- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Jalan Lubok Teranggas ke Gedong Pendekkan Perjalanan Kota Samarahan ke Gedong

Must read

Kawasan Gedong dan Simunjan akan mengalami pembangunan menyeluruh, impak daripada jaringan jalan raya baharu yang bakal dibangunkan.

Menurut Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, jalan raya baharu yang dicadangkan akan menghubungkan dan memendekkan perjalanan penduduk di kawasan sekitar Gedong dan Simunjan ke Kota Samarahan.

Manakala dari Asajaya, Samarahan pula akan dapat dihubungkan ke Lingga, Sri Aman apabila Jambatan Batang Lupar siap kelak.

Beliau memaklumkan perkara tersebut ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Lubok Teranggas ke Gedong di Dewan Terbuka Gedong, Simunjan pada 17 November 2021.

Pembangunan jaringan jalan raya tersebut jelas beliau akan melimpah ke sektor pertanian, pelancongan dan aktiviti-aktiviti ekonomi yang lain.

Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari melihat lakaran pelan pembinaan Jalan Lubok Teranggas ke Gedong – Foto Bernama

Impak lain daripadanya juga bakal menjadikan Gedong dan Simunjan tidak lagi terpencil, malah menjadi kawasan persinggahan pengunjung yang datang daripada bahagian-bahagian lain dengan adanya jalan pesisir sedia ada dan yang akan dihubungkan dengan jala raya yang dicadangkan.

Ketua Menteri juga tidak menolak kemungkinan untuk meningkatkan infrastruktur internet di Gedong bagi menggalakkan penglibatan komuniti setempat dalam ekonomi digital yang seterusnya dapat menambah pendapatan dan memajukan ekonomi sejajar dengan matlamat Sarawak mencapai negeri maju menjelang 2030.

Berdasarkan maklumat dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, jalan Lubok Teranggas ke Kampung Gedong akan dibina sepanjang 6.85 kilometer dan dijangka siap pada Januari 2024.

Jalan raya tersebut akan memendekkan perjalanan dari Kota Samarahan ke Gedong kepada kira-kira 50 minit berbanding dengan satu jam 30 minit melalui Lebuh Raya Pan Borneo sekarang.

Pemandangan dari udara kawasan perkampungan di Gedong

Pada majlis tersebut, Ketua Menteri turut menyampaikan 146 unit peranti mediapad sumbangan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dengan kerjasama syarikat Huawei Technologies kepada 12 buah sekolah terpilih di Kawasan Gedong dan Simunjan yang akan memberi manfaat kepada pelajar di bawah kategori B40 untuk mengikuti sesi pembelajaran dari rumah.

Beliau dan para tetamu kehormat yang lain sebelum itu telah mendengar taklimat pembangunan Gedong di Dewan Masyarakat Gedong.

Turut hadir ialah Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Gedong, YB Datuk Haji Mohd Naroden bin Haji Majais, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Batang Sadong YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Sosioekonomi) YBhg Dato Sri Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article