- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Pemeliharaan Adat Resam Penting Untuk Mengekalkan Identiti

Must read

Usaha pemeliharaan adat resam etnik Bidayuh adalah sangat penting dalam mengekalkan identiti komuniti Bidayuh.

Dengan cara itu, ia akan sentiasa mewujudkan ‘sense of belonging’ dalam kalangan Bidayuh itu sendiri kerana sekiranya kita tahu tentang adat resam kita, kita dapat rasakan ‘Kebidayuhan’ itu ada di dalam diri kita sehingga kita akan berasa bangga dengan identiti yang unik itu.

Dayak Bidayuh National Association (DBNA) yang telah ditubuhkan sejak tahun 1995 adalah salah satu badan bukan kerajaan yang membantu mempromosi dan berusaha mengekalkan identiti Bidayuh.

Sehubungan itu, Seksyen Penyelidikan Etnik Bidayuh, Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) juga sentiasa komited menjalankan peranan utama mereka iaitu bertindak sebagai autoriti kepada adat-adat peribumi Sarawak.

Rumah panjang tradisional kaum Bidayuh

Salah satunya ialah melalui penggazetan ‘Buku Adat’ yang mengandungi undang-undang adat peribumi Sarawak.

Sedikit penjelasan mengenai adat resam komuniti tradisional Bidayuh suatu masa dahulu di mana mereka percaya tentang kewujudan roh yang membawa malapetaka atau malang.

Cara untuk mengelakkan roh-roh tersebut marah, mereka kena akur dan mematuhi segala peraturan atau dalam Bahasa Bidayuh yang disebut ‘porih’.

Meskipun begitu, terdapat juga roh yang baik yang mana komuniti sering memohon agar roh-roh nenek moyang ini membantu mereka, contohnya dalam perihal penanaman padi agar padi tumbuh dengan baik sehingga tiba masanya untuk menuai.

Kebiasaannya, pada zaman dahulu, upacara adat dan ritual yang berkaitan dijalankan di ‘baruk’ lebih-lebih lagi apabila ia berkaitan dengan penanaman padi.

Hal ini juga bagi mengelakkan roh semangat padi daripada ‘marah’ sekiranya terdapat adat dan pantang larang dilanggar.

Dalam adat perkahwinan kaum Bidayuh menurut Patrick Rigep Nuep (2002) (m/s 55), had umur untuk berkahwin ialah 16 (perempuan) dan 18 (lelaki) dengan syarat, mereka harus mengenali antara satu sama lain selama 12 – 18 bulan.

Perkenalan semasa aktiviti ‘pingiris’ dan perayaan Gawia (Gawai); aktiviti ‘mowah’ atau ziarah iaitu si lelaki berkunjung ke rumah si perempuan pada waktu malam hanya dibenarkan setelah mendapat persetujuan daripada ayah perempuan.

Maasu (mawah) menziarahi seorang dara di rumahnya pada waktu malam dan berkenalan dengannya

‘Man stabi’ adalah upacara perkahwinan mengikut tradisi kaum Bidayuh.

Menurut Robert Sulis Ridu dan Jonas Noeb (2004) (m/s 4), sekiranya pasangan yang mahu berkahwin adalah dalam lingkungan atau tahap larangan oleh adat, mereka perlu melakukan upacara ‘gawai labah’ iaitu upacara ritual membolehkan dua pasangan yang ditegah perhubungan berkahwin untuk menjauhkan jarak perhubungan mereka.

Pengantin perempuan bersama-sama ibu bapa dan saudara maranya berarak ke rumah pengantin lelaki, diiringi orkestra gong, bidumbuk
Tua Gawai ‘mipis’ (menyapu) pasangan pengantin dengan seekor ayam jantan di atas kepala mereka sambil membaca doa

Mereka juga perlu melakukan upacara menyemah iaitu ‘sikadud’ (pemberian ritual yang disediakan serta merta oleh pesalah kepada orang yang dianiaya untuk mengelakkan kuasa jahat atau malapetaka menimpa) untuk menyucikan dan menyejukkan alam sekitar atau mengimbangi keadaan asal.

