Setiausaha Kerajaan Sarawak YB Datuk Amar Jaul Samion menyeru penduduk di Rh Nyuka terutama anak-anak muda untuk melengkapkan diri dengan kemahiran digital agar mereka tidak ketinggalan dalam ekonomi digital serta mengetahui polisi digital yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak.
Hal ini kerana, dalam masa satu hari, kadang kala ia tidak cukup untuk kita mengadakan urusan di pejabat-pejabat kerajaan, jelas beliau semasa menyampaikan ucapan di Program Randau #DigitalSarawak yang diadakan di di Rh Nyuka, Kampung Ulu Sarikei pada 29 Mac 2022.
Menurut beliau, program yang dianjurkan oleh Unit Pemodenan Perkhidmatan Negeri (UPPN), Jabatan Premier Sarawak itu adalah salah satu inisiatif keterangkuman digital oleh Kerajaan Sarawak dalam usaha mengurangkan jurang digital di kalangan komuniti setempat khasnya di luar bandar.
Tujuan program itu adalah untuk menerangkan perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak secara dalam talian yang boleh dicapai melalui www.sarawak.gov.my atau menerusi aplikasi telefon pintar dalam Sarawak Gov App.
Beliau difahamkan bahawa program Randau pada hari ini telah dimulai dengan taklimat mengenai ‘Sarawak ID’ dan Portal Kerajaan Negeri Sarawak yang telah disampaikan oleh Encik Bunyau dan Encik Mujap.
Berkenaan Sarawak ID, beliau menjelaskan kepada penghuni Rh Nyuka bahawa ia merupakan satu id pengenalan diri digital yang boleh digunakan untuk mengakses semua perkhidmatan dalam talian Kerajaan Negeri tidak mengira jabatan atau agensi yang menawarkan perkhidmatan tersebut.
Oleh sebab itu, beliau menggalakkan penduduk rumah panjang Rh Nyuka untuk mendaftar Id mereka agar dapat menggunakan apa-apa perkhidmatan Kerajaan Negeri secara dalam talian.
Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa satu akaun Sarawak ID ini hanya sah untuk satu pemegang kad pengenalan sahaja.
lanya juga didatangkan dengan ciri-ciri keselamatan agar para pengguna merasa yakin dan selamat apabila menggunakan perkhidmatan secara dalam talian, justeru beliau berharap agar semua yang hadir pada hari ini mengambil peluang untuk mendaftar Sarawak ID mereka.
Selain Sarawak ID, beliau turut menyentuh tentang inisiatif yang dilaksanakan oleh Pustaka Negeri iaitu program PANDei (People Accesible Network for Digital Empowerment and Inclusivity).
Program PANDei iaitu satu sesi untuk meningkatkan literasi digital dalam kalangan komuniti seperti mencari maklumat dalam talian, menggunakan e-mel atau aplikasi sembang (chats), melakukan urus niaga atau pembayaran elektronik secara dalam talian menggunakan perkhidmatan digital inisiatif kerajaan.
Selain Sarawak ID dan Program PANDei, perkongsian tentang perkhidmatan dan bantuan oleh jabatan dan agensi kerajaan juga amat berguna dan penting untuk diketahui oleh penduduk Rh Nyuka, jelas beliau.
Misalnya penerangan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat berkenaan bantuan Kenyalang Gold Card (KGC), bantuan ibu bersalin, bantuan ibu tunggal, bantuan untuk golongan kurang upaya dan sebagainya.
Program Randau kali ini telah menghimpunkan 12 kaunter yang menawarkan pelbagai perkhidmatan serta bantuan terdiri daripada pelbagai agensi Kerajaan dan swasta seperti;
Unit Perancang Ekonomi Sarawak, Jabatan Premier Sarawak mengenai Spay Global yang memudahkan pembayaran atas talian; Kementarian Perdagangan Antarabangsa lndustri dan Pelaburan (MINTRED) yang memberi Skim Mikro Kredit dan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 7.0 kepada Perniagaan Kecil dan Sederhana (SME);
Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak yang berkongsi maklumat tentang Mini Planetarium; Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (SPANS) yang memberi penerangan tentang eRecruitment (pengambilan pekerja) dan bantuan biasiswa iaitu eScholarship;
Majlis Adat Istiadat yang memberi penerangan mengenai perkahwinan adat; Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang memberi penerangan tentang perkhidmatan yang disediakan; Jabatan Pertanian Sarawak yang memberi penerangan bagi pendaftaran petani;
Jabatan Kebajikan Masyarakat yang memberi penerangan tentang bantuan-bantuan kebajikan yang disediakan; TEKUN yang menyediakan bantuan Kewangan untuk usahawan kecil; Amanah lkhtiar Malaysia yang menyediakan bantuan kewangan untuk usahawan; Bank Rakyat yang menyediakan Bantuan kewangan untuk usahawan kecil; Agro Bank menyediakan bantuan kewangan untuk usahawan kecil; Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memberi penerangan mengenai i-Suri, pendaftaran iakaun serta perkhidmatan konsultansi berkenaan dengan produkproduk dan perkhidmatan KWSP.
Sebelum mengakhiri ucapan beliau, dua pesan telah diberikan kepada semua penjawat awam iaitu yang pertama ialah agar mereka sentiasa mesra dalam memberi layanan kepada orang awam terutama mereka yang datang dari luar bandar.
Kedua ialah agar penjawat awam tidak menyusahkan orang awam apabila berurusan dengan mereka kerana bukan mudah untuk mereka datang ke pejabat kerajaan bagi menguruskan sesuatu perkara.