- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Ambil Kira Aspek Keselamatan Pengangkutan Air

Must read

Pengangkutan air merupakan mod pengangkutan yang tertua dan termurah berbanding dengan pengangkutan darat dan udara.

Di kebanyakan negara-negara berpendapatan rendah, pengangkutan air menjadi pilihan utama penduduk dan komuniti perniagaan dalam menjalankan urusan harian.

Sebagai contoh di Bangladesh, pengangkutan air memainkan peranan penting dalam kemajuan ekonomi negara berkenaan.

Namun, aspek keselamatan penumpang dan sistem pengangkutan air tidak dikendalikan dengan selamat.

Kapal atau feri yang membawa lebih muatan dan kelemahan navigasi serta kurangnya penguatkuasaan undang-undang trafik merupakan antara punca utama kemalangan perairan kerap berlaku di negara tersebut sehingga menyebabkan kehilangan nyawa dan harta benda yang ketara.

Dalam tempoh lebih empat dekad lalu, tidak kurang daripada 5,000 orang maut dalam lebih 600 kemalangan maritim yang direkodkan di Bangladesh.

Walaupun pihak berkuasa maritim negara tersebut telah mengambil beberapa tindakan dan langkah-langkah yang perlu, namun kemalangan masih berlaku dengan kerap.

Kemalangan di perairan boleh berlaku tidak mengira tempat dan masa tetapi dapat dielak dan dikurangkan jika langkah-langkah keselamatan sentiasa dilakukan.

Oleh itu, aspek keselamatan yang meliputi keselamatan penumpang, keadaan bot atau kapal, peralatan kecemasan, pelayaran, keadaan trafik dan laluan perairan penting untuk diambil kira.

Di Sarawak, Kementerian Pengangkutan (MOT) dan entiti di bawahnya, iaitu Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) tidak pernah memandang ringan aspek keselamatan pengangkutan air.

Perkhidmatan bot ekspres di Kapit yang pernah menjadi nadi pengangkutan utama penduduk di bahagian berkenaan

Hal ini dikatakan demikian kerana mod pengangkutan air begitu penting kepada masyarakat Sarawak, terutama di kawasan-kawasan luar bandar yang sukar dihubungi melalui jalan raya.

Bentuk muka bumi Sarawak yang memiliki banyak sungai dan anak sungai juga menjadi faktor pengangkutan air masih relevan dan menjadi laluan perhubungan pilihan, malah juga merupakan satu-satunya laluan perhubungan bagi masyarakat di sesetengah kawasan.

Pengendali pengangkutan air perlu lebih peka terhadap aspek keselamatan di perairan

Setakat ini, sebanyak 35 sungai di Sarawak telah diwartakan berdasarkan kepentingan sungai-sungai tersebut kepada masyarakat dan ekonomi.

Antara langkah keselamatan yang sering diambil pihak berkuasa termasuklah mempergiat rondaan sungai harian, mengadakan sekatan di lokasi-lokasi strategik, memasang papan tanda keselamatan di tebingan sebelum tanjung atau simpang serta penekanan terhadap pemakaian jaket keselamatan apabila menaiki bot terbuka.

Program kesedaran seperti ‘Kempen Keselamatan Pengangkutan Sungai’ dilancarkan oleh LSS hampir setiap tahun, terutama semasa musim perayaan bagi mengingatkan masyarakat betapa pentingnya keselamatan ketika menaiki bot ekspres.

Pihak berkuasa seperti Lembaga Sungai-sungai Sarawak sentiasa mengingatkan pengendali dan penumpang supaya mematuhi aspek keselamatan ketika menggunakan perkhidmatan pengangkutan air

Kempen tersebut juga bertujuan untuk mengingatkan pengusaha-pengusaha bot ekspres supaya mematuhi setiap peraturan yang dikuatkuasakan oleh LSS.

Dalam masa yang sama, LSS turut melancarkan polisi ‘no ticket, no entry’ sebagai langkah memastikan pengusaha bot tidak membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan.

Operasi kempen turut dijalankan dengan kerjasama agensi-agensi penguatkuasaan lain antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Marin dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Pemantauan dan pemeriksaan ke atas setiap bot ekspres serta bot penumpang lain sentiasa dijalankan bagi memastikan arahan keselamatan oleh pihak berkuasa dipatuhi.

Bagi perkhidmatan bot laju, LSS menetapkan had penumpang yang dibenarkan ialah seramai 12 orang sahaja. Manakala penumpang bot terbuka pula diwajibkan memakai jaket keselamatan.

