Agenda penyelidikan dan pembangunan sentiasa diperkasakan di Jabatan Tanah dan Survei (JTS) sejajar visi Kerajaan Negeri untuk mencapai perkhidmatan awam negeri bertaraf dunia.
Rentetan daripada perasmian penubuhan Unit Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) oleh Ketua Menteri, YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg pada (Hari Inovasi dan Integriti Tanah dan Survei Sarawak 2020 (HIITS 2020) di Lawas pada tahun lalu, aktiviti ke arah memaksimumkan unit tersebut terus digiatkan dengan memberi penekanan kepada aspek perundangan, pembangunan teknologi dan teknikal, pemerkasaan perkhidmatan digital, tadbir urus dan latihan.
JTS sekali lagi memperluaskan langkahnya dengan termeterainya Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan kolaborasi bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) melalui penubuhan Makmal Satelit
MoU tersebut telah ditandatangani oleh Pengarah JTS Encik Abdullah Julaihi bagi pihak JTS dan Profesor Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail, Naib Canselor UTM dan disaksikan Ketua Menteri Sarawak sempena acara Hari Inovasi dan Integriti Tanah dan Survei Sarawak 2021 (HIITS 2021) yang diadakan Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 6 September 2021.
Menurut Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Encik Abdullah Julaihi, UTM sebagai sebuah universiti utama di Malaysia terutama dalam bidang penyelidikan dan inovasi, kursus-kursus yang ditawarkan di Fakulti Alam Bina dan Ukur, UTM bertepatan dengan tugas utama JTS iaitu pentadbiran tanah, ukur kadastra, perancangan bandar dan desa serta pengurusan estet.
Kolaborasi ini disasarkan untuk memenuhi keperluan jangka pendek dan jangka panjang merangkumi dua (2) teraju utama iaitu (1) perkongsian teknologi dan kepakaran, dan (2) peluang latihan dan penyelidikan.
Perkongsian strategi menang-menang ini, memanfaatkan semua pihak, negeri Sarawak, Jabatan Tanah dan Survei dan sudah tentunya UTM. Di dalam mempelopori teknologi baharu ke arah transformasi digital yang mana salah satu komponennya kelak ialah Bandar Pintar atau Smart City.
Smart Utility infrastructure, 3D Modelling, Pusat Data CORS, Integrated Control Centre, Smart Traffic Light, Smart Public Transport dan internet of thing ialah merupakan DNA baharu kepada negeri maju berpendapatan tinggi dambaan kita menjelang 2030.
Daripada segi latihan, pegawai-pegawai Jabatan Tanah dan Survei dalam perkhidmatan berpeluang melanjutkan pelajaran di UTM bersesuaian dengan bidang masing-masing bukan sahaja untuk pembangunan kendiri, malah pemerkasaan organisasi secara menyeluruh sekaligus membangunkan negeri Sarawak.
Disamping itu juga JTS berperanan menyediakan platform latihan praktikal bagi graduan tahun akhir, khususnya graduan dari Sarawak, yang akan memberi nilai tambah kepada graduan produk UTM di samping JTS menuai hasil daripada tambahan tenaga manusia secara tidak langsung.
Kolaborasi ini membuka ruang kepada Jabatan Tanah dan Survei menerokai teknologi baharu berkaitan pentadbiran tanah yang dipelopori di dunia melalui UTM sebelum teknologi tersebut dapat diguna pakai.