- Advertisement -spot_img
4,835
published news
and counting

Bidar Lukut Sukan Tradisi Masyarakat Melanau Mukah

Must read

Masyarakat Melanau di Sarawak kaya dengan adat dan budaya, daripada adat perkahwinan, kematian hinggalah ke sukan dan permainan.

Lumba perahu Bidar Lukut adalah salah satu daripada permainan tradisional suku kaum Melanau di Mukah selain permainan Tibow.

Bidar Lukut merupakan replika perahu bidar sebenar yang digunakan dalam acara regata Sarawak.

Struktur bidar diperbuat daripada kayu ringan dengan ukuran kira-kira satu meter panjang dan 19 sentimeter lebar.

Layar yang berfungsi untuk menggerakkan bidar adalah daun lukut yang dikeringkan dengan ketinggian lebih kurang lapan sentimeter.

Bidar Lukut biasanya mempunyai enam hingga tujuh layar, mengikut kepanjangan bidar.

Bidar Lukut yang dihiasi pelbagai corak dan warna

Permainan tradisional ini dimainkan di permukaan sungai kecil. Manakala landasan untuk bidar berlumba pula diperbuat daripada buluh paip PVC atau bekas-bekas botol plastik yang disambungkan dengan tali.

Landasan yang berfungsi untuk mengelak bidar berlanggar antara satu sama lain juga boleh dibuat menggunakan batang buluh.

Dalam perlumbaan Bidar Lukut, tiupan angin menjadi penentu utama kepada pemenang sukan tradisional ini.

Selain itu, reka bentuk bidar serta layar turut mempengaruhi kelancaran pelayaran perahu tersebut.

Biasanya, perlumbaan Bidar Lukut diadakan ketika air sungai tenang. Perlumbaan tidak dapat dijalankan ketika arus sungai deras.

Pada asalnya, perlumbaan perahu Bidar Lukut hanyalah satu hobi yang dimainkan oleh kaum Melanau sejak setengah abad yang lalu sebagai mengisi masa lapang.

Perlumbaan Bidar Lukut yang sedang berlangsung di Kampung Tellian, Mukah

Perlumbaan Bidar Lukut kini juga dijadikan sebagai acara sukan yang mengisi sambutan keramaian atau pesta seperti Pesta Kaul Mukah.

Permainan tradisi ini dihidupkan semula oleh Kelab Sukan dan Rekreasi Dagen Daya (Tujunokala) yang dianggotai oleh para belia Kampung Tellian Daya, Mukah pada 2015.

Berdasarkan sambutan yang menggalakkan daripada penduduk kampung dan kawasan sekitar, kelab Tujunokala kini giat mengangkat permainan ini sebagai sukan untuk menambah tarikan di Mukah kepada pelancong dan orang luar.

Kelab berkenaan juga sedang dalam usaha untuk mengangkat semula lumba Bidar Lukut untuk dimasukkan ke dalam kalendar acara tahunan di Mukah, khususnya pada Pesta Kaul.

Pada tahun lepas, kerja naik taraf tapak perlumbaan Bidar Lukut telah dijalankan dan inisiatif kelab berkenaan menunjukkan semangat generasi belia Mukah dalam memelihara warisan mereka.

Sukan ialah medan perpaduan yang menyatukan rakyat. Begitu juga dengan sukan tradisi ini yang dapat mengeratkan hubungan di antara penduduk kampung.

Bermula dari membuat bidar hinggalah ke persiapan pada hari perlumbaan Bidar Lukut dapat menerapkan disiplin dalam kalangan peserta.

Info Tambahan

Kaum Melanau sememangnya lazim dengan maritim atau lautan dalam menjalankan aktiviti kehidupan harian.

Malah, kaum ini dikatakan antara kaum di Sarawak yang terkenal dalam mendominasi aktiviti di sungai dan lautan daripada mencari rezeki dengan menangkap ikan hinggalah menjadikan lautan sebagai ‘padang permainan’.

Lebih daripada itu, makanan tradisional berasaskan hasil laut yang menjadi pembuka selera seperti umai yang begitu popular di Sarawak juga datangnya daripada kaum Melanau.

Maka, tidak hairanlah kaum Melanau mempunyai kepelbagaian jenis perahu atau kapal tradisional yang memiliki identiti tersendiri.

Setiap perahu juga mempunyai fungsi yang berlainan dan telah digunakan oleh generasi terdahulu kaum Melanau sejak zaman berzaman.

Antara jenis-jenis perahu tradisional Melanau selain bidar ialah bahong, badong dan bakong.

Namun, perlu diketahui juga, masyarakat Melanau terbahagi kepada beberapa pecahan serta mempunyai perbezaan dari segi dialek mengikut lokasi asal usul mereka.

Dialek atau bahasa pertuturan Melanau Mukah yang merangkumi Igan, Dalat, Oya, Balingian dan sebagainya tidak sama dengan kaum Melanau di Rajang, Sibu dan di Tatau, Bintulu.

Maka, nama-nama jenis perahu tradisional masyarakat ini juga berbeza.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article