Status terkini Lebuhraya Pan Borneo Sarawak (LPB), salah satu projek utama di bawah Kementerian Kerja Raya menunjukkan kemajuan positif apabila fasa pertamanya mencapai hampir 80 peratus siap.
Perkara ini dimaklumkan Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof kepada media ketika Sesi Libat Urus Bersama Media Sarawak pada 14 November yang lepas.
Menurut beliau, pembinaan fasa 1 dengan jumlah jarak keseluruhan 786 km dibahagi kepada 11 pakej kerja dan setakat ini satu pakej kerja iaitu Telok Melano ke Sematan telah siap pada Januari 2019.
Beliau turut memaklumkan bahawa 10 pakej kerja dari Sematan ke Miri sedang giat dilaksanakan dengan satu daripada Pakej 7 Jajaran dari Julau ke Sibu telah pun siap dan akan dirasmikan dalam masa terdekat. Untuk rekod, laluan empat Lorong di jajaran Julau telah dibuka kepada umum pada 20 Oktober lalu.
Begitu juga dengan satu lagi jajaran Serian ke Pantu mencapai hampir 99 peratus siap dan projek penyerahan projek akan dilaksanakan nanti.
Beliau memberikan keyakinan bahawa Kementerian Kerja Raya akan memastikan Projek Pembinaan Pan Borneo ini dapat disiapkan dan peruntukan tahunan RM1 bilion akan diteruskan.
Ketika ditanya media, bila projek ini akan siap sepenuhnya, jelas beliau bagi jajaran lain ia akan siap pada penghujung 2023 jika mengikut perancangan asal.
Namun kerajaan perlu juga melihatnya secara realistik dengan mengambil kira cabaran yang sedia ada terutama bekalan, wabak pandemik yang melanda serta faktor lain, ada kemungkinan sedikit projek akan melangkaui 2023 dan mungkin siap pada awal 2024.
Pada perkara berkaitan, mengenai had laju setelah jalan Pan Borneo siap kelak, laluan masih ditetapkan pada kelajuan 90 kilometer sejam (km/j).
Mengenai aduan terdapat papan tanda jalan tidak dipasang di beberapa lokasi, beliau telah mengarahkan kontraktor dan pihak yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan sewajarnya dalam memastikan tanda yang betul diletakkan sepanjang Pan Borneo supaya tidak mengelirukan dan membahayakan nyawa pengguna jalan raya