- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Kerajaan Cipta Peluang Pekerjaan Baharu

Must read

Impak pandemik Covid-19 dan cabaran ekonomi sejak hampir dua tahun lalu telah memberi kesan yang cukup mendalam kepada seluruh masyarakat di negara kita dengan menyaksikan ramai yang telah hilang pekerjaan dan juga sumber pendapatan.

Susulan itu, dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), Kerajaan komited untuk memastikan lebih banyak pekerjaan yang berkemahiran tinggi diwujudkan melalui pelaksanaan inisiatif berikut;

  • Menarik lebih banyak pelaburan baharu yang berteknologi tinggi
  • Menggalakkan industri beralih kepada automasi dan mekanisasi
  • Mengehadkan kemasukan pekerja asing berkemahiran rendah
  • Memperkukuh kolaborasi antara individu dan akademik

Pada masa yang sama, Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 telah diperkenalkan untuk menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran buruh.

Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 diperkenalkan untuk menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran buruh

Selain itu, Job Creation Strategic Plan 2021 – 2023 turut diperkenalkan bagi membolehkan negara menyediakan tenaga kerja berdaya tahan dan berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh industri.

Pelaksanaan dua pelan ini akan memastikan rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada pewujudan peluang pekerjaan baharu untuk rakyat tempatan.

Perdana Menteri menunjukkan dokumen rasmi RMK-12 selepas membentangkan RMK-12 di Bangunan Parlimen

Perkara ini dinyatakan Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob semasa membentangkan usul mengenai RMK-12 (2021-2025) di Dewan Rakyat pada 27 September 2021.

Jelas beliau, pandemik Covid-19 telah memberi kesan kepada beberapa sektor ekonomi yang mempunyai kebergantungan yang tinggi terhadap pekerja asing, terutama sektor pembinaan dan perladangan akibat pembekuan pengambilan pekerja asing.

Bagi mengatasi masalah ini, beliau mengakui bahawa industri perlu meningkatkan penggunaan automasi dan mekanisasi dalam proses pengeluaran.

Sehubungan itu, dalam dokumen rasmi RMK-12 menerangkan pelbagai langkah akan diambil oleh kerajaan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Antaranya ialah mempercepatkan Pembangunan Industri Strategik dan berimpak tinggi untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi, terutama bagi menyesuaikan industri dengan perubahan landskap rantaian bekalan global pasca pandemik.

Tumpuannya adalah merangsang industri elektrik dan elektronik (E&E) untuk beralih kepada rantaian nilai yang lebih tinggi, memperkukuhkan Malaysia sebagai hab perkhidmatan global dan mewujudkan industri aeroangkasa yang mampan.

Langkah ini juga akan dapat memaksimumkan potensi kreatif, mencergaskan semula industri pelancongan, meningkatkan daya saing dalam industri halal, mempergiat aktiviti pertanian pintar dan merealisasikan potensi industri biojisim.

Industri ini diberi keutamaan berdasarkan kemampuan untuk memanfaatkan teknologi termaju dan keupayaan khusus, serta kesan pengganda yang tinggi.

Pelaksanaan strategi ini dijangka meningkatkan sumbangan industri kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan melonjakkan pendapatan eksport.

Selain itu, Kerajaan juga akan mempertingkatkan Program Pembangunan Keusahawanan yang berteraskan kepada Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) untuk memupuk minda yang bersesuaian kepada mereka yang berminat menjadi usahawan.

Kerajaan akan mempertingkatkan Program Pembangunan Keusahawanan berteraskan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030)

Tumpuan akan diberikan kepada usaha membangunkan pelajar dengan set kemahiran keusahawanan kerana ia akan mewujudkan lebih banyak graduan yang boleh mencipta peluang pekerjaan.

Manakala, kerjasama Triple Helix akan terus digalakkan bagi membolehkan usahawan memperoleh kemahiran dan kecekapan yang diperlukan.

Di samping itu, pelaksanaan program jangkauan akan dipergiat bagi melonjakkan keupayaan dan kemahiran keusahawanan dalam kalangan belia, Bumiputera dan kumpulan sasar khusus.

Kemudahan inkubator juga akan diwujudkan di kawasan luar bandar dan kawasan yang kurang membangun bagi menyokong mereka yang berminat menjadi usahawan.

Malah, pembangunan intrapreneurship dalam organisasi akan diperluas untuk menyediakan peluang kepada pekerja menjadi usahawan.

Modul latihan akan merangkumi kemahiran seperti pemikiran analitik, kecerdasan emosi, penaakulan, penyelesaian masalah, pengaruh sosial dan keaslian untuk membantu usahawan menjalankan perniagaan.

Dalam pada itu, akses kepada latihan keusahawanan dan pembiayaan mikro akan diperluas untuk meningkat dan mempelbagai sumber pendapatan isi rumah miskin bandar.

Aktiviti berasaskan komuniti dalam menghasilkan barangan dan perkhidmatan seperti pertanian bandar, perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dan perniagaan makanan dari rumah juga akan digalakkan untuk menjana pendapatan tambahan.

Selain itu, golongan miskin bandar akan didedahkan dengan peluang pekerjaan ‘ekonomi gig’ yang kini dilihat dapat membantu golongan muda, suri rumah, pesara, golongan kurang upaya dan mereka yang sudah bekerja menambah pendapatan mereka.

Golongan miskin bandar akan didedahkan dengan peluang pekerjaan ‘ekonomi gig’ untuk menjana pendapatan mereka

Banyak lagi langkah-langkah yang akan dilaksanakan oleh kerajaan dalam tempoh RMK-12 untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerja kepada rakyat tempatan.

Misalnya membangunkan Industri Sukan sebagai sumber pertumbuhan baharu untuk membantu pembangunan sosioekonomi rakyat dengan menambah baik ekosistem industri sukan dan membangunkan segmen pelancongan sukan.

Langkah ini akan menyediakan persekitaran yang kondusif kepada industri untuk berkembang, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan serta mempromosi Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelancongan sukan.

Kerajaan juga akan memaksimumkan potensi Industri Kreatif untuk mempercepat pertumbuhan industri kreatif termasuk membangunkan ekosistem yang menyeluruh, meningkatkan kemahiran bakat untuk memenuhi keperluan industri serta memperkukuh pembangunan dan promosi produk.

Industri kreatif: Lukisan mural mengenai Kuching Waterfront Jazz Festival (KWJF) yang dilukis di bahagian tepi dinding Astana Wing, Hotel Riverside Majestic

Kreativiti rakyat Malaysia dan perkembangan teknologi digital akan dimanfaatkan untuk memaksimumkan potensi industri kreatif selain memelihara budaya seni dan warisan negara yang tidak ternilai.

Penambahbaikan pemboleh daya pertumbuhan ini akan meningkatkan pendapatan dan peluang pekerjaan serta menyokong pengukuhan identiti kebudayaan tempatan yang unik.

Melihat secara keseluruhannya, Malaysia perlu merancakkan pertumbuhan industri utama bagi merealisasikan sepenuhnya potensi untuk bersaing di peringkat global kerana intervensi strategi dalam industri berimpak tinggi ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang berkualiti tinggi.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article