- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Program ‘Nyengok Kabar’ PPNS

Must read

Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (PPNS) telah berkolaborasi dengan Bank Islam Malaysia Berhad menjalankan Program ‘Nyengok Khabar’ yang bertempat di Asajaya, Simunjan pada 23 hingga 24 Disember 2021.

Program yang turut melibatkan kerjasama daripada Pejabat Daerah Asajaya dan Pejabat Daerah Simunjan itu adalah bersempena dengan Sambutan Penubuhan 50 Tahun Jubli Emas Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) JPM.

YBhg. Dato’ Hasnul bin Mohamed menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima di Asajaya

Nyengok Kabar merupakan dialek bahasa tempatan Melayu Sarawak yang membawa maksud melawat, menziarahi atau menyantuni manakala kabar bermaksud bertanya khabar atau berita.

Program Nyengok Kabar ini berkonsepkan turun padang atau Corporate Social Responsibility (CSR) yang menjadi medium pengantara bagi PPNS mendekati dan menyantuni golongan yang lebih memerlukan.

YBhg. Dato’ Hasnul bin Mohamed menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima di Asajaya

Ia adalah kesinambungan daripada Program Jungat Gih yang telah diadakan pada 22 hingga 23 November 2021 di Matu, Daro dan Sibu serta Program I Care For You yang telah diadakan sepanjang tahun 2021.

Program Nyengok Kabar merupakan inisiatif yang mendukung kepada konsep Keluarga Malaysia seperti yang diilhamkan oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Idea Keluarga Malaysia bukanlah retorik atau slogan semata-mata, tetapi ia merupakan semangat yang perlu diterapkan kerajaan dalam pentadbiran negara, di mana kepentingan dan kesejahteraan rakyat dipelihara seperti menjaga sebuah keluarga dalam pentadbiran kerajaan pada hari ini.

Keluarga Malaysia seperti golongan B40 dan M40 yang terkesan akibat pandemik Covid-19 akan terus diberi fokus dan keutamaan dalam mendapat manfaat bantuan-bantuan kerajaan.

Konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang bersifat inklusif merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum serta mengajak semua rakyat di negara ini bersama-sama sebagai sebuah keluarga yang utuh.

Mengambil pendekatan ini, Nyengok Kabar menyelami serta mendekati mereka yang memerlukan, agar denyut nadi mereka dirasai dan tidak bersendirian dalam mengharungi segala kesukaran meneruskan kelangsungan hidup.

Program Nyengok Kabar yang telah diadakan di sekitar Daerah Asajaya dan Simunjan telah menyasarkan ahli Keluarga eKasih terutamanya bagi yang memerlukan keperluan khas kesihatan disebabkan kurang upaya atau menghadapi masalah kesihatan.

Antara sumbangan yang diberikan kepada individu-individu terpilih menerusi Program Nyengok Kabar

Usaha kecil ini diyakini sekurang-kurangnya dapat memberi keselesaan kepada Keluarga eKasih yang terlibat.

Antara matlamat lain program ini ialah untuk memastikan Keluarga eKasih yang telah dibanci atau diversifikasi dibantu dengan kadar segera melalui usaha dan kerjasama dengan pihak ketiga sementara menunggu bantuan yang lebih menyeluruh daripada pihak bertanggungjawab.

Selain itu, ia adalah untuk melaksanakan tanggungjawab CSR secara bersama dengan Badan Korporat, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan lain-lain agensi dalam usaha untuk memastikan setiap keluarga eKasih yang menghadapi masalah dapat dibantu dengan sewajarnya.

Kerjasama ini merupakan salah satu usaha untuk memastikan nilai dan ciri-ciri Keluarga Malaysia yang meliputi keterangkuman (inclusivity), kebersamaan (common ground) dan kesyukuran (contentment) sentiasa menjadi asas kepada pelaksanaan sesuatu program kemasyarakatan.

Melalui program ini, ia diharap akan dapat meringankan serba sedikit beban yang dihadapi oleh Keluarga eKasih yang terpilih.

Sehubungan itu, pemilihan penerima bantuan adalah berdasarkan maklumat yang diperolehi melalui Sistem e-kasih manakala proses verifikasi untuk mendapatkan senarai keperluan adalah daripada kakitangan pembanci yang ditempatkan di Pejabat Daerah.

Pihak PPNS merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak Bank Islam Malaysia Berhad yang sentiasa berganding bahu dan berkolaborasi melalui  pemberian sumbangan kewangan bagi membeli barangan dan keperluan kesihatan yang diperlukan oleh ahli Keluarga eKasih yang terlibat.

Peta lokasi program ‘Nyengok Kabar’
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article