Peluang menjana pendapatan melalui pertanian adalah cerah.
Namun begitu, mungkin tidak ramai yang memilih untuk mengusahakan tanaman nanas.
Lain pula bagi Encik David Disam anak Nyokeng ketika ramai yang berminat menanam kelapa sawit, beliau tekad untuk mengusahakan tanaman nanas premium jenis Milie Dilard 2 (MD2) secara komersial.
Minat untuk menanam nanas bermula setelah beliau menghadiri kursus tanaman nanas anjuran Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) di Bau, empat tahun lalu.
Dorongan untuk mengusahakan tanaman nanas MD2 secara komersial juga didorong oleh potensi Sarawak sebagai pengeluar nanas MD2 kedua terbesar selepas Johor dan permintaan tinggi daripada negara luar seperti China dan negara-negara Timur Tengah.
Apa yang memberi kelebihan ialah tanah ladang milik beliau yang berbukit di Kampung Padang Pan, Bau amat sesuai dijadikan tapak tanaman nanas MD2.
Encik David merupakan pengusaha pertama untuk projek perintis tanaman nanas premium MD2 LPNM.
Pembukaan ladang beliau secara tidak langsung turut memberi peluang pekerjaan kepada penduduk, khususnya di sekitar Daerah Bau.
Selepas berjaya mendapatkan tanah hasil daripada wang simpanan, bekas kontraktor yang berasal dari Bau ini mula menjalankan pembersihan tanah pada Mei 2016.
Kemudian pada Disember tahun yang sama, benih tisu kultur yang pertama tiba manakala sulur nanas variasi premium MD2 yang pertama pula tiba pada November 2017.
Seterusnya pada Januari 2018, penanaman pertama dilakukan. Genap setahun, iaitu pada Februari 2019, beliau telah dapat menuai buat pertama kali daripada tanaman seluas 50 ekar di ladang yang berkeluasan 129 hektar atau 320 ekar.
Menurut Encik David, tuaian pertama menghasilkan 25,000 biji buah dan jika dijual pada harga RM5 sebiji dengan anggaran berat 1.6 kilogram untuk setiap biji buah, pendapatan dianggarkan mencapai jumlah RM200,000.
Walau bagaimanapun, hasil tuaian pertama gagal untuk dijual disebabkan oleh beberapa kelemahan tertentu.
Namun, Encik David tetap positif dengan sokongan daripada para pekerja beliau serta bantuan daripada LPNM untuk mencapai sasaran pendapatan RM200,000 sebulan.
Ketika ditemu ramah oleh RAKAN Sarawak, Encik David memaklumkan bahawa tuaian kali kedua telah pun dilakukan dan tuaian ketiga bakal dilakukan pada hujung Mei 2019.
Setakat ini, nanas dari ladang yang beliau usahakan dijual untuk pasaran tempatan sahaja kerana masih belum mencukupi untuk dieksport. Beliau berhasrat untuk menambah keluasan tanaman supaya dapat menembusi pasaran luar pada masa akan datang.
Namun begitu, untuk menembusi pasaran luar, beliau perlu mendapatkan sijil Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia atau MyGAP terlebih dahulu dan kini, beliau sedang berusaha untuk mendapatkan sijil tersebut.
Ladang milik Encik David juga adalah satu-satunya ladang MD2 yang disahkan oleh LPNM dan mendapat pemantauan rapi oleh Jabatan Pertanian Sarawak.
Jelas Encik David, sulur nanas yang ditanam selepas tujuh bulan dan disuntik dengan hormon mampu mengeluarkan buah dengan cepat dan boleh dituai dalam tempoh 157 hari berbanding dengan tiga tahun jika ditanam menggunakan kultur tisu.
Daripada segi rasa, nanas daripada variasi premium MD2 lebih manis dan konsisten dari segi kualiti dan kuantiti jika dibandingkan dengan nanas jenis lain.
Menceritakan tentang cabaran yang dihadapi ketika mula-mula membuka ladang, beliau dan pekerja-pekerjanya terpaksa mengangkut bahan tanaman dengan berjalan kaki sejauh 1.5 kilometer.
Tambah beliau, jalan berturap menuju ke ladang yang ada sekarang mengambil masa selama empat bulan untuk disiapkan.
Buat masa ini, Encik David mempunyai 11 orang pekerja sepenuh masa dan 20 orang pekerja diupah separuh masa untuk melakukan kerja pembersihan dan penebangan pokok untuk meratakan tanah.
Ladang Encik David sering didatangi oleh pembeli dan ada juga yang membeli nanas daripada beliau untuk dijual semula.
Perusahaan tanaman nanas Encik David turut dibantu oleh anak lelaki beliau.
Memandangkan peluang dalam pasaran nanas MD2 yang meluas di samping permintaan yang tinggi, Encik David menasihati golongan belia yang berminat untuk mengusahakan tanaman nanas supaya memulakannya sekarang kerana inilah masa yang sesuai, tambahan pula bahan-bahan tanaman amat mudah didapati selain ketulenannya.
Artikel ini dipetik dan disesuaikan daripada RAKAN Sarawak Oktober-Disember 2019.