Sri Aman Development Agency (SADA), sebuah agensi atau institusi bersepadu yang diwujudkan bagi memastikan Bahagian Sri Aman tidak ketinggalan dalam arus pembangunan dalam menyokong visi Bahagian Sri Aman- Ke Arah Bahagian Yang Maju Dalam Sosio-Ekonomi Menjelang Tahun 2030.
Keadaan ini diakui sendiri oleh Ketua Menteri Sarawak, YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg ketika melancarkan bangunan Wisma SADA (Sri Aman Development Agency) pada 21 Oktober 2021.
Menurut Ketua Menteri, sudah tiba masanya Bahagian Sri Aman keluar daripada tanggapan sebagai terasing dan terpinggir dengan beliau mengambil inisiatif berjumpa dengan wakil rakyat kawasan tersebut mencadangkan satu cara pendekatan membangunkan Sri Aman secara bersepadu melalui langkah drastik iaitu penubuhan SADA.
Apa yang dapat disaksikan kini, jelas Ketua Menteri ialah potensi dan prospek besar Bahagian Sri Aman dengan penekanan aspek pertama iaitu infrastruktur jaringan utama iaitu Lebuh raya Pan Borneo dan Jalan Pesisir merentasi Bahagian Samarahan dan Betong.
Bukan setakat itu sahaja, Kerajaan Sarawak jelas Ketua Menteri turut membangunkan Jambatan Batang Lupar ke-2 yang akan menghubungkan kampung-kampung dan rumah Panjang sepanjang jalan tersebut.
Jambatan Batang Lupar yang kini sedang dalam pembinaan akan membuka kawasan pesisir termasuk di Bahagian Sri Aman, malah Sri Aman akan menerima kesan langsung apabila terdapat jalan ke-2 turut menyambung Lingga terus dari Bahagian Samarahan.
Ini akan menyerlahkan potensi sebenar pembangunan di kawasan tersebut.
Aspek kedua yang diberi penekanan menurut Ketua Menteri ialah bekalan elektrik dan air, dengan di pihak kerajaan Sarawak akan meningkatkan bekalan seterusnya menyusun dengan teratur sektor-sektor yang dapat memberikan kesan langsung kepada pembangunan di Sri Aman.
Ketua Menteri ada mencadangkan kepada SADA untuk memberikan perhatian terhadap sektor yang boleh menjana pekerjaan dan menaiktarafkan ekonomi seperti Sektor Pertanian, dengan beberapa buah kawasan seperti di Banting akan dibangunkan dengan tanaman padi.
Selain Sektor Pertanian, Sektor Pelancongan juga berpotensi untuk dibangunkan dengan mengambil kira kawasan seperti Batang Ai dan Lubok Antu serta kawasan sekitarnya.
Namun sebelum ini, beberapa sektor tersebut tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya sebelum ini, disebabkan keadaan infrastruktur jalan kita ketika kurang memuaskan dan termasuk sistem pengairan dan saliran terutama dalam sektor pertanian.
Jelas Ketua Menteri, Kerajaan Sarawak dapat melihat potensi Sri Aman ini dapat dirancakkan lagi sekiranya ada sebuah badan yang mengkoordinasi perancangan pembangunan seperti SADA.
SADA jelas Ketua Menteri akan diberikan dana untuk merealisasikan apa yang telah dikenal pasti dan mampu meluaskan lagi pembangunan di Bahagian Sri Aman.
Kerajaan Sarawak juga menurut Ketua Menteri telah menaik taraf kemudahan di bandar Simanggang seperti Tebingan Sungai Sri Aman dan Taman Aman (Peace Park).
Beberapa jalan utama seperti Jalan Dato, Jalan Resak, Jalan Foo Chow juga akan diperbesarkan untuk bandar Simanggang manakala Jalan dari Rumah Rehat Kerajaan sehingga ke Tapak Benak akan dibesarkan menjadi 2 buah lorong untuk kemudahan penduduk dan pengunjung.
Beliau menyedari bahawa walaupun pembangunan mengambil masa tetapi yang paling penting kita telah menunaikan Amanah dan Janji kepada rakyat.
Seperti juga, bahagian Serian dan bahagian Betong/ Sarikei, Bahagian Sri Aman juga membuka kawasan pertanian secara besar-besaran dalam usaha menjadi pengeluar makanan dan menghubungkan dengan bahagian-bahagian pentadbiran sekitarnya.
Mengambil contoh Pekan Lachau, Kerajaan Sarawak sudah ada perancangan untuk membangunkan kawasan tersebut. Kawasan Lubok Antu Ke Pekan juga turut dipasangkan dengan lampu jalan.
Ketua Menteri pada masa yang sama memuji jentera perkhidmatan awam negeri Sarawak yang efisien diketuai Tuan Residen yang mengkoordinasi pembangunan sebelum ini begitu juga dengan sokongan ketua masyarakat.
Malah barisan jawatankuasa SADA juga dibarisi wakil rakyat yang berpengalaman selain penglibatan Setiausaha Kerajaan Negeri akan merancakkan pembangunan di Bahagian Sri Aman.
Pada perkembangan berkaitan, hasil daripada taklimat bersama Jawatankuasa Pemandu SADA, Ketua Menteri menekankan tentang keperluan menaik taraf sistem pengairan terlebih dahulu dan telah mengambil model MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) di Kedah sebagai penanda aras kawasan pengeluaran padi.
Menurut Ketua Menteri, aspek pembangunan infrastruktur seperti jalan bekalan elektrik, air dan sistem perparitan mesti ditingkatkan.
Ketua Menteri yakin, apabila siapnya Lebuh Raya Pan Borneo (daripada Serian- Sri Aman) termasuk Jalan dari Simunjan keluar dari Lachau. Ia akan membuka lebih banyak kawasan yang kemudian akan dihubungkan dengan Jalan Utama kedua memendekkan perjalanan ke Bahagian Samarahan dan Betong.
Pembangunan dapat dilaksanakan dengan sempurna apabila semua jaringan infrastruktur lengkap sepenuhnya dalam masa 5 tahun akan datang.
Potensi besar Daerah Lubok Antu dengan tempat-tempat menarik seperti Batang Ai, Ulu Lemanak, Engkari dapat dimajukan sepenuhnya.
SADA juga akan melaksanakan Pembangunan Modal Insan dan pada masa yang sama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) digalakkan mengadakan lawatan lapangan di sini untuk kajian bidang pertanian, perhutanan dan bioteknologi.
Kerajaan Sarawak melihat SADA ini berupaya mengkoordinasi perancangan pembangunan secara teratur. Semua yang dirancang ada kaitan ekonomi, baik daripada segi infrastrukturnya yang akan merangsang ekonomi seterusnya pendapatan rakyat di bahagian ini.
Jelas Ketua Menteri, dengan perancangan yang teratur ini sekurang-kurangnya kita dapat menjangkakan apa yang bakal berlaku 6 hingga ke 7 tahun akan datang dan bersiap sedia dengan keperluan lain yang dijangka berlaku seperti keperluan perumahan dan sebagainya.