Projek Pembinaan Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) di Bebuling, Spaoh, bakal memberi impak besar kepada pembangunan di Bahagian Betong.
Daerah Kecil Spaoh adalah sebahagian daripada kawasan ‘Food Basket’ atau Bakul Makanan di Bahagian Betong justeru, pembinaan lapangan terbang ini adalah penting kerana ia bakal merancakkan ekonomi di kawasan sekitarnya.
Projek lapangan terbang ini adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Sarawak untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeluar produk makanan utama menjelang tahun 2030.
Dengan adanya STOLport ini nanti, ia sudah tentu akan memudahkan urusan pemasaran produk-produk dari Bahagian Betong ke Bahagian Mukah, dari Bukit Sadok ke Pakan, Skrang, Krian dan sehinggalah ke luar negara seperti Singapura dan Indonesia.
Baru-baru ini, Pegawai dari Pejabat Wilayah Selatan (SRO) Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Encik Mohammad Faizual bin Musa telah membawa RAKAN Sarawak meninjau tapak projek pembinaan STOLport tersebut.
Sempena tinjauan tersebut, RAKAN Sarawak berkesempatan menemu ramah Pemeriksa Tapak Bertauliah (Inspector of Works) Jurutera Minsar Sdn Bhd, Encik Macmillan Jeffery Kumbungdan Pengurus Projek pembinaan STOLport, Encik Paul Desmond untuk mendapat sedikit maklumat tentang perkembangan projek tersebut.
Menurut Encik Macmillan Jeffery Kumbung, STOLport ini hanya sesuai untuk pesawat jenis Twin Otter dan buat masa ini, pihak kontraktor sedang giat melakukan kerja-kerja cerucuk (piling) sepanjang 22 ribu poin.
Setiap satu poin memerlukan sekurang-kurangnya tiga (3) batang cerucuk sepanjang 19-meter sebatang dan pihak kontraktor mengambil masa lebih setahun untuk melakukan kerja-kerja cerucuk tersebut.
Panjang STOLport adalah 742-meter dan ia dijangka siap pada 2024 walaupun Kerajaan sudah memaklumkan bahawa ia akan siap dalam 2023 kerana proses pembinaannya sangat bergantung kepada keadaan cuaca, tenaga kerja, dan pengangkutan yang membawa bahan-bahan pembinaan ini.
Jelas beliau, STOLport ini dibina untuk memudahkan produk-produk pertanian dari Taman Agro dan dari rumah panjang serta kampung-kampung dipasarkan terus ke tempat-tempat tertentu.
Manakala menurut Encik Paul Desmond, pembinaan lapangan terbang di Bebuling, Spaoh ini bukan hanya akan menyediakan perkhidmatan pengangkutan kargo tetapi juga untuk penumpang namun buat masa ini, pihak mereka belum menerima ‘hitam putih’ dari pihak sepatutnya.
Pada masa ini, kerja-kerja cerucuk di tapak pembinaan sedang giat dilaksanakan dan pihak mereka akan memastikan setiap kawasan sudah bersedia untuk memulakan kerja-kerja pembinaan.
Berbalik kepada kewujudan STOLport Bebuling ini, kita melihat ia adalah satu usaha yang amat penting kerana ia akan memudahkan hasil-hasil pertanian dan produk-produk makanan dari Betong, Spaoh dan kawasan-kawasan sekitarnya dihantar ataupun dipasarkan ke seluruh negara dan ke negara jiran.
Salah satu sebab juga kenapa STOLport ini wajar dibina di Bebuling, Spaoh adalah kerana produk makanan dan hasil-hasil pertanian banyak dihasilkan di kawasan ini namun, untuk memasarkan ke luar negeri Sarawak, ia memerlukan pengangkutan yang lebih efektif seperti kapal terbang kargo.
Difahamkan bahawa, Kerajaan juga telah mewujudkan dua taman agro iaitu di Daerah Kecil Debak dan di Bebuling menggunakan teknologi dan penanaman moden khusus untuk buah-buahan dan sayuran.
Taman Agro ini akan menjadi tempat pengeluar hasil makanan dan sudah tentu ia perlu dipasarkan bukan sahaja di Bahagian Betong atau seluruh Sarawak, malah akan dieksport ke negara-negara jiran dengan menggunakan kapal terbang kargo melalui STOLport itu nanti.
Justeru, dengan kewujudan STOLport di Bebuling, Spaoh ini, ia akan menjadi pemacu kepada aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan khususnya Bahagian Betong.
Selain itu, ia juga akan merancakkan aktiviti pelancongan di kawasan tersebut kerana pembinaannya sangat dekat dengan tempat pelancongan termasuklah Rumah Anjung Layar Sari, Skrang River Safari, Taman Panorama Benak, Sri Aman, Kubu Alice Sri Aman, Batang Ai, Lubok Antu dan sebagainya.
Projek STOLport di Bebuling ini menelan kos sebanyak RM108 juta dan akan menjadi mercu tanda utama bagi penduduk-penduduk di Bahagian Betong dan Daerah Kecil Spoah amnya.