Projek pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) merupakan inisiatif penting bagi melengkapkan kawasan luar bandar dengan pelbagai infrastruktur yang diperlukan oleh rakyat.
Misalnya, projek RTP yang dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di Tatau dan Belaga telah banyak membantu menyelesaikan isu berkaitan pembangunan infrastruktur asas meskipun ada projek yang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
Pelaksanaan projek RTP jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam usaha membawa pembangunan secara menyeluruh meliputi semua kawasan di negeri Sarawak.
Usaha kerajaan untuk menaik taraf kemudahan infrastruktur asas, utiliti dan kemudahan sosial ini telah membolehkan masyarakat di Tatau dan Belaga menikmati taraf hidup yang lebih baik.
Misalnya projek naik taraf dan bina baru jalan telah dapat memberikan keselesaan kepada penduduk dan pengguna jalan raya untuk bergerak ke mana saja selain memudahkan mereka menyelesaikan urusan harian setiap hari.
Pada tahun 2021, Kerajaan Sarawak telah meluluskan empat (4) projek RTP di kawasan Belaga termasuk bina baharu tambatan (Gabion Wall) tebingan sungai berdekatan Rh. Nyaberth bagi menahan hakisan tanah runtuh di jalan utama, Data Kakus dengan kos bernilai RM500 ribu.
Tiga lagi projek RTP yang dilaksanakan di Belaga ialah Projek Naik Taraf Jalan Kampung, Data Kakus (Fasa 2) bernilai RM350 ribu; Projek Merata Tapak Baru Rumah Panjang, Data Kakus bernilai RM100 ribu; dan Projek Naik Taraf Balai Raya, Data Kakus bernilai RM150 ribu.
Sementara pada 2020, Kerajaan Sarawak telah meluluskan empat projek RTP di Belaga melibatkan Projek merata tapak baharu Rumah TR. Atok Ukong, Data Kakus bernilai RM249,799.31; Merata tapak tanah perkuburan baharu di Kampung TR Peter Deno Amit Jalong, Data Kakus bernilai RM249,505.94;
Projek Merata Tapak Baharu Rumah di Kampung TR. Yamin Amit, Data Kakus bernilai RM200,000.00; dan Projek Merata Tapak Baharu Rumah, Tr Stevenson Nap Anyan, Data Kakus bernilai RM200,000.00.
Manakala, sebanyak 20 projek RTP telah dilaksanakan di Tatau pada tahun 2021 antaranya ialah Projek Bina Baru Jambatan Sungai Sap Dan Baik Pulih Jalan Rh. Gundi ak. Chunggat; Merata Tapak Rumah Panjang Baru, Rh. Lasok ak. Oat, Sg. Penyarai, Kakus, Fasa II;
Projek Naik Taraf Jalan Rh. Was ak. Janteng, Entajum; Projek Merata Tapak Rumah Panjang, Rh. Indaituai, KM5, Jalan Tatau/Bintulu; Baik Pulih Jalan Rh. Asun ak. Jemat Fasa 2, Ng. Setusor, Tatau; Merata Tapak Baru Rumah Panjang, Rh. Kelambu Ak. Meringai, Muput, Tatau; dan lain-lain.
Sebanyak 20 projek RTP dilaksanakan di Tatau pada tahun 2020 melibatkan Naiktaraf Jalan Gravel Rh. Gani ak Suah, Sungai Batu Anap, Tatau; Merata Tapak Rumah Panjang Baharu, Rh. Lasok ak Oat, Sg. Penyarai,Kakus;
Membesarkan tapak rumah panjang dan membina baharu parit Rh. Pandong ak Kelam, Sg. Penyir, Tatau; Merata Tapak Rumah Panjang Baharu, Rh. Gansa Anak Daling, Sungai Tau, Ulu Anap, Tatau; Naik Taraf jalan Rh. Jeli ak Gaun, Muput, Tatau; Naik Taraf Jalan Rh Semanggat Ak Bubon, Nanga Dia, Tatau; dan lain-lain.
Pada dasarnya, kerjasama baik semua pihak termasuk pemimpin masyarakat membolehkan projek RTP di Belaga dan Tatau dapat dilaksanakan dengan sempurna.