- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

TEGAS Digital Village Bantu Pertumbuhan Syarikat Pemula Tempatan

Must read

Penubuhan TEGAS (Tabung Gagasan Ekonomi Anak Sarawak) Digital Village dijangka akan membantu golongan usahawan dan syarikat pemula tempatan yang mempunyai potensi.

Menurut Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, TEGAS Digital Village (TDV) akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan peralatan berteknologi tinggi dan terkini untuk dimanfaatkan oleh para usahawan digital dan syarikat pemula di negeri ini.

Jelas beliau, TDV direka mengikut konsep ‘Plug and Play Tech Centre’ seperti yang terdapat di Silicon Valley, Amerika Syarikat yang merupakan makmal khusus bagi menubuhkan syarikat pemula.

TDV akan dihubungkan dengan hab-hab inovasi digital yang terdapat di Kuching, Sarikei, Sibu dan Miri.

Tambah beliau, ruang dalaman TDV yang luas boleh digunakan sebagai ruang bekerja dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh para usahawan digital tempatan.

Ketua Menteri memaklumkan perkara tersebut ketika mengadakan lawatan ke TDV yang hampir siap, terletak di Sama Jaya High Tech Park, Kuching pada 2 September lepas.

Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari serta tetamu-tetamu kehormat yang lain ketika melawat TDV (Foto TEGAS)

Yang turut hadir ialah Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi TEGAS, YB Datu Haji Len Talif bin Salleh, Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) Dr. Zaidi bin Razak serta beberapa orang menteri kabinet negeri yang lain.

Pada awalnya, projek pembinaan TDV yang telah dimulakan pada Januari 2019 dijadualkan siap pada bulan Julai 2020.

Walau bagaimanapun, kerja-kerja pembinaan terpaksa dihentikan seketika berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 pada Mac 2020 hingga ke bulan Jun 2020.

Susulan itu, kerja-kerja pembinaan mengalami kelewatan pada kadar 16% dan disambung semula pada bulan Jun 2020 di bawah rancangan baharu untuk menyegerakan projek berkenaan menerusi kerjasama lebih rapat di antara TEGAS dengan pihak perunding dan kontraktor.

YB Datuk Haji Len Taliff (kanan) mengiringi Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari meninjau ruang dalam TDV (Foto TEGAS)

TDV ditubuhkan atas ilham Ketua Menteri sendiri pada tahun 2017 dengan matlamat untuk memudahkan pemindahan teknologi dan pengkomersialan di samping mempromosi inovasi digital dan keusahawanan di Sarawak.

Inisiatif tersebut juga merupakan salah satu daripada beberapa pemboleh ubah di bawah Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022.

Dalam pada itu, YB Datu Haji Len Talif dalam kenyataan media TEGAS menyatakan, penubuhan TDV menunjukkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam mempercepat pertumbuhan syarikat pemula tempatan dan perniagaan di negeri ini selari dengan Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022.

Jelas beliau, melalui TDV, TEGAS serta rakan ekosistem akan mengukuhkan lagi usaha dalam merangsang ekosistem keusahawanan inovasi seterusnya menggerakkan ekonomi digital.

Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari meneruskan lawatan di sekitar perkarangan TDV (Foto TEGAS)

Antara program yang akan dilaksanakan di bawah inisiatif TDV termasuklah program mempercepat pertumbuhan dan peningkatan, pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan, pemasaran, kemudahan pembiayaan, inovasi korporat, peningkatan ekosistem serta sokongan Harta Intelek (IP).

Lebih daripada itu, TDV juga akan berperanan dalam mempromosi Sarawak sebagai destinasi inovasi berteknologi tinggi dan keusahawanan yang dijangka akan meningkatkan pelaburan domestik selain memperkasa rakyat Sarawak untuk membuat skala global.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article