- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Projek KIK Ababil dan Sarabom Percepat Pemulihan Hutan

Must read

Tempoh selang masa yang panjang untuk melengkapkan penanaman pokok bagi tujuan pemulihan hutan telah dikenal pasti sebagai masalah dan kelemahan yang perlu diperbaiki oleh Jabatan Hutan Sarawak.

Berdasarkan permasalahan tersebut, kumpulan FLARES (Forest Landscape Restoration Solutions) dari jabatan berkenaan tampil dengan inovasi ‘Ababil’ dan ‘Sarabom’ bagi menambah baik masa tindak balas untuk memulihkan hutan yang terdegradasi di Sarawak.

Kumpulan FLARES dari Jabatan Hutan Sarawak dianggotai oleh lapan orang ahli

Projek Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) berkenaan dihasilkan sebagai usaha mencapai sasaran penanaman 35 juta pokok di seluruh Sarawak selari dengan kempen penanaman 100 juta pokok di seluruh Malaysia menjelang tahun 2025.

Ababil merupakan dron yang mampu menabur bebola benih khas yang dinamakan sebagai Sarabom bagi menggantikan kaedah penanaman hutan konvensional yang sukar untuk dilakukan terutama di kawasan terpencil dan tidak dapat diakses oleh pekerja.

Sarabom merupakan campuran tanah dan bahan komposit yang menakung air hujan untuk membantu benih bercambah

Menerusi penanaman hutan konvensional, masa susul (lag time) untuk mengeluarkan anak pokok di tapak semaian mengambil masa maksimum enam bulan sebelum boleh ditanam di ladang dan selang masa yang agak lama diperlukan untuk melengkapkan proses penanaman pokok.

Purata masa yang dicatatkan untuk menanam pokok dalam kawasan satu hektar ialah enam hari dan memerlukan sekurang-kurangnya 15 orang tenaga kerja.

Penyediaan tapak penanaman kaedah konvensional juga mengambil masa selama 17 hari manakala penggunaan dron Ababil tidak memerlukan kerja penyediaan tapak tanaman.

Aktiviti uji cuba di lapangan projek KIK Ababil dan Sarabom

Projek inovatif tersebut memendekkan tempoh penanaman pokok daripada enam hari untuk satu hektar kepada hanya lapan jam untuk satu hektar selain mengurangkan kos sebanyak 91.6%, iaitu daripada USD9,187.50 (RM38,840.16) kepada USD770.00 (RM3,255.18).

Pada suku ketiga 2019, kumpulan FLARES telah menguji cuba tiga dron prototaip yang dinamakan Ababil 1, Ababil 2 dan Ababil 3.

Akhirnya, kumpulan tersebut memilih Ababil 2 sebagai pesawat penabur benih yang paling sesuai dan praktikal berdasarkan ciri-cirinya yang mempunyai rotor quadcopter pelbagai selain kebolehan untuk menabur benih bersaiz sederhana lebih kurang 2.5cm x 1.2cm dengan kapasiti maksimum 4kg benih pada satu masa.

Ababil yang diperbuat daripada gentian karbon dikuasakan oleh bateri polimer litium 4S dengan purata masa operasi yang direkodkan dalam tempoh 18 minit dan dikendalikan dalam Visual Line of Sight (VLOS).

Kumpulan FLARES juga telah menambah baik modul GPS pada Ababil untuk membolehkannya kembali ke lokasi terbang asal.

Manakala Sarabom pula terdiri daripada campuran komposisi bahan komposit, tanah, air, dan biji benih yang berpotensi untuk meningkatkan keupayaan dan kecepatan proses pemulihan hutan terdegradasi.

Sarabom menakung air hujan untuk membantu benih bercambah. Setiap Sarabom mempunyai berat kira-kira 10gram dan mengandungi pelbagai benih spesies pokok.

Sarabom dibangunkan dengan kos pengeluaran 1,000 bebola benih berjumlah kira-kira USD7.20 (RM30.44) dan jauh lebih murah berbanding dengan kos menyemai 1,000 anak pokok yang dianggarkan sekitar USD360 (RM1,521.90).

Melalui projek KIK Ababil dan Sarabom, kumpulan FLARES, khususnya Jabatan Hutan Sarawak telah menerima anugerah PAR Excellence pada 46thInternational Convention on Quality Control Circles 2021 yang berlangsung di Hyderabad, India dari 24 hingga 27 November 2021.

Projek tersebut juga telah berjaya mencapai objektif jabatan, meningkatkan kawasan hutan, menyediakan alternatif kepada pemegang taruh dan meningkatkan produktiviti warga kerja Jabatan Hutan Sarawak.

Projek KIK Ababil dan Sarabom membantu mempercepatkan tempoh masa tindak balas penanaman dan pemulihan hutan
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article