- Advertisement -spot_img
4,843
published news
and counting

Aktiviti Perusahaan Dan Perniagaan di Sarawak Terus Diperkasa

Must read

RAKAN 3Q2021-4
RAKAN 3Q2021-5

Kerajaan Sarawak telah melancarkan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 7.0 berjumlah lebih RM800 juta bagi memperkasakan aktiviti perusahaan dan perniagaan dalam tempoh peralihan Pelan Pemulihan Nasional (PPN).

Kerajaan Sarawak telah melancarkan BKSS 7.0 berjumlah lebih RM800 juta

Terdapat tiga (3) langkah baharu yang telah diambil untuk membantu kelangsungan aktiviti perusahaan dan perniagaan di Sarawak iaitu;

  1. Bantuan khas kewangan secara ‘One-Off’ berjumlah RM10,000 kepada perniagaan aktif yang berdaftar dengan PERKESO
  2. Pelonggaran polisi perolehan kerajaan akibat pandemik COVID-19
  3. Pembaharuan permit pekerja asing untuk sektor pertanian, perlombongan, pembinaan dan perkhidmatan.

Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Menteri (Premier Sarawak), YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg semasa berucap pada Majlis Pelancaran BKSS 7.0 dan Majlis Simbolik Penyerahan BKSS 6.0 di Yayasan Sarawak, Kuching pada 4 Ogos 2021.

Sebelum ini, beliau telah menerima permintaan daripada persatuan-persatuan dan persekutuan-persekutuan perniagaan agar bantuan kewangan diberikan bagi membantu mereka mengekalkan perniagaan dalam menanggung kos operasi termasuk sewa serta gaji para pekerja.

Oleh yang demikian, Kerajaan Sarawak telah bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan secara ‘One-Off’ berjumlah RM10,000 kepada perniagaan aktif yang berdaftar dengan PERKESO.

Bantuan khas kewangan RM10,000 secara ‘One-Off’ kepada perniagaan aktif yang berdaftar dengan PERKESO

Langkah ini sekurang-kurangnya akan dapat membantu meringankan beban kewangan kira-kira 40,000 perniagaan yang aktif di seluruh Sarawak dengan melibatkan perbelanjaan langsung Kerajaan Negeri lebih RM400 juta.

Beliau memberitahu, bantuan kewangan khas ini akan dibayar dalam dua fasa iaitu RM5,000 pada bulan September dan baki RM5,000 akan dibayar pada bulan Disember 2021.

Bagi menyokong perniagaan dalam sektor pembinaan pula, Kerajaan Sarawak akan meringankan dasar perolehan kerajaan akibat pandemik COVID-19 dari segi Lanjutan Tempoh Masa Perkhidmatan Perunding (EOT) dan Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) secara automatik.

Langkah ini akan dilakukan dengan mengambil kira kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berdasarkan tempoh PKP diwartakan, dan bagi projek yang tarikh siap dijadualkan berakhir dalam tempoh PKP 3.0 tersebut akan diberikan EOT maksimum 60 hari.

Sehubungan itu, penilaian dan bayaran hendaklah dijalankan secara automatik pada akhir setiap bulan tanpa perlu menunggu permohonan terperinci bertulis kontraktor untuk tuntutan bayaran dan membenarkan bayaran interim bulanan minimum RM1, 000 bagi semua kontrak negeri.

Kerajaan Sarawak juga membenarkan Variasi Harga untuk kerja-kerja kontrak kerajaan disebabkan kenaikan harga yang ketara bahan binaan tertentu kesan global pandemik COVID-19 di mana Kerajaan Sarawak dianggarkan menanggung kos sekitar RM400 juta bagi tujuan ini.

Memandangkan wujud keperluan untuk memastikan daya tahan ekonomi semasa pandemik, kerajaan akan memberi sokongan kepada perniagaan yang memerlukan tenaga kerja asing dengan melonggarkan syarat pembaharuan permit kerja asing.

Pembaharuan permit pekerja asing untuk sektor pembinaan dan perkhidmatan

Walau bagaimanapun, kelonggaran syarat pembaharuan permit kerja ini tertakluk kepada lesen buruh yang sah bagi sektor perladangan sehingga 31 Disember 2022 dan ia akan diperluaskan kepada semua sektor termasuk pertanian, perlombongan, pembinaan dan perkhidmatan.

Pembaharuan permit pekerja asing untuk sektor pertanian

Ketua Menteri (Premier Sarawak) berharap, langkah-langkah ini akan membantu kelangsungan aktiviti perusahaan dan perniagaan di Sarawak yang berada dalam PPN dan seterusnya menggerakkan ekonomi negeri ini.

Beliau juga berharap BKSS 6.0 yang sedang dilaksanakan dapat membantu rakyat  dalam menghadapi kesukaran kehidupan pada masa ini serta berpesan agar bantuan tersebut dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk kelangsungan kehidupan harian keluarga masing-masing.

Dalam keadaan pandemik dan usaha untuk mengekang merebaknya COVID-19, Kerajaan telah melaksanakan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah memberi kesan kepada kehidupan rakyat. 

Ketua Menteri (Premier Sarawak) dan ahli-ahli kabinet yang lain sentiasa memikirkan kaedah dan langkah untuk mengurangkan kesan pandemik ini kepada kehidupan rakyat. 