Berhubung adat kematian pula, menurut Patrick Rogep Nueo (2002) (m/s 87), secara tradisionalnya, upacara pembakaran mayat dulu kala sering dijalankan di kampung Bumbok, Semoga, Sudat dan Tematu, namun masyarakat Biatah, Bukar dan Sadong lebih kepada menguburkan mayat si mati.

Seseorang yang menjalankan upacara membakar mayat dipanggil ‘pininuh’, samada beliau secara sukarela atau dilantik oleh orang kampung.

Kebiasaannya, tiada upah diberi kepada ‘pininuh’ ini, tetapi dalam kalangan komuniti Singai, selepas menuai, setiap keluarga dari lapan kampung akan menyumbangkan satu (1) gantang (timbangan yang bersamaan dengan 3 kg) padi, samada keluarga tersebut hadir atau tiidak ke upacara kematian.

Bermacam jenis kematian antaranya ‘kobos bodung’ iaitu upacara untuk bayi yang meninggal di dalam kandungan ibunya dan ‘kobos biasa’ yang merujuk kepada kematian untuk orang biasa.

Semasa upacara ‘kobos bodung’ ini, mayat bayi tidak dibakar sebaliknya ibu bapanya atau saudara rapat sendiri yang akan menjadi ‘pininuh’.

Mereka akan meletakkan mayat bayi di dalam ‘juah tayuo’ untuk dibawa ke tempat bernama ‘Ribu Raga’ bersebelahan dengan ‘tinungan’ iaitu kawasan membakar mayat, manakala bakul akan digantung di pokok dan dibiarkan mereput.

Menurut P. Aichner (1994) (m/s 223), dalam adat kematian tradisional Bidayuh (masyarakat Bidayuh masih mengamalkan upacara pembakaran mayat), jika seseorang meninggal hari ini, maka mayatnya akan dibakar pada keesokan harinya.

Sejurus selepas seseorang meninggal, ketua upacara akan membunuh seekor ayam atau seekor khinzir untuk dipersembahkan kepada roh semangat, tetapi selepas upacara selesai, ayam atau khinzir tersebut dibawa pulang untuk dijadikan masakan.

Keesokan harinya, ketua upacara akan membunuh seekor ayam atau seekor khinzir untuk dipersembahkan kepada roh semangat, kemudian selepas upacara selesai, ayam atau khinzir tersebut dibawa pulang untuk dijadikan masakan.

Keesokan harinya, ketua upacara pembakaran mayat akan datang mengambil mayat dari rumahnya untuk dibakar di tempat pembakaran.

Selepas selesai upacara pembakaran mayat, keluarga si mati akan berpantang iaitu 4 hari (dewasa) dan 2 hari (kanak-kanak).

Selepas tempoh berpantang habis, seekor ayam akan dibunuh untuk dijadikan persembahan (offering) kepada roh semangat sebaliknya jika keluarga itu adalah orang berada, mereka akan membunuh seekor khinzir dan seekor anjing.

‘Upacara Kata’ akan diadakan selepas 4 hari (dewasa) dan 2 hari (kanak-kanak) berpantang bertujuan untuk menghantar pulang roh semangat jahat yang dipercayai punca kepada kematian.

Jika bayi meninggal semasa usia belum mencecah 8 hari, tiada upacara dijalankan kerana percaya roh bayi berkenaan masih suci, jadi mayatnya diletak di dalam bakul dan digantung di pokok (menurut penulis: then, the birds will do the rest).

Seksen Penyelidikan Etnik Bidayuh bergerak secara aktif dalam memastikan maklumat tentang adat dan buku adat serta maklumat mengenai peranan MAIS disalurkan dengan tepat kepada masyarakat terutamanya golongan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum melalui bengkel atau seminar.

Melalui aktiviti tersebut juga, mereka dapat memahami secara mendalam tantang peranan mereka dalam mengawal tingkah laku penduduk kampung di bawah jagaannya.

MAIS juga menjalankan penyelidikan berterusan tentang perihal yang berkaitan adat dan budaya masyarakat peribumi Sarawak yang mana hasil dari penyelidikan ini akan diterbitkan untuk tujuan bacaan masyarakat umum.

Melalui fungsi yang dijalankan ini, MAIS berharap agar adat resam dan identiti peribumi Sarawak akan sentiasa terjaga dan tidak pupus serta hilang ditelan zaman.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article