Di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), Kerajaan telah menggariskan dua pemacu perubahan dalam usaha menjana semula ekonomi negara iaitu yang pertama, memangkin industri strategik dan berimpak tinggi.
Pemacu perubahan ini bertujuan meningkatkan sumbangan industri dan aktiviti strategik dan berimpak tinggi kepada ekonomi dengan memanfaatkan teknologi termaju, pendigitalan dan keupayaan khusus.
Oleh itu, elektrik dan elektronik (E&E), perkhidmatan global (GS) aeroangkasa, kreatif, pelancongan, halal, pertanian pintar dan biojisim telah dikenal pasti sebagai industri dan aktiviti strategik berimpak tinggi yang akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negara.
Tumpuan juga akan diberikan kepada usaha mempercepatkan peralihan industri ini kepada yang lebih sofistikated dengan menghasilkan produk dan perkhidmatan bernilai tambah yang tinggi, memperluas pasaran global dan menarik pelaburan berkualiti.
Dalam pada itu, pelaburan sektor swasta akan dirangsang terutama yang mengutamakan elemen persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi menyokong agenda ekonomi hijau.
Seterusnya, pemacu perubahan yang kedua ialah mentransformasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai pemacu pertumbuhan baharu.
PMKS merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara dan pada akhir tahun 2020, bilangan PMKS dianggarkan hampir 1.2 juta (97.2%) daripada jumlah keseluruhan perusahaan.
Namun begitu, sebahagian besar PMKS masih kurang berdaya saing dan perlu diperkasakan semula setelah terjejas akibat pandemik COVID-19.
Oleh sebab itu, Kerajaan komited untuk terus membantu dan menyokong pemulihan PMKS dan pada masa yang sama, PMKS digalakkan untuk meneruskan agenda transformasi digital bagi memacu pertumbuhan dalam norma baharu pasca pandemik.
Usaha mentransformasi PMKS akan mempercepatkan pembangunan PMKS melalui penerima gunaan teknologi dan pendigitalan bagi mengamalkan norma baharu dalam aktiviti perniagaan serta meningkatkan keupayaan usahawan Bumiputera.
Tumpuan akan diberi kepada peralihan daripada pasaran domestik kepada pasaran global serta memanfaatkan gerakan koperasi dalam pembangunan usahawan untuk meningkatkan daya saing dan ekosistem perniagaan sekali gus meningkatkan sumbangan PMKS kepada ekonomi.
Sehubungan itu, PMKS akan dilengkapkan dengan kemahiran bagi membolehkan mereka mendigitalkan operasi perniagaan menjelang 2025.
Bagi meningkatkan daya saing, PMKS juga akan dibantu untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang setanding dengan piawaian antarabangsa.
Ekosistem yang kondusif dan menyeluruh akan disediakan untuk menyokong PMKS dan ini termasuk memberi peluang kedua kepada usahawan yang telah mencuba namun menemui kegagalan kerana kejayaan tidak semestinya dicapai pada percubaan pertama.
Sehubungan itu, pesuruhjaya akan dilantik untuk membantu perniagaan kecil menerima bayaran tepat pada waktunya dan menyelesaikan pertikaian pembayaran.
Malaysia akan beralih kepada aktiviti ekonomi yang bernilai tambah dan berkemahiran tinggi serta menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi yang dipacu oleh teknologi termaju.
Dalam tempoh lima tahun akan datang, usaha bersepadu akan dilaksanakan untuk mencergaskan semula semua sektor ekonomi iaitu perkhidmatan, pembuatan, pertanian, perlombongan dan pengkuarian serta pembinaan.
Selain itu, pertumbuhan produktiviti akan dilonjakkan, pasaran eksport diperluas, keberkesanan ekosistem pengantara kewangan diperkukuh, peranan kawasan perindustrian dan pengeluaran makanan dipergiat serta dasar dan tadbir urus ditambah baik.
Tumpuan juga akan diberi untuk mempercepatkan pembangunan lapan industri dan aktiviti strategik dan berimpak tinggi, iaitu elektrik dan elektronik (E&E), perkhidmatan global (GS), aeroangkasa, kreatif, pelancongan, halal, pertanian pintar dan biojisim.
Kerajaan telah bersetuju meluluskan beberapa program dan projek utama untuk dilaksanakan dalam RMK-12 bagi melonjakkan pertumbuhan sektor dan industri strategik.
Antaranya ialah dana pinjaman pelaburan penyelidikan dan pembangunan bidang aeroangkasa, elektrik dan elektronik; penubuhan Centre of Excellence for Future Industry; dana harta intelek; dan skim pembiayaan mudah bagi pendigitalan dan penerimagunaan teknologi untuk menyokong syarikat tempatan beralih kepada teknologi termaju.
Dengan terlaksananya beberapa perancangan ini, Malaysia akan dapat mencapai sasaran pertumbuhan purata sektor perkhidmatan sebanyak 5.2%, pembuatan 5.7%, pertanian 3.8%, perlombongan dan pengkuarian 2.6% serta pembinaan 4.2 peratus dalam tempoh RMK-12.
Sektor pelancongan yang paling terjejas berikutan pandemik juga dijangka akan pulih dengan sasaran pertumbuhan 3.8% manakala PMKS pula dijangka dapat menyumbang sebanyak 45% kepada Keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan 25% kepada jumlah eksport pada tahun 2025.