- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

CPPC Selesaikan Kekangan Yang Dihadapi Petani di Limbang

Must read

Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah telah memberi fokus kepada pemasaran hasil tanaman petani dengan membina beberapa Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) antaranya ialah di Bahagian Limbang.

Projek CPPC di Limbang ini sangat penting kerana antara kekangan utama yang dihadapi oleh para petani di bahagian ini adalah dari aspek pemasaran lambakan hasil pertanian sehingga menyebabkan mereka sukar mengembangkan projek pertanian dalam skala besar.

Petani-petani di Limbang juga kebanyakannya masih mengamalkan pertanian sara diri bahkan mereka kurang pengetahuan tentang amalan pertanian moden.

CPPC adalah pusat pengumpulan yang lengkap dengan infrastruktur dan teknologi moden untuk menjalankan aktiviti pemprosesan hiliran dan pembungkusan bagi menghasilkan produk menepati piawaian pasaran terutama pasaran eksport.

Difahamkan, CPPC ini akan dioperasi oleh syarikat swasta yang mempunyai pengalaman dan akses pasaran sedia ada, sudah pasti akan memberi impak besar kepada petani terutama dalam menjana pendapatan serta menjadikan mereka lebih berdaya saing dalam pengeluaran hasil pertanian.

Melalui konsep ini, CPPC akan menjalankan aktiviti pengumpulan pembelian hasil tani di dalam kawasan setempat yang menepati jenis tanaman spesifikasi dan jumlah yang dipersetujui.

Ini selari dengan hala tuju kerajaan negeri untuk merancang aktiviti pengeluaran pertanian yang berasaskan pasaran.

Menurut Penolong Pegawai Pertanian (AAO) Encik Christopher Dawat Nur, projek CPPC ini secara tidak langsung akan dapat mempromosikan Daerah Limbang sebagai salah satu daerah yang berpotensi dalam mengeluar hasil pertanian.

Penolong Pegawai Pertanian (AAO) Encik Christopher Dawat Nur

Beliau berkata demikian semasa memberikan taklimat ringkas kepada RAKAN Sarawak yang telah mengadakan lawatan ke Jabatan Pertanian Daerah Limbang baru-baru ini.

Menurut beliau, projek CPPC Limbang yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Wilayah Utara dengan kos yang dianggarkan berjumlah RM4,465,183 telah bermula pada 30 Ogos 2019 dan dijangka siap pada Mei 2022.

Projek Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) Limbang yang telah bermula pada 30 Ogos 2019 dijangka siap pada Mei 2022
Keadaan dalam bangunan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) Limbang

CPPC Limbang yang berperanan sebagai pusat pengumpulan hasil pertanian terpilih di daerah Limbang adalah antara CPPC yang terawal dibina di Sarawak selain CPPC Tarat, CPPC Lawas dan CPPC Betong.

Antara objektif pembinaan CPPC ini ialah, kerajaan mahu menggalakkan petani-petani lebih berdaya saing dalam meningkatkan kualiti dan pengeluaran hasil tanaman mereka selain mengatasi masalah lambakan hasil pertanian di Daerah Limbang.

Antara lainnya ialah, kerajaan mahu mencapai hasrat menjadikan Sarawak sebagai pengeksport bersih makanan menjelang 2030 dan meningkatkan pendapatan isi rumah keluarga tani kepada RM6,000 sebulan.

Jabatan Pertanian akan membantu para petani dengan cara menyediakan skim atau projek pertanian termasuk membekalkan bahan tanaman serta input berkualiti.

Para petani menjual hasil tani mereka di pasar tamu

Selain memastikan petani-petani berpengetahuan serta menerapkan kaedah pertanian moden dalam aktiviti pertanian yang diusahakan, Jabatan Pertanian juga akan menyediakan kemudahan infrastruktur ladang kepada petani bagi memudahkan mereka membawa hasil pertanian ke CPPC.

Para petani menjual hasil tani mereka di pasar tamu

Jabatan Pertanian juga akan sentiasa memastikan bekalan hasil pertanian berterusan dan mencukupi bagi menampung keperluan CPPC dan menyediakan kemudahan infrastruktur kepada Syarikat PICO seperti bangunan, elektrik, jalan, bekalan air terawat dan mesin.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article