Inisiatif Perbendaharaan Malaysia Sarawak (PMS) dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Sri Aman, Pejabat Daerah Sri Aman dan Pejabat Daerah Kecil Lingga mengadakan Program Perkhidmatan Komuniti Bergerak atau Mobile CS di Dataran Terubok Lingga pada 12 hingga 13 Mac 2022 dilihat bertepatan dalam usaha menjangkau perkhidmatan agensi kerajaan ke kawasan luar bandar.
Daerah Kecil Lingga merupakan lokasi pertama bagi tahun 2022 sejak kali terakhir Perbendaharaan Malaysia Sarawak mengadakan Program Komuniti Bergerak di Pusa pada penghujung tahun 2019.
Pegawai Kewangan Persekutuan, Perbendaharaan Malaysia Sarawak, Encik Leonard Wilfred Yussin ketika ditemu bual RAKAN Sarawak baru-baru ini berkata program ini menyediakan perkhidmatan utama mengikut keperluan tempatan serentak di satu lokasi yang dikenal pasti seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pejabat Daerah (e-Kasih), MySalam dan sebagainya.
Jelas beliau, ia merupakan salah satu inisiatif Kementerian Kewangan Malaysia bertujuan memberikan perkhidmatan-perkhidmatan utama yang diperlukan kepada penduduk luar bandar atau komuniti pedalaman.
Lingga dipilih jelas beliau kerana faktor lokasinya yang jauh daripada bandar Kuching dengan mengambil masa perjalanan melebihi dua (2) jam, kekangan penduduk dari segi pengangkutan menyebabkan kurang capaian terhadap perkhidmatan-perkhidmatan yang hanya disediakan di bandar-bandar utama
Menurut Encik Leonard, walaupun jumlah agensi kerajaan yang terlibat kali ini agak kurang iaitu 22 agensi tidak sebanyak 40 agensi sebelum ini (akibat pandemik) namun suasana sambutan begitu meriah dengan kawalan Prosedur Operasi yang ketat
Kali terakhir program yang serupa telah diadakan pada tahun 2019 di Pusa dan Sebuyau manakala tahun ini (2022), pihaknya menyasarkan untuk turut melaksanakan program serupa di Selangau dan Long Lama
Rata-rata pengunjung yang ditemui melahirkan rasa bersyukur kerana program ini diadakan dekat dengan kampung mereka.
Antaranya Rosni Binti Jaya dari Kampung Upik Baharu, Lingga yang mengambil kesempatan program tersebut untuk memperbaharui lesen motosikal.
Rosni yang mendapat tahu tentang program ini melalui Kumpulan Whatapp “Jual Beli Lingga” tersebut berkata program tersebut begitu menyenangkan dan memberikan kemudahan ke penduduk berhampiran.
Dia berkata kebiasaannya sebelum ini, penduduk akan menggunakan kenderaan untuk ke Sri Aman, ada yang menumpang kenderaan seperti van yang akan mengenakan bayaran RM20, pergi dan balik.
Begitu juga, dengan Sajeli bin Ramli dari Kampung Melayu Bakong, Lingga yang sempat ditemu bual RAKAN Sarawak, berkata program ini amat memudahkan terutama tidak perlu bersesak dengan ramai orang dengan perkhidmatan yang cukup pantas.
Jelas Sajeli dia tidak perlu turun ke Sri Aman sejauh 50 km untuk mendapatkan perkhidmatan sebaliknya jarak singkat antara Lingga ke kampung hanya sejauh 20 km. Perkhidmatan ini jelasnya cukup baik untuk masyarakat di luar bandar. Malah kadar respons terutamanya perkhidmatan menukar sijil kelahiran lama kepada sijil kelahiran baharu hanya mengambil masa kurang dari 10 minit.
Perkhidmatan Komuniti Bergerak merangkumi 4 komponen utama iaitu:
- Menyediakan perkhidmatan utama kerajaan (melibatkan asas pertanian, kesihatan dan kerjaya)
- Menyediakan peluang keusahawanan kepada penduduk tempatan ketika program berlangsung (pendaftaran syarikat, dan gerai jualan)
- Menyediakan platform untuk membolehkan bantuan kerajaan disalurkan terus kepada kumpulan sasaran (kemudahan pinjaman, bantuan ibu tunggal dan warga emas)
- Memberi penerangan serta kesedaran kepada rakyat mengenai dasar, program dan aktiviti kerajaan melalui kementerian dan agensi kerajaan.
Antara agensi kerajaan yang terlibat dalam Perkhidmatan Komuniti Bergerak
- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
- Pertubuhan Keselamatan Sosial
- Pusat Giat MARA
- Majlis Amanah Raya (MARA)
- Jabatan Pendidikan
- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
- Jabatan Penerangan
- Ar Rahnu
- Bank Simpanan Nasional (BSN)
- Pejabat Daerah Sri Aman
- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
- Lembaga Tabung Haji
- Suruhanjaya Perkhidmatan Awam