Penciptaan Aplikasi Jejak Asnaf 3.0 merupakan inisiatif yang diambil oleh Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) untuk memastikan tiada golongan asnaf tercicir daripada menerima bantuan sewajarnya.
Menurut Pengurus Besar TBS, YBhg Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie yang ditemu ramah RAKAN Sarawak baru-baru ini, aplikasi yang mula digunakan pada 15 Februari 2021 merupakan penambahbaikan dan pembaharuan yang lebih menyeluruh untuk versi 1.0 dan versi 2.0.
Ciri-ciri istimewa Jejak Asnaf 3.0 ini antaranya ialah, ia melibatkan masyarakat umum dalam membantu pihak TBS melakukan siasatan awal terhadap asnaf yang telah dikenal pasti dengan menjawab soalan-soalan yang telah disediakan serta mendapat kemaskini keputusan awal kelayakan asnaf.
Selain itu, Jejak Asnaf 3.0 juga mempunyai status draf bagi permohonan yang masih belum lengkap diisi untuk kemudahan atau rujukan rakan Baitulmal.
Biasanya, masyarakat umum memperoleh maklumat-maklumat tentang golongan asnaf melalui media sosial seperti Facebook (FB), Whatsapp, Instagram (IG) dan sebagainya.
Kelebihan aplikasi Jejak Asnaf 3.0 ialah, ia dapat memberi maklum balas kepada TBS serta mengesahkan sama ada golongan asnaf itu telah berdaftar di TBS atau sebaliknya.
Biasanya untuk bantuan orang luar, pihak ketiga akan mengisi terlebih dahulu maklumat-maklumat penting berdasarkan 19 soalan yang dikemukakan di dalam aplikasi tersebut.
Selepas itu, pegawai yang bertanggungjawab akan menyemak maklumat yang disalurkan oleh orang awam untuk mengenal pasti sama ada individu tersebut layak disantun semula (turun padang) untuk melihat sama ada ia memerlukan bantuan lain selain daripada bantuan sara hidup.
Sekiranya individu tersebut layak menerima bantuan lain, pihak TBS akan memproses permohonan di ibu pejabat selepas siasatan dibuat.
Baru-baru ini, RAKAN Sarawak berpeluang menyertai pegawai-pegawai TBS mengadakan aktiviti turun padang bagi menjejaki asnaf yang telah dikenal pasti melalui Aplikasi Jejak Asnaf 3.0.
Salah seorang daripada asnaf yang telah dilawat ialah Encik Razali bin Ali, 72 tahun dari kampung Tabuan Lot yang menderita penyakit ahmar (stroke) separuh badan dan rosak buah pinggang, hanya menggunakan kerusi roda sepanjang masa.
Beliau telah kematian isteri dan kini tinggal bersama dengan anak lelaki dan menantu serta dua orang cucu beliau.
Hasil siasatan, didapati tiga jenis bantuan yang sangat diperlukan oleh Encik Razali iaitu Bantuan Sara Hidup (RM250 sebulan); katil (medical bed) berharga RM2 ribu ke atas; dan rawatan perubatan seperti pampers (RM600) dan susu khas (RM600) dalam tempoh setahun.
Menurut TBS, Bantuan Sara hidup adalah bantuan bulanan yang biasanya diberi tiga bulan sekali dan ia adalah bergantung kepada ahli keluarga dan keperluannya (maksimum RM1, 000 sebulan).
Penggunaan aplikasi Jejak Asnaf 3.0 ini adalah sangat mudah di mana pengguna hanya perlu mengesan potensi asnaf yang mempunyai ciri-ciri kelayakan untuk menerima bantuan TBS.
Selepas memuat turun aplikasi Jejak Asnaf 3.0, pengguna perlu mendaftar terlebih dahulu, kemudian untuk tujuan pelaporan, pengguna hanya perlu ‘klik’ pada butang ‘gambar’ melalui kamera telefon bimbit.
Setelah itu, barulah pengguna membuat catatan ringkas berhubung maklumat asas seperti nama, alamat, nombor telefon untuk dihubungi dan nombor kad pengenalan sebelum ‘klik’ butang ‘hantar’ untuk melapor menerusi aplikasi Jejak Asnaf 3.0 tersebut.
Pengguna akan dimaklumkan berhubung dengan status semasa pelaporan potensi asnaf yang telah dibuat.
Aplikasi Jejak Asnaf 3.0 boleh dimuat turun melalui Google Playstore bagi kegunaan telefon pintar Android dan Versi iOS utk telefon iPhone.