- Advertisement -spot_img
4,835
published news
and counting

MARDI Utamakan Budaya Kerja Unggul dan Berintegriti

Must read

Unit Integriti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah ditubuhkan pada Februari 2015 dengan matlamat untuk memastikan kakitangan MARDI mengamalkan budaya kerja unggul dengan ciri-ciri moral dan etika yang kukuh hatta meningkatkan semangat patriotisme.

Pengarah MARDI Sarawak, Encik Mohammad Noor Adros Yahya

Inisiatif ini akan dapat membendung salah laku jenayah serta pelanggaran tata kelakuan dan etika organisasi di kalangan kakitangan MARDI, jelas Pengarahnya, Encik Mohammad Noor Adros Yahya yang ditemu ramah RAKAN Sarawak secara dalam talian baru-baru ini.

Menurut beliau, Unit Integriti MARDI bertanggungjawab untuk;

  1. Melaksanakan fungsi urus setia Jawatankuasa Tatatertib
  2. Memastikan pembudayaan, penginstitusian dan pelaksanaan integriti dalam organisasi
  3. Memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa
  4. Mengesan dan mengesahkan aduan salah laku jenayah serta pelanggaran tata kelakuan dan etika organisasi serta memastikan tindakan susulan yang sewajarnya diambil serta melaporkan salah laku jenayah kepada agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab
  5. Menerima dan mengambil tindakan terhadap semua aduan atau maklumat mengenai salah laku jenayah serta pelanggaran tata kelakuan dan etika organisasi
  6. Memastikan tadbir urus yang terbaik dilaksanakan
Unit Integriti MARDI telah ditubuhkan pada Februari 2015

Pada 15 Mei 2021, MARDI telah melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2021-2025 dengan memberi fokus kepada enam bidang keutamaan iaitu kewangan, penyelidikan, pemindahan teknologi, tadbir urus, pentadbiran dan pembangunan kapasiti sumber manusia.

Pelan ini akan membantu MARDI menangani isu tadbir urus (governans), integriti dan antirasuah secara menyeluruh, selain tindakan undang-undang diambil terhadap individu yang sengaja menyebabkan ketirisan, pemborosan atau pembaziran dana kerajaan.

Pelaksanaan OACP MARDI amat signifikan dalam mencerminkan usaha MARDI untuk terus menyokong kerajaan dan aspirasi rakyat Malaysia bagi membentuk sebuah negara yang bebas rasuah dengan warganya membudayakan ketelusan, akauntabiliti dan integriti.

Pelan ini diharap akan menjamin reputasi dan prestasi MARDI sebagai sebuah agensi kerajaan daripada pelbagai penemuan ketidakakuran peraturan yang sedang berkuat kuasa, tohmahan rasuah dan tata kelakuan dalam kalangan warga MARDI.

MARDI berjaya mengekalkan Sijil Bersih Jabatan Audit Negara bagi Penyata Kewangan buat kali yang ke-19 pada 31 Disember 2019

Unit audit dalaman yang melibatkan audit kewangan dan audit prestasi pula akan memastikan;

  1. Penilaian terhadap aktiviti organisasi untuk menentukan matlamatnya telah dicapai dan sumber digunakan secara berhemat, cekap dan berkesan.
  2. Mengkaji dan menilai projek dan aktiviti penyelidikan dan pembangunan MARDI daripada segi kecekapan, keberkesanan, keekonomian dan kesesuaian
  3. Melaksana pengauditan terhadap pengurusan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) MARDI
  4. Melaksana audit Kualiti Dalaman & Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat

Menurut beliau, Pusat Pengurusan kewangan MARDI telah menyediakan Buku Peraturan Kewangan MARDI sebagai bahan rujukan dan panduan bagi memastikan peraturan dan prosedur kewangan dipatuhi sepenuhnya oleh warga MARDI.

Buku ini sentiasa dikemas kini pada edisi ke-5 untuk memastikan sistem pengurusan kewangan yang baik boleh dicapai melalui kesempurnaan dan keutuhan sistem kawalan dalaman serta pematuhan kepada peraturan kewangan yang berkuat kuasa.

