang dijangka memberi kesan positif kepada sosioekonomi rakyat sekaligus merubah landskap infrastruktur di kawasan Samarahan, Asajaya, Simunjan dan Sebuyau.
Beberapa projek telah dimasukkan dalam IRSDA seperti jalan baharu yang menghubungkan Kampung Sabun dan Balai Polis Simunjan di mana keadaan jalan di Kampung Nanas ketika ini terlalu sempit dan berbahaya kepada penduduk kampung.
Selain itu, projek penahan hakisan di Kampung Sageng sepanjang 720 meter turut dilaksanakan kerana kawasan tersebut mengalami hakisan yang teruk sehingga mengakibatkan jalan pintas Kampung Sageng Hilir tidak dapat digunakan lagi.
Baru-baru ini, Ketua Menteri turut meluluskan peruntukkan sebanyak RM6 juta untuk pembesaran jalan di Kampung Nanas dan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk projek penahan hakisan tebing sungai Simunjan semasa Program ‘CM Walkabout Project’ tahun lepas dan kedua-dua projek ini kini dalam proses pembinaan.
Selain itu, Ketua Menteri turut meluluskan peruntukan sebanyak RM500 juta untuk membina banteng laut bagi mengatasi masalah limpahan air masin di Sebangan hingga Sebuyau di mana pembinaan benteng laut ini antara komponen utama pembangunan fizikal yang dirancang di bawah IRSDA.
Artikel ini disesuaikan daripada artikel asal : IRSDA Terus Memacu Pembangunan Bahagian Samarahan yang disiarkan dalam RAKAN Sarawak keluaran Januari – Mac 2020