Fokus utama Bajet 2020 ialah untuk terus melindungi dan memulihkan kehidupan serta mata pencarian rakyat termasuk perniagaan serta membina semula daya tahan negara dan memangkin pembaharuan pasca pandemik.
Bagi memastikan sektor komoditi terus memberi sumbangan terhadap ekonomi negara, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.5 bilion untuk memperkasa pembangunan masyarakat luar bandar melalui program pembangunan komoditi pada tahun depan.
Menurut Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, daripada jumlah tersebut, RM1.3 bilion disalurkan kepada FELDA bagi tujuan pakej pemulihan dan pembangunan peneroka, RM495 juta untuk manfaat peserta FELCRA dan RM699 juta untuk kemajuan pekebun kecil bagi perusahaan getah di bawah RISDA.
Turut dilaksanakan ialah Program Transformasi Perusahaan Getah Negara yang bertujuan untuk menyatukan pekebun kecil, usahawan getah dan koperasi kecil dalam satu konsortium yang lebih besar supaya mampu meningkatkan pemprosesan getah krip.
Bajet 2022 turut memberi perhatian kepada pekebun-pekebun kecil yang tergolong dalam kategori B40 juga diberi perhatian.
Untuk meningkatkan taraf sosioekonomi golongan tersebut, kerajaan akan memperkenal dan memperluas penggunaan teknologi RRIM Hydrobest kepada pekebun kecil melalui geran padanan.
Kerajaan juga bersetuju untuk meneruskan Bantuan Musim Tengkujuh bertujuan membantu meringankan beban sara hidup seramai 320,000 pekebun kecil yang kehilangan pendapatan semasa musim tengkujuh menerusi peruntukan di bawah RM190 juta.
Bagi menyokong industri kelapa sawit, sebanyak RM35 diperuntukkan untuk kerajaan melaksanakan Skim Rangsangan Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil dan RM20 juta untuk usaha menangani kempen anti kelapa sawit di peringkat antarabangsa.
Untuk tahun depan juga, kerajaan bersetuju menaikkan nilai ambang kenaan levi keuntungan luar biasa kelapa sawit daripada RM2,500 kepada RM3,000 bagi Semenanjung Malaysia dan daripada RM3,000 kepada RM3,500 bagi Sabah dan Sarawak.
Kadar levi Sabah dan Sarawak juga diselaraskan kepada tiga (3) peratus, iaitu sama seperti kadar levi di Semenanjung.
Sebagai usaha meningkatkan jaminan dan keselamatan makanan serta menjana pendapatan lebih tinggi dan menarik lebih ramai generasi muda agropreneur, kerajaan akan terus memacu pemodenan sektor pertanian.
Bagi mencapai usaha tersebut, sebanyak RM1.7 bilion diperuntukkan bagi meneruskan pemberian subsidi dan insentif untuk industri pertanian dan perikanan.
Daripada jumlah tersebut, RM1.5 bilion diperuntukkan untuk pemberian subsidi benih, baja, harga dan pengeluaran padi termasuk subsidi baja padi huma sebanyak RM40 juta.
Insentif hasil tangkapan nelayan juga turut disediakan dengan jumlah sebanyak RM150 juta.
Beberapa inisiatif bagi meningkatkan jaminan bekalan makanan di bawah peruntukan berjumlah RM120 juta turut akan dilaksanakan pada tahun depan.
Yang pertama, melaksanakan pelbagai projek Jaminan Bekalan Makanan yang melibatkan beberapa negeri termasuk Pembangunan Industri Akuakultur dan Estet Kerang-kerangan di Johor.
Kedua, menjalankan Program Pemantapan Jaminan Bekalan Makanan Negara bagi menyediakan kemudahan logistik dan pusat penyimpanan stok bekalan makanan dan hasil pertanian segar berteknologi tinggi untuk petani dan pengusaha agromakanan.
Ketiga, Program Bantuan Insentif Makanan Ternakan Ruminan melalui Skim Harga Bersubsidi Dedak Isi Rong Sawit bagi membolehkan penternak kecil ruminan mendapatkan bekalan makanan ternakan dengan harga lebih murah selaras dengan konsep ekonomi kitaran.
Keempat, Program Galakan Usahawan Tekno PKS bagi meningkatkan hasil pengeluaran tanaman dan pemprosesan makanan melalui aplikasi teknologi untuk manfaat 140 usahawan tani serta program.
Selain itu, kerajaan mencadangkan supaya tanah milik Kerajaan Persekutuan dan tanah Rizab Melayu yang terbiar dan tidak dibangunkan disewakan untuk menjalankan projek pertanian atau perniagaan bagi memastikan tanah-tanah tersebut diurus secara optimum dan teratur.
Usaha berkenaan adalah sebagai usaha untuk meningkatkan kawasan pertanian dan memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah serta belia termasuk graduan menjana pendapatan.
Sebagai pelengkap, program pembiayaan sehingga RM1.25 bilion akan disediakan oleh Agrobank dan BNM melalui antaranya AgroFood Facility berjumlah RM500 juta dan Dana Pembiayaan Agromakanan oleh AgroBank berjumlah RM200 juta.