Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) adalah Badan Berkanun Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kerja Raya untuk membangun, mengawal selia, menguatkuasa dan melaksanakan tugas-tugas dan fungsi-fungsi yang berkaitan dengan industri pembinaan.
Pengarah CIDB Negeri Sarawak, Encik Mohd Noor bin Abdul Rahman telah berkongsi sedikit maklumat kepada RAKAN Sarawak mengenai pencapaian CIDB kebelakangan ini yang melibatkan sistem pengurusan maklumat dalam berurusan dengan pelanggan, proses kerja di peringkat dalaman serta perancangan masa depan CIDB.
Sistem Pengurusan Maklumat Setempat (CIMS)
Perkhidmatan dalam talian merupakan antara aspek yang diberi perhatian dalam usaha CIDB mentransformasi perkhidmatan yang lebih cepat, cekap dan telus.
Encik Mohd Noor menerangkan tentang penggunaan Sistem Pengurusan Maklumat Setempat (CIMS) yang digunakan oleh semua cawangan CIDB termasuk di Sarawak dalam berurusan dengan pelanggan.
Sistem berkenaan diperkenalkan dan dibangunkan pada 2017 untuk memudahkan urusan perkhidmatan dan transaksi CIDB dengan pelanggan melalui satu saluran dalam talian.
Melalui CIMS, proses permohonan dan kelulusan dilaksanakan sepenuhnya dalam talian dan tempoh kelulusan permohonan dapat dipendekkan.
Para pelanggan tidak perlu lagi ke kaunter CIDB untuk menghantar dokumen sokongan atau mengambil sijil dan kad pendaftaran.
CIDB menjangkakan penggunaan CIMS dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan pelanggan kerana mereka boleh berurusan terus dalam talian tanpa perlu hadir secara fizikal ke mana-mana pejabat CIDB.
Secara ringkasnya, CIMS mengintegrasi pangkalan data serta semua proses transaksi perkhidmatan di CIDB.
Bagi memudahkan perkongsian data dan proses membuat keputusan, sistem tersebut diintegrasikan dengan sistem di agensi-agensi berkaitan bagi mendapat pengesahan nombor-nombor sijil dan dokumen yang diserahkan semasa proses permohonan dibuat.
Kelebihan CIMS ialah, penipuan dengan penyerahan maklumat palsu dapat dielakkan kerana semua urusan perkhidmatan kepada pelanggan seperti permohonan, pertanyaan, pembayaran serta akses kepada maklumat dilakukan dalam talian.
Selain itu, surat dan sijil berbentuk e-dokumen dijana oleh CIMS dan dihantar kepada pengguna melalui e-mel.
Sistem tersebut juga akan memberi peringatan kepada pelanggan untuk memperbaharui sijil atau lesen yang akan luput.
Perkhidmatan-perkhidmatan yang boleh dicapai melalui CIMS di www.cidb.gov.my (klik di tab ePerkhidmatan) merangkumi pembayaran kaunter pejabat CIDB Negeri dan cawangan dan perbankan internet.
Bagi pihak kontraktor, perkhidmatan pembaharuan, pengisytiharan projek binaan program Penilaian Keupayaan dan Kemampuan Kontraktor SCORE dan pengurusan levi dapat dibuat melalui CIMS.
Pendaftaran dan akreditasi bagi personel binaan juga boleh dicapai selain urusan-urusan yang melibatkan program latihan dan kursus seperti Kursus Integriti dan Kod Etika, Kursus Pengurusan Bisnes, Kursus Induksi Keselamatan Bagi Pekerja Binaan (SICW), Pembangunan Kompetensi Personel Binaan dan Pembangunan Kompetensi Seliaan & Pengurusan.
Inisiatif CIMS juga merupakan antara usaha CIDB menjalankan tadbir urus yang tidak mudah terdedah dengan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah.
Aplikasi SAP S/4 HANA
Di peringkat dalaman, CIDB mengambil pendekatan inovatif dalam menjadikan proses kerja dan pengurusan yang lebih produktif, seterusnya membantu mencapai kecemerlangan operasi.
Sistem automasi, iaitu aplikasi SAP S/4HANA diguna pakai dalam proses pemindahan data, analisis data, proses dokumentasi serta permohonan dilakukan secara automatik, cekap dan menjimatkan masa.