Sebelum ini, beliau telah mengumumkan enam pakej BKSS merangkumi lebih 30 langkah dan tindakan bernilai RM4.5 bilion sejak April 2020 iaitu yang terbesar dalam kalangan negeri-negeri.

Daripada setiap pakej tersebut, jelas membuktikan Kerajaan Sarawak sangat prihatin terhadap golongan perusahaan dan perniagaan apabila meneruskan inisiatif yang diperkenalkan sejak BKSS 1.0 bagi membantu peniaga meneruskan kelangsungan aktiviti perusahaan dan perniagaan mereka.

Misalnya dalam BKSS 1.0 dan 2.0, Kerajaan Sarawak telah mengambil langkah untuk  menangguhkan pembayaran pinjaman dan pinjaman mudah tanpa faedah untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta Pengecualian bayaran lesen perniagaan dan diskaun sewa gerai untuk para peniaga.

Kesan daripada langkah tersebut, lebih 10,000 peniaga dan penjaja yang menyewa pasar dan gerai di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah mendapat manfaat daripada pengecualian bayaran permit dan lesen perniagaan.

Selain itu, sebanyak 144 PKS di Sarawak telah mendapat manfaat daripada penangguhan pinjaman Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) mulai April 2020.

PKS di Sarawak mendapat manfaat daripada BKSS1.0 hingga BKSS 7.0

Seramai 1,800 penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan PBT telah menerima Pembayaran Geran Khas Fasa Pertama bernilai RM750 melalui Sarawak Pay pada 30 April 2020.

Manakala, sebanyak 366 permohonan telah diterima di bawah Skim Kredit Mikro Sarawak yang melibatkan dana berjumlah RM14.48 juta dan seterusnya lebih daripada 3,000 PKS seluruh Sarawak telah memohon program SME Special Relief Fund yang melibatkan dana berjumlah RM1.3 bilion.

Dalam BKSS 2.0, Kerajaan Sarawak telah memberi Geran Khas berjumlah RM1,500 kepada para penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan PBT.

Peniaga kecil merupakan golongan yang paling terkesan oleh wabak COVID-19

Geran Khas berjumlah RM1,500 tersebut dibayar secara dua peringkat iaitu RM750 pada bulan Mei 2020 dan RM750 pada bulan Julai 2020.

Memandangkan para penjaja dan peniaga kecil merupakan golongan yang paling terkesan oleh wabak COVID-19, Kerajaan Sarawak telah menambah Geran Khas ini selama sebulan berjumlah RM750 kepada mereka dalam BKSS 3.0.

Dengan tambahan ini, setiap penjaja dan peniaga kecil telah menerima bantuan dengan jumlah keseluruhannya sebanyak RM2, 250 melalui Geran Khas ini.

Seterusnya dalam BKSS 4.0, potongan 50 peratus disediakan untuk sewa gerai, pengecualian yuran lesen dan pengecualian sewa kepada PKS di sektor runcit yang beroperasi di premis dimiliki syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Negeri atau Badan-Badan Berkanun bagi tempoh enam (6) bulan.

Di bawah BKSS 4.0 juga, Kerajaan Sarawak meneruskan inisiatif memberikan pengecualian permit dan yuran lesen kepada peniaga, penjaja, peniaga pasar malam dan pengusaha tamu di pelbagai PBT di seluruh Sarawak.

Di bawah BKSS 5.0, pemberian diskaun 50% sewa pasar dan gerai untuk enam (6) bulan mulai Januari hingga Jun 2021 telah memberi manfaat kepada lebih daripada 10,000 penjaja yang berdaftar dan menyewa pasar dan gerai di bawah PBT.

Kerajaan Sarawak turut mengecualikan bayaran permit dan lesen perniagaan kepada peniaga, penjaja, peniaga pasar malam dan pasar tamu melibatkan kos RM8.3 juta.

Pengecualian bayaran ini telah dapat mengurangkan beban para peniaga, penjaja, peniaga pasar malam dan pasar tamu yang berdaftar dengan PBT di seluruh Sarawak.

Kesemua langkah-langkah ini diambil oleh kerajaan apabila menyedari hakikat para pengusaha perniagaan terpaksa menanggung kos tetap operasi seperti bayaran sewa, peralatan dan gaji pekerja yang mengakibatkan masalah aliran tunai mereka.

Dalam perkembangan lain, Ketua Menteri (Premier Sarawak) telah mengadakan sesi perbincangan dengan persatuan-persatuan perusahaan dan perniagaan Sarawak pada 1 Julai 2021.

Tujuannya adalah untuk mendengar pandangan mereka tentang cara-cara untuk membantu, memulih dan meneruskan kelangsungan aktiviti perusahaan dan perniagaan agar dapat menyediakan pekerjaan untuk rakyat kita dan seterusnya membantu memulihkan ekonomi kita. 

Apa yang paling diharapkan melalui pakej-pakej bantuan yang diperkenalkan ialah, ia akan dapat meringankan beban kewangan rakyat dan para peniaga yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Dalam keadaan yang sukar sekarang ini, Ketua Menteri (Premier Sarawak) turut berharap bantuan-bantuan ini dapat membantu memulihkan ekonomi Sarawak sekali gus menyediakan landasan yang kukuh untuk terus makmur pada masa hadapan.

Related articles :

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article