Sistem Pemantauan Rancangan Operasi Korporat MARDI (PROPER) dibangunkan oleh sekumpulan pegawai dalaman pada tahun 2010

MARDI melalui pusat pengurusan kewangan sentiasa berusaha gigih dalam memastikan pengurusan kewangan MARDI dilaksanakan mengikut tatacara dan peraturan kewangan yang berkuat kuasa serta diuruskan dengan cekap dan berhemah.

Buat kali yang ke-19 iaitu pada 31 Disember 2019, MARDI telah mengekalkan Sijil Bersih Jabatan Audit Negara bagi Penyata Kewangan.

Berkenaan dengan pengurusan projek iaitu Pusat Perancangan Strategik dan Pengurusan Inovasi (PI), beliau menjelaskan tentang tugas-tugas yang dijalankan oleh unit ini ialah;

  1. Merancang hala tuju penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan
  2. Mengurus, memantau dan menilai pelaksanaan penyelidikan dan inovasi MARDI
  3. Mengurus dan menambah baik proses pengurusan kualiti

Projek-projek penyelidikan di MARDI yang mendapat peruntukan daripada pelbagai dana sama ada daripada kerajaan ataupun swasta perlu dilaksanakan mengikut garis waktu yang dirancang.

Menjadi tanggungjawab pihak pengurusan untuk memantau semua projek ini agar dilaksanakan dalam masa yang dirancang manakala peruntukan pula dibelanjakan mengikut skop.

Sistem Pemantauan Rancangan Operasi Korporat MARDI (PROPER) telah dibangunkan oleh sekumpulan pegawai dalaman pada tahun 2010 bertujuan untuk memantau pelaksanaan projek-projek di MARDI bermula dari RMK-9 secara dalam talian.

Encik Mohammad Noor menegaskan, sebagai sebuah organisasi yang melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D), MARDI perlu diurus secara cekap dan berkualiti.

Oleh itu, MARDI melaksanakan Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) agar prestasi MARDI boleh diukur dengan mengambil kira keperluan pelanggan dan pihak yang berkepentingan.

SPK merupakan satu sistem yang memberi tumpuan kepada penambahbaikan secara berterusan, kecekapan dan keberkesanan operasi sesebuah organisasi dan persijilan MS ISO 9001 ialah satu bukti usaha gigih MARDI dalam melaksana dan mengekalkan SPK.

MARDI telah dianugerahkan MS ISO 9001:1994 sejak tahun 1998, kemudian sijil ini dinaik taraf kepada MS ISO 9001:2000 pada tahun 2004 dan seterusnya pada 2011, penggunaan SPK di MARDI sekali lagi dinaik taraf kepada persijilan MS ISO 9001:2015.

Sehingga 2015, terdapat 11 proses utama dan 21 proses sokongan MARDI yang telah ditauliahkan dengan persijilan MS ISO 9001:2015 (Manual Kualiti MARDI; 2014).

Terdapat dua perkara dalam standard MS ISO 9001 yang menjurus kepada pelanggan iaitu yang pertama ialah proses yang berkaitan pelanggan, menekankan kepentingan memahami keperluan pelanggan termasuk melaksanakan komunikasi yang berkesan dengan pelanggan.

Kedua ialah kepuasan pelanggan yang menekankan komitmen yang penuh untuk memenuhi keperluan dan meningkatkan kepuasan pelanggan secara berterusan.

Menurut beliau juga, secara umumnya, setiap organisasi yang berusaha mendapatkan persijilan MS ISO 9001 mempunyai lima matlamat utama.

Pertama, organisasi tersebut perlu memenuhi kehendak pelanggan untuk menjadikan organisasi mendapat keyakinan pelanggan sekaligus menyebabkan mereka kekal berurusan dengan pelanggan.

Organisasi juga mementingkan penyimpanan rekod kualiti sebagai bukti tindakan selain penekanan terhadap pencegahan yang diterapkan kepada semua staf bagi mewujudkan cara kerja yang berprinsip betul pertama kali dan setiap kali.

Terakhir, organisasi mendapatkan persijilan ini kerana ingin meningkatkan kompetensi dan motivasi semua staf kerana pekerja yang cekap dan bermotivasi akan meningkatkan prestasi dalam penyampaian perkhidmatan malah, mereka akan konsisten dalam menjalankan tugasan yang diberi.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article