Setiausaha Persekutuan Sarawak, YBhg. Dato’ Amir Bin Omar telah mengadakan lawatan kerja ke Daerah Lawas pada 6 hingga 7 Oktober, lepas.
Lawatan kerja Setiausaha Persekutuan ke Daerah Lawas dimulakan dengan meninjau Projek Pembinaan Hospital Lawas dan Lawatan ke Pos Kawalan Imigresen Merapok (IQS Merapok), Lawas pada sebelah paginya.
Difahamkan, projek pembinaan Hospital Lawas telah bermula pada 30 Jun 2020 dengan keluasan keseluruhan bangunan adalah 23,427-meter persegi yang akan menyediakan kemudahan hospital sebanyak 80 buah katil.
Selain itu, wad pesakit dan perempuan yang masing-masing menyediakan kemudahan sebanyak 28 buah katil (keseluruhan 56 buah katil), wad kanak-kanak sebanyak 20 buah katil dan wad High Depency Ward (HDW) pula sebanyak empat (4) buah katil.
Hospital Lawas ini juga akan dilengkapi dengan kemudahan ruang pejabat pentadbiran, unit hemodialisis, bilik bersalin, dewan pembedahan, bank darah, jabatan patologi, unit x-ray, unit katering, kafeteria dan bilik mayat.
Lawatan pada sebelah pagi itu telah disertai Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sarawak, Datu Ken Leben, Residen Bahagian Limbang Ir. Ahmad Denney Bin Haji Ahmad Fauzi, Encik Kueh Song Ping wakil dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Lawas, Pengarah Hospital Lawas Dr. Ahmad Syahir Bin Sarzi serta wakil-wakil daripada jabatan yang berkaitan.
Lawatan ke Hospital Lawas telah diselitkan dengan sesi taklimat yang disampaikan oleh Pengurus bagi projek pembinaan hospital tersebut iaitu Encik Mohd Adam Bin Kadir.
Sejurus selepas tamatnya sesi taklimat berkenaan, beliau diiringi Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sarawak, YBhg. Datuk Ken Leben mengadakan lawatan ke Kompleks IQS Merapok Lawas.
Turut serta pada sesi lawatan tersebut ialah Ketua Timbalan Penolong Pengarah (KTPP) Fandy Ahmad, Ketua Imigresen Pejabat Imigresen Lawas Sarawak (TPPI) Duhardi Bin Harry, Ketua Imigresen Pos Kawalan Imigresen Sindumin Sabah serta wakil daripada jabatan yang berkaitan.
Lawatan berkenaan turut diselitkan dengan taklimat berhubung dengan Kompleks IQS Merapok yang disampaikan oleh KTPP Fandy Ahmad.
Pada sebelah petang, beliau telah mengadakan lawatan ke sekolah kebangsaan (SK) Kuala Lawas disertai Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sarawak, Datu Ken Leben, Ketua Zon SDO Miri, Puan Hajiawati dan wakil-wakil daripada jabatan yang berkaitan.
Lawatan turut diselitkan dengan lawatan tapak dan sesi taklimat berhubung projek penyiapan baki kerja sekolah daif oleh Encik Raynald Felton, wakil dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Lawas.
Pada 7 Oktober, beliau sempat mengadakan lawatan ringkas ke Bangunan Gunasama Persekutuan (BGP) Lawas dan disertai oleh Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Sarawak Datu Ken Leben.
Di BGP tersebut, beliau telah meninjau ke beberapa buah jabatan atau agensi persekutuan antaranya Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dan beberapa buah jabatan yang lain.
Lawatan ini adalah bertujuan untuk menyantuni warga kerja yang berada di BGP Lawas sebagai sokongan moral agar sentiasa melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang walau dalam keadaan pandemik.