Aplikasi HELPY telah memudahkan urusan jual beli barang keperluan
Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kerajaan Sarawak menggalakkan orang ramai membeli ataupun memesan barangan keperluan seperti makanan secara digital dengan aplikasi HELPY.
Aplikasi HELPY telah dibangunkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian, Industri Terminal dan Keusahawanan (MINTRED) untuk memudahkan orang ramai menempah barangan secara digital.
Terdapat beribu produk yang boleh dibeli melalui aplikasi HELPY sekaligus dapat membantu para pengguna membuat pilihan untuk menempah barangan keperluan termasuk juadah berbuka puasa dengan penghantaran terus ke rumah pengguna.
HELPY mempunyai kelebihan kerana ia menawarkan perkhidmatan penghantaran kepada pengguna mengikut tarikh dan masa yang telah ditetapkan sendiri oleh pembeli.
Servis penghantaran ini sangat diperlukan dan ‘wajib’ ditawarkan sepanjang tempoh PKP apatah lagi setelah kerajaan memutuskan untuk membatalkan bazar Ramadan di seluruh negara.
Platform e-Dagang iaitu aplikasi HELPY ini bukan saja telah memudahkan orang ramai untuk membeli barang keperluan, pada masa yang sama turut membantu para usahawan mempromosikan barangan mereka.
Aplikasi HELPY merupakan salah satu daripada platform e-Dagang di bawah program Bazaar Ramadhan Online Sarawakku Sayang (BROSS).