Penjawat awam diseru supaya bertindak sebagai tulang belakang kepada Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak.
Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menegaskan, semua pihak termasuk agensi Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (PANS), rakyat, proses dan teknologi perlu bersatu hati dan bersatu minda untuk tampil sebagai keseluruhan pendekatan kerajaan dan mewujudkan ekosistem penyampaian perkhidmatan yang dapat memberi jaminan bahawa wawasan 2030 menerusi pelan tersebut dapat direalisasikan.
Jelas beliau, perkhidmatan awam negeri dan persekutuan di Sarawak memainkan peranan penting dalam menyediakan penyelesaian untuk menangani keadaan baru muncul dan membantu memastikan kesejahteraan, sosial dan ekonomi negeri terus bergerak ke hadapan.
Ketua Menteri menambah, pelbagai inisiatif strategik di bawah lembayung PCDS 2030 telah dilaksanakan oleh kerajaan demi memacu Sarawak menjadi sebuah negeri berpendapatan tinggi.
Sebagai bukti, sejumlah RM4.083 bilion atau 64 peratus daripada jumlah perbelanjaan pembangunan dalam Bajet Negeri 2022 diperuntukkan bagi melaksanakan projek infrastruktur dan utiliti di luar bandar dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi luar bandar.
Beliau memaklumkan perkara tersebut ketika berucap merasmikan sambutan Hari Perkhidmatan Awam 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching BCCK pada 25 Januari 2022.
Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Negeri YB Datuk Amar Jaul Samion dan Setiausaha Persekutuan Sarawak YBhg Dato’ Amir bin Omar.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan keyakinan bahawa berdasarkan ilmu dan pengalaman, perkhidmatan awam negeri telah mencapai tahap kompetensi dan kematangan untuk membentuk Sarawak menuju wawasan PCDS 2030 bagi tempoh sembilan (9) tahun akan datang.
Sejak 2017, jentera perkhidmatan awam negeri di bawah kepimpinan YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari telah melaksanakan tidak kurang daripada 110 inisiatif yang merentasi pelbagai sektor merangkumi pertanian moden, penerokaan ekonomi hidrogen, penubuhan perkampungan digital, peningkatan liputan jalur lebar selain menambah baik penyampaian perkhidmatan serta menaik taraf kemudahan sekolah, membina jambatan dan jalan raya dan sebagainya.
Malah, perkhidmatan awam bersama-sama kepimpinan negeri menjangkakan lebih banyak lagi penemuan, inovasi dan pencapaian yang berada di hadapan.
Di bawah PCDS 2030, sektor-sektor yang diberi penekanan meliputi sektor pertanian komersial berteraskan teknologi, pembuatan, perkhidmatan sosial, perhutanan, perlombongan, pelancongan, tenaga diperbaharui dan disokong oleh pembangunan sumber manusia, transformasi digital, pembangunan infrastruktur asas dan utiliti serta inovasi.
Melalui pelan strategik tersebut, Kerajaan Sarawak mempunyai hala tuju yang jelas untuk memastikan semua rakyat Sarawak dapat mengecapi nikmat pembangunan secara saksama.
Oleh yang demikian, strategi yang digariskan di bawah PCDS 2030 bertujuan untuk meningkatkan pendapatan rakyat melalui pelbagai inisiatif supaya jurang kemiskinan di bandar dan di luar bandar dapat dikurangkan.
Melalui PCDS 2030 juga, Kerajaan Sarawak yakin bahawa negeri ini mampu mengembangkan ekonomi pada purata enam (6) ke lapan (8) peratus setahun.
Menurut Ketua Menteri, aspirasi tersebut tidak mustahil untuk dicapai sekiranya jentera pentadbiran dan pembangunan negeri bekerjasama untuk memastikan semua perancangan dan pelaksanaan program pembangunan, khususnya pembangunan infrastruktur dilaksanakan dengan cekap.
Pada majlis tersebut, Ketua Menteri turut melancarkan Integrated Service Management (ISM) serta menyampaikan Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (AKPANS) kepada beberapa buah agensi dan individu.
Antara kategori anugerah adalah Anugerah High Performance Team 2021, Anugerah Key Focus Activities 2020 dan 2021, Anugerah Kecemerlangan Penguatkuasaan 2020 dan 2021 dan Anugerah Pegawai Contoh Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan Sarawak Tahun 2020.