Penjawat awam dinasihatkan supaya berfikir di luar kelaziman dalam menyampaikan perkhidmatan lebih berkualiti yang dapat memenuhi kehendak dan aspirasi pelanggan atau rakyat seiring dengan perubahan teknologi dan corak pembangunan negara yang semakin pesat.
Menurut Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan) YBhg Datu Dr. Sabariah Putit, perkhidmatan awam harus melihat bagaimana daya kreativiti dan inovasi dapat ditingkatkan bagi memenuhi kehendak rakyat, terutama ketika mengharungi norma baharu dalam berdepan pandemik COVID-19.
Jelas beliau lagi, penjawat awam perlu mencari kaedah untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan yang lebih baik sama ada melalui pengubahsuaian atau penambahbaikan.
Produk inovasi misalnya, dapat memberi impak dan meningkatkan kualiti dan produktiviti organisasi serta kehidupan rakyat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Konvensyen Mini Kumpulan Inovatif dan Kreatif (ICC) Jabatan Ketua Menteri 2021 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 28 Oktober.
Sebanyak 13 kumpulan daripada sembilan unit di Jabatan Ketua Menteri (JKM) melibatkan 101 ahli kumpulan telah menyertai konvensyen tersebut yang julung kali diadakan dari 6 hingga 7 September 2021.
Daripada jumlah tersebut, 10 kumpulan bertanding dalam kategori penciptaan dan tiga lagi kumpulan bertanding dalam kategori penambahbaikan.
Penyertaan kali pertama tiga kumpulan, iaitu Kumpulan Kanzen-Sei, (Unit Integriti dan Ombudsman Negeri), HR Genovation (Unit Sumber Manusia Negeri) dan Innovengers (Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain) telah berjaya melayakkan mereka ke peringkat akhir Sarawak Civil Service Innovation Convention Awards (SCSICA) 2021.
Penganjuran Mini Konvensyen ICC JKM dan Konvensyen SCSICA jelas YBhg Datu Dr. Sabariah diyakini dapat melestarikan budaya kerja inovatif dan kreatif dan berpandangan jauh dalam kalangan penjawat awam bagi meningkatkan kualiti kerja dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada masyarakat.
Beliau turut menasihatkan penjawat awam supaya menyahut seruan Setiausaha Kerajaan Negeri YB Datuk Amar Jaul Samion agar semua produk inovasi yang dihasilkan diterapkan ke dalam pelan tindakan dan pelaksanaan yang lebih bersepadu dan komprehensif bagi mengenal pasti dan menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat, terutama di luar bandar.
Sehubungan itu, setiap agensi dan kementerian perlu melihat semula projek-projek yang telah dilaksanakan dan membuat replikasi dan penyeragaman kepada agensi-agensi berkaitan di bawah seliaan masing-masing.
Melalui usaha sedemikian jelas YBhg Datu Dr. Sabariah, inovasi yang dihasilkan akan memberi manfaat dan impak yang signifikan serta memberi nilai tambah kepada kesejahteraan rakyat.