Kerajaan Sarawak telah menubuhkan Pusat Komuniti Digital (DCC) sebagai usaha untuk mewujudkan penggunaan digital secara inklusif khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar dengan menyediakan perkhidmatan platform ICT dan sokongan (infrastruktur digital dan perkhidmatan).
Data laporan pengunjung turut menunjukkan bahawa penduduk kampung atau komuniti setempat lebih berminat untuk pergi ke DCC berbanding Perpustakaan Desa sebelum ini.
Hal ini mungkin disebabkan DCC kini mempunyai kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang serba lengkap seperti WiFi, komputer riba, iPad dan sebagainya bagi tujuan pembelajaran dan lain-lain tujuan.
Menurut Pengurus DCC Pekan Batu Kawa Puan Nor Aziah binti Jumaini, dengan adanya DCC, ianya telah membawa nama perpustakaan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Padawan (MPP) ke tahap yang lebih tinggi.
Selain itu, beliau berpendapat, dengan adanya Perpustakaan Desa yang telah dinaiktaraf menjadi DCC, hubungan antara penduduk kampung atau komuniti setempat bersama kakitangan DCC dan MPP akan menjadi lebih erat.
Komuniti setempat boleh menjadikan DCC sebagai tempat bermesyuarat, pusat untuk mendapatkan maklumat dan bantuan untuk pendaftaran temu janji pemberian vaksin.
Beliau berharap DCC akan terus dikekalkan dengan pelatih Program Latihan Pengukuhan Graduan Sarawak (GETS) yang sedia ada kerana mereka telah dilatih dan berpengalaman dalam menjayakan program-program DCC selama hampir setahun selepas DCC dilancarkan secara rasmi pada bulan Oktober 2020.
Peranan DCC bersama GETS yang terlatih adalah penting untuk membantu dalam membangunkan komuniti yang berkualiti dan berkemahiran dalam bidang teknologi demi menyahut seruan kerajaan ke arah pelaksanaan Ekonomi Digital.
Pengurus DCC Kampung Sebiris, Puan Mahayah Binti Haji Raduan berkata, DCC telah memberi manfaat besar kepada komuniti setempat dengan menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang mencukupi seperti komputer, internet, tablet dan lain-lain.
Adanya kemudahan-kemudahan ini dapat membantu komuniti menjalankan tugas-tugas harian yang bergantung kepada internet seperti kelas, mencari maklumat dan sebagainya.
Selain itu, program-program yang dianjurkan oleh DCC seperti bengkel PANDeI, Go Digital ASEAN dan Reading Seeds sangat memberi manfaat khususnya kepada golongan usahawan, belia dan ibu bapa.
Oleh itu, adalah diharap agar pihak DCC dapat mempromosikan perkhidmatan dan program yang dijalankan kepada komuniti-komuniti setempat.
Pengurus DCC Marudi, Puan Ulau Imang menyifatkan, pelaksanaan DCC Marudi adalah sebagai usaha menambahbaik peranan dan fungsi perpustakaan agar ia seiring dengan perubahan semasa dan perkembangan teknologi dan globalisasi telah tercapai sejajar dengan tiga (3) objektif iaitu;
- Menyokong usaha kerajaan dalam membangunkan komuniti celik IT, berpengetahuan dan berdaya saing melalui program dan aktiviti berlandaskan digital
- Sebagai pusat pembelajaran bagi memantapkan pengetahuan dan kemahiran untuk kakitangan DCC dan komuniti setempat melalui penganjuran program dan aktiviti
- Membangun dan menyediakan perkhidmatan secara digital di DCC bagi mengurangkan jurang pengetahuan antara bandar dan luar bandar melalui ketersampaian dan inklusiviti yang sama terhadap ekonomi digital
Menurut beliau, terdapat beberapa impak positif yang dapat dilihat dan telah dihasilkan dari pelaksanaan DCC antaranya, ia berjaya mentransformasikan kaedah konvensional kepada kaedah perkhidmatan digital.
DCC Marudi menyediakan kemudahan Wifi, komputer, pencetak dan kemudahan yang kondusif (Ruangan dan kelengkapan untuk penganjuran ceramah, mesyuarat dan pembelajaran di samping bilik belajar khas) secara percuma kepada pengguna.
Salah seorang pengunjung DCC Marudi, Federick Adam Gana, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Marudi memberitahu, program seperti PANDei patut diadakan di kawasan luar bandar yang agak kurang mengetahui inisiatif-inisiatif digital kerajaan.
Olivia Timie anak Benggit dari Kampung Sungai Babi, yang kini menuntut di UiTM memberitahu, dia selalu menggunakan perkhidmatan WiFi percuma dan bilik belajar yang selesa di DCC Marudi untuk tujuan pembelajaran secara dalam talian kerana kawasan kampungnya tidak mempunyai akses internet yang bagus.
Kawen anak Umbol, antara ibu bapa yang turut serta dalam program ‘Reading Seed’ mengakui program tersebut banyak memberi panduan tentang cara penjagaan anak yang baharu lahir.
Sehubungan itu, rata-rata Pengguna DCC Kampung Sebiris, Lundu mengatakan bahawa perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan amat memuaskan malah, DCC juga sangat membantu komuniti setempat terutamanya golongan anak-anak yang masih belajar.
Justeru, DCC perlu meluaskan program dan aktiviti yang dapat menarik perhatian komuniti setempat, malah perkhidmatan DCC perlu diteruskan dan dihebahkan lagi dari masa ke semasa agar masyarakat setempat tahu tentang kewujudan DCC di kampung tersebut.
Pengunjung DCC Pekan Batu Kawa Malisa Micheal, 16, rasa beruntung kerana tempat tinggalnya yang berdekatan dengan DCC memudahkan dia memanfaatkan kemudahan-kemudahan di DCC untuk menyelesaikan tugasan sekolah.
Malisa dan adik-adiknya sering meminjam buku, melayari internet dan menggunakan ruangan di DCC untuk belajar dan turut mengambil peluang untuk meminta tunjuk ajar daripada petugas-petugas di DCC untuk menggunakan komputer riba dan Ipad.
Mohd Romero bin Mohamad Sadek, 26, turut berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan selain mempunyai ruangan yang kondusif serta dilengkapi dengan kemudahan capaian internet yang baik telah memudahkan proses pencarian bahan bacaan dan maklumat.
Nur Khairuniesa Abdullah, 30, juga sangat berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak DCC, tambahan pula terdapat bilik yang boleh digunakan untuk melakukan aktiviti seperti mesyuarat dan seminar.
Artikel ini dipetik dan disesuaikan daripada artikel asal : Pusat Komuniti Digital Perkasa Kemahiran Digital Dalam Komuniti (https://sarawaksmart.com/v1/?p=557)