Di kebanyakan kawasan pedalaman, murid-murid sekolah dibekalkan dengan jaket keselamatan oleh pihak Jabatan Pendidikan.

Perkhidmatan pengangkutan air seperti bot ekspres merupakan satu-satunya kaedah pengangkutan yang menghubungkan penduduk Kapit ke bahagian-bahagian lain, terutama ke Sibu sejak berpuluh tahun lamanya.

Namun, apabila Jalan Sibu-Kanowit-Song-Kapit yang menghubungkan Sibu dan Kapit telah siap sepenuhnya dan dibuka secara rasmi pada April 2021, bilangan pengguna bot ekspres telah menurun dan turut menyebabkan penurunan trafik penumpang sungai.

Sungguh pun begitu, LSS tetap menjalankan tanggungjawabnya dalam hal berkaitan keselamatan sungai.

Pada Mac lepas, Timbalan Menteri Pengangkutan, YB Dato Henry Harry Jinep ketika menghadiri majlis penutupan program ‘Legal Engagement Programme with Sarawak Rivers Board (LSS) Enforcement Officers’ di Miri mengingatkan, penurunan tersebut tidak bermakna tanggungjawab dan peranan LSS turut berkurangan.

Malah, menurut beliau, LSS berhadapan dengan isu-isu baharu yang menjejaskan keselamatan pengangkutan air dalam sektor pelancongan dan pengangkutan kargo termasuk isu kebersihan sungai.

Selain keselamatan pengangkutan air di sungai, LSS juga sentiasa memantau keselamatan aktiviti pelancongan di kawasan tasik yang menggunakan bot sebagai kemudahan pengangkutan sebagai contoh di Tasik Biru, Bau.

Langkah pemantauan keselamatan yang diambil termasuklah memastikan pengusaha menyediakan jaket keselamatan kepada pengguna serta penggunaan pontun terapung.

Beliau juga mengingatkan pegawai-pegawai penguatkuasaan LSS agar memahami tugas dalam aspek keselamatan sungai yang dipertanggungjawabkan di bawah ordinan berkaitan yang diperuntukkan.

Aspek keselamatan pengangkutan air sewajarnya diambil perhatian oleh semua pihak termasuk pengendali dan penumpang selain pihak berkuasa seperti LSS.

Pengendali bot dan penumpang perlu lebih peka dan sentiasa mengambil langkah-langkah keselamatan sebelum memulakan pelayaran ketika menggunakan pengangkutan air.

Dalam masa yang sama, kesedaran massa harus diwujudkan dalam kalangan masyarakat seperti cara-cara menggunakan peralatan kecemasan pengangkutan air dan kaedah menyelamat apabila berlaku kecemasan di perairan.

Kampung Salak yang terletak di kawasan pinggir bandar di Kuching merupakan salah satu kawasan penempatan yang hanya dapat dihubungi melalui pengangkutan air

Info Tambahan

Di bawah Seksyen 5 Ordinan Sungai Sarawak, 1993 dan Ordinan Sungai Sarawak (Pindaan), 1997, antara fungsi dan peranan SRB berkaitan keselamatan sungai termasuklah: –

  • Merancang dan membuat cadangan kepada Kerajaan bagi pembangunan dan penambahbaikan sistem pengangkutan sungai sepenuhnya di dalam Negeri
  • Mengawal lalu lintas air di pelabuhan atau di sungai dan di pinggir laut dalam sempadan Sarawak
  • Meneliti, mengkaji dan menentukan kegunaan dan kebolehpraktikan untuk meningkatkan kebolehlayaran semua sungai daripada serpihan dan sampah dari kilang yang beroperasi di sepanjang sungai
  • Menyediakan pelampung, tambatan dan lampu termasuk bantuan lain untuk navigasi bagi tujuan kawal selia dan keselamatan lalu lintas sungai
  • Menyediakan kemudahan seperti dermaga, jeti atau terminal pendaratan penumpang dan penyelenggaraannya
  • Untuk mengelak halangan mana-mana sungai atau aliran air
  • Untuk membuat cadangan keselamatan kapal yang berlayar di sungai dan mengelakkan perlanggaran
  • Mengendali dan menyelenggara baraj atau shiplock dan mengawal kapal yang melalui baraj atau shiplock
  • Mengurus dan menyelenggara mana-mana dermaga, jeti atau terminal pendaratan penumpang, bagi pihak Kerajaan, atau mana-mana orang lain, pertubuhan badan atau pihak berkuasa, atas apa-apa terma dan syarat yang dipersetujui antara Lembaga dan pemilik dermaga, jeti atau terminal pendaratan penumpang
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article