- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Bajet Inklusif Berteraskan Rakyat

Must read

Semasa pembentangan Bajet Sarawak 2022 susulan Mesyuarat Khas Bajet Negeri yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 12 Oktober lalu, Kerajaan Sarawak telah meluluskan Bajet Negeri 2022 berjumlah RM10.646 bilion.

Bajet Sarawak 2022 ini dianggap bersifat inklusif dan berteraskan rakyat di mana Kerajaan Sarawak telah memberi tumpuan yang sewajarnya untuk membantu rakyat dalam situasi kesan daripada pandemik COVID-19 selain meneruskan kesinambungan agenda pembangunan negeri.

Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg telah mengambil inisiatif untuk mengadakan sesi libat urus bersama semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kelulusan bajet berkenaan.

Hal ini jelas membuktikan, pendekatan Kerajaan Sarawak di dalam menggubal belanjawan negeri untuk tahun 2022 serta memberi penjelasan berkenaan isu-isu berbangkit adalah demi memastikan tadbir urus yang baik, ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam menggunakan dana rakyat.

Bercakap dalam sidang media selepas pembentangan Bajet Sarawak 2022, Ketua Menteri menjelaskan bahawa bajet tersebut telah dirumuskan dengan berlatar belakangkan prestasi ekonomi global dan domestik serta ramalan pertumbuhannya.

Ketua Menteri semasa sidang media yang diadakan selepas pembentangan Bajet Sarawak 2022

Jelas beliau, Bajet Sarawak 2022 mempunyai lapan (8) teras strategik yang memberi tumpuan untuk membantu dan meningkatkan taraf hidup rakyat dalam menghadapi situasi getir ketika ini iaitu;

  1. Melindungi Kehidupan dan Pendapatan Rakyat
  2. Memacu Pemulihan Ekonomi
  3. Memudahkan dan Mempertahankan Pemulihan Perniagaan
  4. Transformasi Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar
  5. Membangunkan Sumber Manusia
  6. Mempercepatkan Penggunaan Digital dan Data
  7. Menyeimbangkan Pertumbuhan Ekonomi dengan Kemapanan Alam Sekitar
  8. Memperkukuhkan Kapasiti dan Perkhidmatan Kerajaan.

Dengan anggaran pendapatan berjumlah RM10.136 bilion dan jumlah perbelanjaan biasa yang dicadangkan sebanyak RM10.646 bilion, beliau yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi Sarawak berkata, belanjawan 2022 dijangka mengalami defisit sebanyak RM610 juta.

Namun, akibat kesan daripada pandemik COVID-19 terhadap ekonomi negeri dan kehidupan rakyat, Kerajaan Sarawak mengambil keputusan untuk menerapkan dasar pengembangan fiskal bagi meningkatkan produktiviti dan memulihkan ekonomi.

Berdasarkan Dokumen Belanjawan Negeri 2022 yang diberikan kepada media, sejumlah RM4.046 bilion daripada RM10.646 bilion belanjawan 2022 akan digunakan untuk perbelanjaan operasi manakala RM6.6 bilion akan disalurkan kepada Akaun Dana Pembangunan bagi membiayai pelaksanaan pelbagai projek serta program pembangunan.

Manakala sejumlah RM7.509 bilion akan disediakan untuk Anggaran Perbelanjaan Pembangunan di bawah Belanjawan 2022 yang akan diagihkan kepada sektor-sektor utama seperti sektor ekonomi (RM5.371 bilion), sektor sosial (RM1.905 bilion) dan sektor pentadbiran am (RM233 juta).

Sementara itu, Ketua Menteri memberitahu, kerajaan negeri akan memperkenalkan dana khas dengan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi membantu warga Sarawak berpendapatan rendah daripada sektor kelapa sawit dan pengusaha kecil.

Kerajaan juga akan menyediakan skim dana pemerkasaan bagi memajukan komuniti perniagaan kecil untuk beradaptasi dengan norma baharu terutama dalam sektor kelapa sawit dan lada termasuk petani dan nelayan.

Selain itu, Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan Bantuan Khas Sarawakku Sayang 8.0 dengan peruntukan RM285.47 juta yang akan dilaksanakan secara enam bulan pertama 2022 termasuk bantuan kewangan secara one-off.

Kerajaan Sarawak memperuntukan RM285.47 juta untuk program Bantuan Khas Sarawakku Sayang 8.0

Antara inisitif lain yang akan dilaksanakan ialah Pelan Pemerkasaan Perniagaan Bumiputera, Dana Bantuan Pemulihan Perniagaan dan Skim Bantuan Deposit Rumah sehingga RM10 ribu untuk membantu golongan B40 dan M40 membuat pembayaran deposit pemilikan rumah.

Bajet Sarawak 2022 merupakan belanjawan negeri yang julung kalinya tidak dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) susulan perintah darurat yang masih berkuat kuasa di Sarawak.

Sebagai pencerahan, kelulusan Belanjawan Sarawak 2022 ini adalah tertakluk kepada kuasa yang diberikan kepada Ketua Menteri atau Pihak Berkuasa Kewangan Negeri mengikut Seksyen 11 Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu Sarawak 2021.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article