Bajet 2022 yang telah dibentangkan pada 31 Oktober 2021 terus menekankan usaha meningkatkan sistem kesihatan awam negara termasuk memberi penekanan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlakunya gelombang baharu pandemik COVID-19.
Pelbagai usaha akan dilaksanakan di bawah Inisiatif Kedua, iaitu Akses Kemudahan Kesihatan Awam sebagai salah satu inisiatif Strategi Pertama Bajet 2022, iaitu Memulihkan Kehidupan dan Mata Pencarian.
Selain itu, strategi Bajet 2022 turut menumpukan usaha memulihkan perniagaan di samping membina semula daya ketahanan negara dan memangkinkan pembaharuan pasca pandemik yang lebih mampan.
Di bawah inisiatif kedua tersebut, sebanyak RM32.4 bilion disediakan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk perbelanjaan mengurus dan menjalankan pembangunan.
Peruntukan kepada KKM adalah yang kedua terbesar selepas Kementerian Pendidikan dalam usaha kerajaan mengutamakan kesejahteraan rakyat dan membina daya tahan negara dalam persediaan ke fasa endemik COVID-19.
Bagi tujuan tersebut, tambahan RM4 bilion disediakan khusus untuk meneruskan agenda menangani COVID-19 yang merangkumi RM2 bilion bagi membiayai program vaksinasi.
Manakala baki RM2 bilion pula disediakan bagi meningkatkan kapasiti kemudahan perkhidmatan kesihatan awam seperti pembelian bekalan ubat, bahan guna habis, peralatan perlindungan peribadi (PPE) dan kit kesihatan.
Dalam mendokong semangat Keluarga Malaysia, KKM juga telah mendapatkan khidmat atau sumber luar ke hospital swasta dan hospital seliaan kementerian tersebut bagi mengoptimumkan kapasiti kesihatan dalam negara.
Selain itu, untuk memenangi peperangan menentang COVID-19, kerajaan bercadang untuk melaksanakan perolehan ubat-ubatan antiviral yang didapati berkesan terhadap pelbagai virus termasuk virus COVID-19.
Program Imunisasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) diberi keutamaan dan akan terus diperkasakan dengan membekalkan dos ketiga sebagai vaksin penggalak kepada semua orang dewasa.
Pada masa sama, pemberian vaksin kepada anak-anak berusia 12 hingga 17 tahun juga akan diteruskan.
Antara usaha lain dalam meningkatkan sistem kesihatan negara, kerajaan telah menandatangani perjanjian untuk mendapatkan 88 juta dos iaitu bersamaan lebih 140 peratus penduduk dan cukup untuk memberi dos ketiga kepada semua penduduk berusia 12 tahun dan ke atas.
Bajet 2022 turut memberi perhatian kepada aspek kesihatan awam. Sehubungan itu, kerajaan bersetuju untuk meneruskan Agenda Nasional Malaysia Sihat dalam memupuk budaya sihat serta menangani masalah penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi dan obesiti.
Pengurusan Klinikal Penyakit Jarang Jumpa di negara seperti lisosomal akan dimantapkan selain bercadang untuk meluaskan kenaan duti eksais ke atas produk minuman bergula dalam bentuk pra campuran berasaskan coklat atau koko, malt, kopi dan teh.
Kerajaan juga bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.
Dalam memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan awam, kerajaan akan bekerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah dan St John Ambulance untuk meningkatkan akses dan capaian respons perkhidmatan ambulans.
Antara lain, kerajaan telah bersetuju untuk menyambung pelantikan secara kontrak lebih 10 ribu orang pegawai perubatan, pergigian dan farmasi selepas tempoh khidmat wajib selama dua tahun kepada maksimum empat tahun.
Langkah tersebut dilaksanakan bertujuan untuk memastikan kesinambungan perkhidmatan dan sebagai persediaan pengajian kepakaran kakitangan yang terlibat.
Sebagai tambahan, kerajaan juga bersetuju meluluskan penajaan program kepakaran dengan peruntukan RM100 juta untuk manfaat 3,000 orang pegawai kontrak perubatan dan pergigian.
Kerajaan menyedari bahawa krisis pandemik COVID-19 telah memburukkan masalah kesempitan hidup, keganasan rumah tangga dan kemurungan sehingga menjadi punca kepada isu kesihatan mental.
Dalam menangani isu kesihatan mental, RM70 juta diperuntukkan bagi terus memastikan isu tersebut diberi keutamaan.
Antara yang akan dilakukan ialah memperkukuh perkhidmatan sokongan, kaunseling dan psikososial, menambah program advokasi serta memperkasa peranan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai penggerak program kesihatan mental.
Seterusnya, kerajaan turut bercadang untuk meluaskan skop pelepasan cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan pemeriksaan kesihatan meliputi kos khidmat nasihat pakar psikiatri, ahli psikologi klinikal dan kaunselor yang berdaftar.
Bajet 2022 yang mengandungi 83 muka surat dibentangkan oleh Menteri Kewangan YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat.