- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Projek RTP Memudahkan Urusan Penduduk Luar Bandar

Must read

Projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang diperkenalkan pada 2015 bertujuan untuk merapatkan jurang perbezaan pembangunan di antara kawasan bandar dengan luar bandar di seluruh Sarawak.

Biarpun dilaksanakan dalam tempoh yang singkat dengan jumlah peruntukan yang tidak sebesar projek mega, namun impak pelaksanaan projek RTP telah memberi manfaat dan amat berharga bagi masyarakat luar bandar.

Projek-projek seperti pembinaan jalan raya, jambatan, jeti, naik taraf dan bina baharu rumah ibadat, dewan serba guna, gelanggang sukan dan sebagainya merupakan antara projek pembangunan di bawah RTP yang memberi impak terhadap sosioekonomi dan peningkatan kualiti hidup penduduk luar bandar.

Demikian dirasai penduduk Rumah Panjang Anne di Nanga Poi, Kanowit apabila projek RTP bina baharu jalan yang menghubungkan kawasan kediaman mereka dengan jalan raya utama (Jalan Kanowit-Song-Kapit) telah siap dilaksanakan sejak Mei 2021.

Baru-baru ini, RAKAN Sarawak telah dibawa oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sibu yang diketuai oleh Jurutera Bahagian, Encik John Wong Toh Koo bersama beberapa orang pegawai bagi meninjau serta mendapatkan pandangan penduduk mengenai perkembangan projek berkenaan.

Tinjauan kami mendapati laluan jalan yang berbukit hanya sesuai untuk dilalui kenderaan pacuan empat roda dan motosikal.

Menurut Penghulu Ugak anak Sigai, biarpun begitu, kemudahan jalan tersebut sangat diperlukan dan kini dinikmati oleh penduduk dalam menjalani kehidupan seharian.

Penghulu Ugak anak Sigai

Beliau turut berpendapat, perjalanan lebih selamat berbanding dengan perjalanan mengharungi sungai.

“Sebelum wujudnya jalan ini, kami menggunakan perahu kecil persendirian melalui Sungai Poi untuk ke pekan Kanowit yang mengambil masa selama satu jam,” jelas beliau menceritakan keadaan sebelum wujudnya jalan berkenaan.

Rumah Panjang Anne merupakan salah satu daripada tiga buah rumah panjang di Nanga Poi yang sudah disediakan dengan kemudahan jalan di bawah projek RTP

Tambah Penghulu Ugak, kebanyakan penduduk di kawasan Nanga Poi yang turut menempatkan dua buah lagi rumah panjang, iaitu Rumah Panjang Segado dan Rumah Panjang Penat bekerja sendiri seperti berniaga, menangkap ikan dan berkebun sara diri.

Urusan untuk menjual hasil tanaman dan membeli barangan keperluan di pekan Kanowit kini menjadi lebih mudah.

“Sekarang, kami mudah untuk berulang alik ke pekan Kanowit untuk membeli barangan keperluan dan perjalanan pun hanya mengambil masa setengah jam,” kata beliau.

Tuai Rumah Anne anak Melaka yang merupakan isteri kepada Penghulu Ugak berpandangan, jalan tersebut memudahkan urusan penduduk dalam hal-hal kecemasan seperti mendapatkan rawatan dan menghantar pesakit ke hospital.

Tuai Rumah Anne anak Melaka

“Jalan ini memudahkan urusan penduduk untuk menghantar pesakit ke hospital.”

“Dulu kami sukar untuk menghantar pesakit ke hospital dengan segera disebabkan perjalanan melalui sungai mengambil masa yang lama,” ujar beliau.

Menurut beliau, sebelum ini, penduduk yang tidak mempunyai bot sendiri juga sukar mendapatkan perkhidmatan perahu jika ingin berurusan di luar. Perjalanan penduduk kini tambah beliau juga lebih selamat.

Projek bina baharu jalan Rumah Panjang Anne, Nanga Poi kendalian JKR Bahagian Sibu mula dijalankan pada September 2019 dan siap pada Mei 2021 selepas dijadualkan semula berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal pandemik COVID-19.

Skop projek yang berjumlah hampir RM1 juta merangkumi kerja-kerja meratakan cerun bukit, jalan batu dan turapan simen sebagai skop kerja akhir.

Penyediaan kemudahan jalan ke Rumah Panjang Anne, Nanga Poi turut membuka ruang kepada kemudahan bekalan elektrik kepada penduduk

Penyediaan jalan tersebut juga telah membuka ruang kepada kemudahan lain seperti bekalan elektrik ke kediaman penduduk di kawasan Nanga Poi seramai lebih 500 orang.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article