Antara manfaat aplikasi berkenaan kepada pengguna dalaman ialah menjimatkan masa, maklumat analisis perniagaan dapat diperolehi lebih pantas, mampu memelihara ketelusan dan integriti data bagi setiap transaksi, menerapkan amalan terbaik proses kerja selain fleksibel dalam menampung perkembangan organisasi CIDB di masa hadapan.
Penggunaan SAP S/4 HANA melibatkan transformasi proses kewangan, perolehan, pengurusan sumber manusia dan transformasi laporan analitik.
Menurut Encik Mohd Noor, aplikasi SAP S/4HANA menjadikan tadbir urus kewangan CIDB dikendalikan dengan lebih cekap, laporan kewangan dijana dengan lebih mudah, pantas dan tepat terutama laporan kewangan akhir tahun.
Dalam masa yang sama, proses belanjawan lebih terurus serta terkawal dan segala aktiviti perolehan dan pembayaran dapat dikawal selia dengan lebih mudah berdasarkan penentuan bajet yang telah diluluskan.
Proses perolehan, inventori dan pengurusan invois termasuk pengurusan maklumat kakitangan meliputi capaian data peribadi pekerja, pembayaran gaji, pengurusan kehadiran serta pengurusan cuti menjadi lebih cekap dan pantas.
Pengurusan Kawal Selia
Dalam menjalankan kawal selia, CIDB Negeri Sarawak telah menjalankan 1,129 pemeriksaan tapak pembinaan di seluruh negeri sepanjang tahun 2020.
Pemeriksaan dilakukan bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dalam membendung penularan wabak COVID-19 dipatuhi oleh pihak kontraktor.
Hasil pemeriksaan yang melibatkan 775 tapak pembinaan mendapati 771 daripadanya beroperasi manakala baki empat tapak pula tidak beroperasi.
Daripada 771 tapak yang beroperasi pihak CIDB Negeri Sarawak mendapati 710 (92%) tapak pembinaan mematuhi SOP dan 61 lagi tidak mematuhi SOP dan diarah tutup serta merta.
Walau bagaimanapun, kesemua tapak pembinaan yang diarah tutup telah dibenarkan beroperasi semula selepas mematuhi SOP yang ditetapkan.
Sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk tahun 2021, Encik Mohd Noor memaklumkan, CIDB Negeri Sarawak akan terus mempergiatkan pemeriksaan ke atas tapak pembinaan untuk memastikan SOP dan Garis Panduan yang ditetapkan dalam usaha membendung COVID-19 terus dipatuhi.
Perancangan Masa Depan
Turut dikongsikan oleh Encik Mohd Noor ialah perancangan masa depan CIDB, iaitu Pelan Strategik CIDB 2021-2021 (CSP).
CSP dilancarkan dengan matlamat menjadikan CIDB sebagai peneraju dalam membangunkan industri pembinaan yang lebih prihatin serta bertanggungjawab terhadap sosial dan alam sekitar.
Pelan tersebut menggariskan hala tuju dan inisiatif-inisiatif yang perlu dilaksanakan oleh CIDB untuk menjadi peneraju yang berkesan dalam lima tahun akan datang.
Pelaksanaannya bakal melibatkan semua pegawai CIDB di semua peringkat dan semua warga CIDB perlu memberi perhatian yang serius terhadap empat tonggak strategik, iaitu Inovasi, Penyampaian Penyelesaian, Pengurusan Perhubungan dan Kepimpinan.
CSP telah mengambil kira peranan CIDB dalam membentuk masa depan industri pembinaan yang lebih baik dan bagaimana CIDB dapat meningkatkan kapasitinya sebagai penggerak utama ke arah matlamat tersebut.
Jelas Encik Mohd Noor, pelan berkenaan disusun mengikut kepentingan beberapa perspektif seperti perspektif Kapasiti Organisasi, Proses Dalaman, Pelanggan dan Pihak Berkepentingan.
Manakala tiga objektif strategi utama pelan berkenaan pula ialah mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar hasil daripada industri pembinaan, meningkatkan prestasi industri pembinaan dan menyediakan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk warga tempatan.